DAMSYIK — Tujuh orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan 20 lagi cedera dalam serangan udara Israel dekat ibu negara Syria, Damsyik, pada petang Ahad, lapor Kementerian Pertahanan negara itu.
Kementerian dalam satu kenyataan berkata, sekitar jam 5 petang waktu tempatan (1400 GMT), “musuh” Israel melancarkan serangan udara dari Bukit Golan yang diduduki, menyasarkan sebuah bangunan kediaman di kawasan Sayyidah Zaynab di kawasan luar bandar Damsyik.
Serangan itu juga menyebabkan kerosakan besar kepada harta benda persendirian, tambahnya.
Syrian Observatory for Human Rights, pemantau perang berpangkalan di Britain, sebelum ini melaporkan bahawa serangan itu melanda sebuah flat di bangunan kediaman didiami warga Lubnan dan anggota Hizbullah di kawasan itu.
Sayyidah Zaynab, yang terletak di selatan ibu negara Syria, adalah rumah kepada tempat suci Syiah yang terkenal dan telah menjadi sasaran serangan Israel pada masa lalu.
Israel telah melakukan banyak serangan udara di Syria dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menyasarkan apa yang dikatakan sebagai aset tentera Iran dan senjata yang bertujuan untuk dipindahkan ke Hizbullah.
XINHUA