KABUL — Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh oleh lelaki bersenjata di wilayah Baghlan di utara Afghanistan, kata Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Abdul Mateen Qaniee pada Jumaat.
Tidak jelas siapa di sebalik serangan itu.
Taliban mengambil alih negara itu pada 2021 dan berikrar untuk memulihkan keselamatan negara yang dilanda perang itu. Serangan berterusan, kebanyakannya didakwa oleh kumpulan tempatan kumpulan militan Daesh.
Pada September, 14 orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan yang didakwa Daesh di tengah Afghanistan.
Kata al-abrar mempunyai erti “benar-benar berbakti”.
Firman-Nya diberikan maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh nikmat.” Dan lawannya ialah “al-fujjar” iaitu “orang-orang derhaka” yang tempatnya di neraka jahim. (Lihat surah al-Infithar [82]: 13-14)
Antara wujud al-abrar adalah mereka yang tidak meminta ucapan terima kasih, lantaran pemberiannya hendak mendapatkan reda Allah. “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanya untuk mengharapkan reda Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Lihat surah al-Insan [76]: 8-9)
Di Barat, dia lebih dikenali sebagai Ben Gezla atau Byngezla, atau Buhahylyha atau nama lain yang mirip.
Tarikh kelahirannya tidak diketahui secara pasti. Sejarawan mengatakan dia meninggal pada Syaaban 493 Hijrah/Jun 1100 Masihi.
Dia terkenal sebagai doktor Arab berasal dari Baghdad, yang asalnya beragama Kristian, kemudian memeluk Islam pada 11 Jamadilakhir 466 Hijrah/11 Februari 1047 Masihi.
Dia belajar ilmu kedoktoran bersama Said bin Hibatullah, seorang doktor istana zaman pemerintahan al-Muktadi.
Ibn Jazla pernah menjadi setiausaha Imam Hanafi, seorang kadi di Baghdad. Kemudian menetap di al-Karkh. Di tempat ini dia sering diundang tetangga dan kawannya untuk memberikan pengubatan secara ikhlas, bahkan memperoleh dari mereka pengetahuan mengenai dunia ubat-ubatan.
Beberapa karyanya:
Taqwim al-Abdan fi tadbir al-Insan, dicetak di Damsyik pada 1333 Hijrah/1914 Masihi, dan diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Faraj bin Salim atau lebih dikenali sebagai Mr. Farachi, seorang doktor Yahudi Sicilia di tahun 1280 Masihi. Karya ini mengandungi antara lain gambaran 352 macam penyakit dan menunjukkan pelbagai jenis diet yang kuat untuk menangkal penyakit tersebut.
Minhaj al-Bayan fi ma Yastamiluh al-Insan dipersembahkan kepada khalifah al-Muktadi. Karya ini terdiri dari banyak daftar tatanama dan ubat-ubatan, baik yang sederhana mahupun campuran. P.de Koning pernah menterjemahkannya ke bahasa Perancis.
Ar-Radd’ala Nasarah, sebuah buku yang mengangkat nama Islam dan mengkritik Yahudi dan Kristian. Dari karya ini dapat diketahui alasan utama perpindahannya ke Islam adalah melalui pengenalan kepada Nabi Muhammad serta nabi-nabi yang tersebut dalam buku-buku Pentateuch (dari perjanjian lama), begitu pula ajaran-ajaran mereka.
Karyanya yang lain, antaranya Mukhtar Mukhtasar Tarikh Baghdad, ringkasan karya al-Khatib al-Baghdadi; Al-Ishara fi Talkhis al-Ibara; dan Fada’il ath-Thibb.
Perkataan as-samaa’ mempunyai beberapa makna, antara lain:
Angkasa luas yang dihiasi matahari, bulan dan bintang.
As-samaa’ bererti awan; dan setiap yang berada di atas manusia serta memberikan naungan kepadanya, disebut samaa’.
As-samaa’ pada ayat 11, surah Nuh dimaksudkan dengan makna hujan. (Ensiklopedia Makna Al-Quran, 327)
Dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman memberikan maksud pada ayat 11, surah Nuh: (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.
