Banjir: Bilangan penduduk terjejas menurun kepada 136,511

KUALA LUMPUR — Seramai 136,511 orang daripada 41,174 keluarga yang terjejas banjir masih ditempatkan di 636 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri, setakat 8.30 pagi ini.

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding 150,474 yang direkodkan pagi semalam, dengan negeri masih dilanda banjir adalah Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Perak, Pahang dan Melaka.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan mereka yang ditempatkan di PPS ketika ini terdiri daripada 90,722 orang dewasa, kanak-kanak (41,774) dan bayi (4,022).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir menurun kepada 85,512 daripada 26,684 keluarga ditempatkan di 251 PPS yang dibuka di sembilan jajahan.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 29,367 orang di 64 PPS diikuti Tumpat (18,896 orang, 40 PPS), Pasir Puteh (10,702 orang, 30 PPS), Kota Bharu (7,563 orang, 34 PPS), Bachok (6,169 orang, 15 PPS), Kuala Krai (5,187 orang, 28 PPS), Machang (4,911 orang, 21 PPS), Tanah Merah (2,636 orang, 18 PPS) dan Jeli (81 orang, satu PPS).

Di Terengganu, mangsa banjir direkodkan seramai 37,948 orang daripada 10,563 keluarga dengan sebanyak 271 PPS dibuka di lapan daerah.

Besut masih menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 10,362 orang di 93 PPS.

Ini diikuti daerah Dungun (8,736 orang, 44 PPS), Hulu Terengganu (7,714 orang, 55 PPS), Kuala Nerus (2,551 orang, 12 PPS), Kemaman (1,137 orang, 10 PPS) dan Marang (950 orang, 10 PPS).

Kedah pula merekodkan seramai 8,451 orang daripada 2,607 keluarga kini ditempatkan di 49 PPS yang dibuka di enam daerah di negeri itu.

Kota Setar menjadi daerah paling teruk terjejas iaitu 3,595 mangsa daripada 1,080 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS manakala Kubang Pasu (2,676 orang, 14 PPS), Padang Terap (1,000 orang, tujuh PPS), Pokok Sena (591 orang, empat PPS), Sik (559 orang, tujuh PPS) dan Baling (30 orang, satu PPS).

Sementara itu, Pahang mengaktifkan 25 PPS di tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis yang terjejas banjir bagi menempatkan seramai 1,506 mangsa daripada 499 keluarga.

Di Negeri Sembilan juga menunjukkan penurunan jumlah mangsa terjejas apabila seramai 1,110 mangsa daripada 289 keluarga kini ditempatkan di lapan PPS yang dibuka di tiga daerah iaitu Tampin (955 orang, lima PPS), Jempol (112 orang, dua PPS) dan Kuala Pilah (43 orang, satu PPS).

Namun di Johor, angka banjir meningkat apabila seramai 839 orang daripada 230 keluarga yang ditempatkan di 17 PPS di Segamat.

Begitu juga di Perak meningkat kepada 511 mangsa daripada 161 keluarga dengan sembilan PPS diaktifkan di empat daerah iaitu Kinta (351 orang, enam PPS), Kampar (61 orang, satu PPS), Hilir Perak (52 orang, satu PPS), Larut, Matang dan Selama (47 orang, satu PPS).

Melaka dan Perlis pula kekal masing-masing 244 mangsa yang masih ditempatkan di empat PPS dan 225 mangsa di satu PPS.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page