GAZA — Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan ramai lagi cedera pada Isnin dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza, kata Pertahanan Awam Palestin di Gaza.
Pertahanan Awam berkata dalam satu kenyataan akhbar, pengeboman Israel menyasarkan rumah kediaman dan tempat perlindungan untuk orang kehilangan tempat tinggal di Beit Lahia dan Jabalia di utara Gaza, kem Nuseirat di tengah Gaza, serta bandar Khan Younis dan Rafah di selatan.
Ia berkata kerjanya kekal terhenti di seluruh utara Gaza kerana “penyasaran dan pencerobohan Israel yang berterusan,” menyebabkan beribu-ribu rakyat tanpa tindak balas kemanusiaan, rawatan perubatan dan bantuan.
Sementara itu, Raed Al-Namas, pegawai media Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, memberitahu wartawan di Gaza, sistem kesihatan di utara semakin merosot akibat kekurangan bekalan perubatan dan kakitangan.
Perkhidmatan yang disediakan adalah pada tahap minimum, dan 12,000 orang yang cedera memerlukan rawatan di luar semenanjung, kata Al-Namas.
Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Gaza meningkat kepada 43,922, kata pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan pada Isnin.
XINHUA