Surah ataupun surat atau dalam ejaan penuh “suuratun”
Menurut bahasa ialah tempat yang tinggi (al-manzilatus saamiyah).
An-Nabighah mengatakan:
الم تر أن الله أعطاك سورةٌ
ترى كل مَلَكٍ دُونِها يَتَذَبْذَبُ
Ertinya: Tidakkah anda lihat bahawa Allah telah memberikan kepada anda tempat yang tinggi, anda lihat setiap penguasa tanpanya menjadi ragu.
Adapun menurut istilah syarak ialah kumpulan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai permulaan dan akhir. Seperti surah al-Kautsar. Dikatakan surat (atau surah) kerana mulia, agung dan tingginya ayat-ayat al-Quran, sebagaimana as-suuru yakni untuk sesuatu yang tinggi dari suatu bangunan (tembok). (As-Sobuni, Tafsir Ahkam, Jilid 2, Halaman 7)
Firman Allah yang diberikan maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.” (108: 3)
Perkataan ini hanya dimuatkan satu kali (dalam al-Quran).
Imam As-Sobuni menjelaskan bahawa al-abtar ialah terputus daripada setiap kebaikan (al-munqathi’u ‘an kulli khairi). Terambil daripada al-bitr yakni putus (al-qath’u). Dikatakan “batartu asy-syaia bitran” ( بترت الشيء بترا ): Aku telah memutuskannya. Dan as-saifu ( السيف ) disebut al-baatiru kerana ia sebagai alat pemotong. Dan begitu pula dikatakan terhadap seseorang yang tidak memiliki keturunan sebagai abtar, kerana ia memutus nasabnya (keturunannya). Begitu pula untuk khutbah yang melebihi batas disebutkan dengan خُطبَةُ البِتْرَى kerana di waktu berkhutbah ia tidak memuji nama Allah dan tidak berselawat kepada Nabinya yang mulia.
Al-Abtar, “terputus”. Kemudian kata ini dipergunakan untuk seseorang yang tidak ada kenangan yang berlanjutan atau sebutan baik peribadinya. Ertinya bagi sesiapa saja yang memusuhi kebenaran yang dibawa oleh para rasul-Nya serta orang-orang yang mengikutinya, maka para penentang selalu dalam celaan orang-orang beriman. Firaun yang menentang Musa, beserta Samiriy yang membuat syariat palsu. Begitu juga Abu Lahab dan teman-temannya yang menentang Muhammad SAW, sebagai contoh.
Sesungguhnya antara nikmat dunia, cukuplah bagimu Islam sebagai suatu nikmat, antara kesibukan cukuplah bagimu ketaatan sebagai suatu kesibukan dan antara pengajaran cukuplah bagimu kematian sebagai suatu pengajaran. Demikian ungkapan Sayidina Ali yang dipetik daripada sebuah buku.
Berapa ramai manusia yang mengambil pengajaran dengan maut atau kematian, sedangkan setiap hari bahkan setiap detik ada saja yang menemuinya, apatah lagi ketika wabak maut melanda atau perang menerkam jiwa?
Firman Allah pada surah Ali Imran, ayat 185 yang diberikan maksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”
Ayat 26, surah ar-Rahman diberikan maksud: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.”
Banyak harta atau miskin, mulia atau hina, berjawatan tinggi ataupun sudah hilang pekerjaan, cantik bergaya ataupun tidak, tinggal di villa mewah lengkap dengan peralatan canggih atau di pondok usang terpencil daripada arus kemodenan, semua akan bertemu dengan mati.
Lari atau carilah tempat berlindung di mana-mana pun, ke puncak gunung, jauh ke angkasa raya atau bersembunyi di bilik kebal bawah tanah yang bermeter-meter ketebalannya lagi tersembunyi daripada pengetahuan umum, tidak keluar, maut tetap mengekori kamu.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya).” (Maksud ayat 8, surah al-Jumuah)
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” (Lihat surah an-Nisa, ayat 78)
Justeru apa yang harus dilakukan?
