Malaysia zahir komitmen bantu pembangunan umat Islam di Peru

LIMA, Peru — Malaysia menzahirkan komitmen untuk membantu pembangunan umat Islam di Peru termasuk memudahkan urusan pensijilan halal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dinyatakan beliau dalam pertemuan bersama Persatuan Islam Peru, di sini.

“Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bertemu dan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Islam Peru diketuai Presidennya, Murad Hamida.

“Dalam pertemuan ini, kami telah membincangkan soal pembangunan umat Islam di Peru.

“Turut dibangkitkan adalah komitmen Malaysia dalam memudahkan urusan pensijilan halal serta membantu pendidikan Islam dan dakwah dalam kalangan komuniti Islam di Peru,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Mengulas lanjut, menurut Anwar, dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Persatuan Islam Peru turut memuji usaha Malaysia yang sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin dan Lubnan yang ditindas rejim Zionis Israel.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Peru, selain menyerahkan 50 naskah Al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam bahasa Sepanyol.

Semalam, ketika sidang media bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra selepas mesyuarat dua hala, Anwar dilaporkan berkata Malaysia bercadang membangunkan zon ekonomi halal di Peru dalam usaha menembusi pasaran Amerika Latin.

Katanya, Pelabuhan Chancay di republik itu boleh dimanfaatkan sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara.

Perdana Menteri berada di ibu negara Peru sempena lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin, selain menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 dari 14 hingga 16 November ini.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page