BEIRUT — Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat, peluru meriam menghentam ibu pejabat Sektor Baratnya di kampung Chamaa di selatan Lubnan.
“Petang tadi, peluru artileri hidup 155mm melanda UNP 2-3, ibu pejabat UNIFIL Sektor Barat di Chamaa,” kata kenyataan itu.
“Peluru itu tidak meletup, dan pakar pemusnah bom Itali dengan pantas mengamankan kawasan itu, mengeluarkan senjata itu, dan melakukan letupan terkawal,” kata kenyataan itu sambil menyatakan tiada kecederaan dalam kalangan pasukan pengaman.
“Sebagai langkah berjaga-jaga akibat permusuhan berterusan antara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Hizbullah, kakitangan berada di tempat perlindungan,” katanya.
Kenyataan itu mengingatkan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan kakitangan dan harta benda PBB, dengan menyatakan, “Serangan yang disengajakan ke atas pasukan pengaman adalah pelanggaran berat undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701.”
Tapak dan kemudahan UNIFIL sebelum ini telah diserang di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara tentera Israel dan Hizbullah, yang bermula pada 8 Okt 2023.
Statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Lubnan pada Jumaat mendedahkan jumlah kematian akibat serangan udara Israel di Lubnan sejak bermulanya konflik mencecah 3,445, dengan kecederaan meningkat kepada 14,599.
Sementara itu, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan pada hari yang sama, lapan orang terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan.
XINHUA