3 maut termasuk wanita hamil, Perodua Viva terbabas

PUTRAJAYA — Seorang wanita hamil antara tiga maut manakala seorang lagi wanita hamil parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas berhampiran pusat beli-belah IOI City Mall di sini, tengah malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, Nurulhuda Ramli, 41, dan Amizan Sapiie, 27, manakala mangsa yang parah dikenal pasti sebagai Nizasuhana Ujang, 28.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan kemalangan pada jam 12.10 tengah malam.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva yang dipercayai terbabas sendiri.

“Terdapat empat mangsa masing-masing dalam kereta, dua lelaki dan dua perempuan hamil. Seorang wanita hamil cedera parah dan sudah dihantar ke Hospital Putrajaya.

“Dua lelaki dan seorang lagi wanita hamil disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata mayat ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page