Apa yang harus dilakukan? Apakah tetap terus melakukan kejahatan – jahat kepada sesama manusia, jahat kepada makhluk lain, penghuni seisi bumi bahkan kepada bumi yang dipijak itu sendiri – sungguh jahat manusia apabila manusia lain nyenyak tidur, ada yang menyelinap masuk – mencuri, merompak, bahkan sampai membunuh – yang lemah dipijak-dipijak, dikerat-kerat atau disiat-siat. Manakala ketika fajar yang hening, ketika bayi, kanak-kanak sedang lena, dihujani dengan peluru atau bom – sungguh jahat.
Kata Abu Laits: Sesiapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan jahat sebab dia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya.
Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda (mafhumnya): Ada tiga hal yang mengikuti seseorang ketika meninggal dunia iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka, kembali dua hal dan tinggal satu. Keluarga dan hartanya kembali dan yang tinggal adalah amalannya. (Sahih Bukhari dan Muslim)
Kata Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA sebagaimana dipetik: Sesiapa masuk ke kubur tanpa membawa bekalan, maka seolah-olah dia mengharungi lautan tanpa bahtera.”
Justeru kamu dinasihatkan agar segera buat kebaikan, rajin melakukan ketaatan, jauhi kejahatan dan elak sebarang bentuk (walaupun kecil atau sedikit) penganiayaan kepada sesama manusia.
Penulis British, Gyles Bandreth pada 1984 dilaporkan mengemukakan anggaran, kira-kira 860 juta perkataan diucapkan seseorang sepanjang hidup.
Bagaimanapun, menurut Nick Watts dan rakannya yang menghasilkan filem dokumentari menarik The Human Footprint di UK pada 2007, orang biasa akan bercakap kira-kira 123 juta perkataan dalam masa hidup.
Menurut pasukan penyelidikan itu juga rata-rata manusia bercakap 4,300 perkataan setiap hari (wanita umumnya bercakap lebih banyak berbanding lelaki dalam sehari).
Ada yang mendakwa wanita bercakap kira-kira 20,000 perkataan sehari, manakala lelaki 13,000 perkataan. Ada pula mengatakan wanita bercakap kira-kira 5,000 perkataan sehari dan lelaki 2,000 perkataan. Dan ada juga mengatakan lelaki dan wanita seimbang jumlah perkataannya.
Apa pun, bercakap banyak ataupun banyak cakap, tidak kira lelaki atau wanita, boleh menyebabkan banyak silap, pembohongan, mengumpat dan mengeji. Malah dalam sesetengah keadaan boleh mengakibatkan kekasaran dan pergaduhan.
Imam Hasan al-Basri dilaporkan berkata: “Sesiapa yang banyak bercakap, banyak salahnya. Sesiapa banyak hartanya, banyak dosanya. Sesiapa jahat akhlaknya, akan menyeksa dirinya sendiri.”
Dalam kitab Tanbihul Ghafilin menjelaskan, orang Mukmin sedikit bercakap dan banyak bekerja.
Allah berfirman maksudnya: “Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).” (Surah Qaf, maksud ayat 18)
“Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah an-Nur, maksud ayat 24)
Daripada Abu Hurairah RA, dia mendengar Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Bahawa seorang hamba mengucapkan suatu kata-kata yang dia tidak jelas mengenainya, dia tergelincir ke neraka lebih jauh dari (jarak) antara timur dan barat.” (Muttafaq alaih)
Dalam Minhajul Abidin, karya Imam al-Ghazali diterangkan, menurut pendapat ulama, untuk memerangi dan menewaskan syaitan ada tiga cara:
1. Mengetahui tipu daya syaitan sehingga ia tidak berani mengganggu kita. Keadaannya ibarat tikus, jika ia tahu tuan rumah mengetahui kewujudannya, ia akan melarikan diri.
2. Anggaplah ajakan syaitan sebagai suatu perkara remeh iaitu jangan memberi sebarang perhatian dan jangan mempedulikannya.
Jangan sesekali mengambil hati terhadap ajakannya apatah lagi menurutinya. Ini kerana syaitan ibarat anjing yang menggonggong dan jika dilayan ia akan terus menggonggong. Tapi jika dibiarkan, ia akan diam dengan sendirinya.