Kategori: FIQAH

  • Aqiqah

     Aqiqah pada bahasa berasal daripada perkataan al-‘aqqu yang bermaksud potong. Asalnya ia digunakan dengan makna rambut yang berada di atas kepala bayi sewaktu dilahirkan. Dinamakan demikian kerana ia dicukur dan dipotong.

    Aqiqah dari segi syarak bererti haiwan yang disembelih untuk bayi sewaktu dicukur rambutnya. Sembelihan ini diberikan nama demikian kerana ia disembelih dan dipotong sewaktu rambut dicukur.

    Hukum aqiqah

    Aqiqah hukumnya sunat muakad (sunat dituntut). Wali yang menjaga bayi itu dituntut melakukannya. 

    Daripada Salman bin Amir adh-Dhabbi RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bersama bayi itu aqiqahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan.” (Riwayat al-Bukhari)

    Ulama tidak menyatakan aqiqah itu wajib kerana ia adalah penumpahan darah tanpa sebab kesalahan, juga bukan kerana nazar, maka ia tidak wajib.

    Dalil menunjukkan ia tidak wajib ialah hadis (sabda baginda SAW) riwayat Abu Daud: “Sesiapa yang dikurniakan anak, lalu dia suka untuk melakukan ibadat kerananya, maka lakukanlah ibadat itu.”

    Waktu aqiqah

    Bermula waktu diharuskan menyembelih aqiqah dengan keluar semua tubuh bayi dari dalam perut ibunya. Jika ia disembelih sebelum sempurna keluar bayi, maka ia tidak dianggap aqiqah. Ia dianggap daging biasa dan tidak mendapat sunat aqiqah. 

    Waktu sunatnya berterusan sehingga bayi itu baligh. Apabila sudah baligh (sampai umur), maka bapa atau penjaganya tidak lagi dituntut melakukannya dan lebih baik dia melakukannya sendiri sebagai memenuhi perkara yang tertinggal.

    Namun sunat yang dituntut ialah melakukan aqiqah pada hari ketujuh daripada kelahiran bayi. 

    Dalilnya hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada Samrah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Bayi itu ditebus (tergantung) oleh aqiqahnya, disembelihkan ia pada hari ketujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya.”

    Haiwan aqiqah untuk anak lelaki dan perempuan

    Sunah menetapkan wali hendaklah menyembelih seekor kambing bagi aqiqah lelaki dan anak perempuan juga seekor kambing. Dalilnya hadis diriwayat oleh at-Tirmidzi, daripada Ali RA katanya: Rasulullah SAW melakukan aqiqah Hassan dengan seekor kambing.

    Tetapi yang lebih afdal (utama) ialah wali menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan untuk anak perempuan seeekor kambing. Dalilnya ialah hadis riwayat Tirmidzi dan selainnya daripada Aisyah RA: Rasulullah SAW memerintahkan agar melakukan aqiqah anak lelaki dengan dua ekor kambing yang sepadan dan anak perempuan dengan seekor kambing. 

    Syarat aqiqah 

    Agar aqiqah dilakukan mendapatkan pahala, disyariatkan sama seperti syarat korban dari sudut jenis, umur dan selamatnya haiwan itu daripada kecacatan yang menyebabkan kurangnya daging. 

    Tirmidzi meriwayatkan dan beliau mensahihkannya, begitu juga Abu Daud dan ini lafaz Abu Daud daripada al-Barra’ bin ‘Azib RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Empat perkara yang tidak boleh ada dalam korban: Cacat yang jelas kecacatannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang yang jelas tempangnya dan tulang patah yang tiada sumsumnya.”

    Empat kecacatan ini dikiaskan kepada semua kecacatan menyerupainya yang menyebabkan ia kurus kering dan kekurangan daging. 

    Daging dan tulang aqiqah

    • Daging aqiqah disunatkan dimasak seperti dalam semua kenduri dan disedekahkan dalam bentuk yang telah dimasak. Ia tidak disedekahkan dalam keadaan mentah. Ini berbeza dengan korban. 
    • Aqiqah sunat dimasak dengan benda manis dengan harapan akhlak anak itu menjadi mulia. Yang afdal disedekahkan daging dan kuahnya kepada orang miskin dengan cara menghantarnya kepada mereka. Disunatkan juga sebahagiannya dimakan sendiri dan dihadiahkan. 
    • Disunatkan selagi boleh agar tulangnya tidak dipatahkan, bahkan ianya dipotong pada sendinya saja dengan harapan agar anggota anak itu selamat dan baik.
    • Disunatkan agar dihadiahkan kaki aqiqah kepada bidan dalam keadaan mentah tanpa dimasak kerana Fatimah RA telah melakukannya dengan perintah Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim. 

    Sumber: Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafie Kitab Fikah Mazhab Syafie

  • Mandi junub

    Mandi pada pengertian bahasa ialah mengalirkan air pada apa saja benda. Menurut pengertian syarak ialah mengalirkan air pada badan dengan niat tertentu.

    Mandi terbahagi kepada dua jenis, iaitu mandi yang diwajibkan dan mandi disunatkan.

    Mandi yang diwajibkan: Mandi yang diwajibkan ialah apabila berlaku perkara yang mewajibkan  mandi. 

    Perkara yang mewajibkan mandi ialah janabah (atau junub), haid, melahirkan anak (wiladah) dan mati.

    1. Janabah

    Asal makna janabah ialah jauh. Ini sebagaimana firman Allah:

    فَبَصُرَتْ بِه ِعَن جُنُبٍ  

    Maksudnya: “Lalu dilihatnya dari jauh.” (Surah al-Qasas, ayat 11)

    Perkataan janabah dalam penggunaan biasa adalah dengan makna mani yang memancut. Ia juga digunakan dengan makna jimak (persetubuhan).

    Oleh itu orang yang berjunub iaitu orang yang tidak suci disebabkan keluar mani atau persetubuhan. Dia dinamakan demikian sebab janabah seseorang itu jauh daripada menunaikan solat selagi dia berada dalam keadaan itu.

    Sebab janabah

    a- Keluar mani daripada lelaki atau perempuan, dengan apa-apa sebab sekalipun; seperti bermimpi, berseronok (bersedap-sedapan), melihat atau berfikir.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ummu Salamah (Radhiallahu anha), bahawa dia berkata: Ummu Sulaim telah datang menemui Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada perkara yang benar. Adakah perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi (melihat dalam mimpinya yang dia bersetubuh). Jawab Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Ya, apabila dia melihat air (mani).

    Abu Daud dan lainnya meriwayatkan daripada Aisyah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) telah ditanya mengenai seorang lelaki yang mendapati basah (pada kainnya) dan dia tidak ingat mengenai mimpinya. Jawab Rasulullah: Dia hendaklah mandi. Baginda juga ditanya mengenai seorang lelaki yang percaya bahawa dia telah bermimpi tetapi tidak mendapati basahan (pada kainnya atau tempat tidurnya). Rasulullah menjawab: Dia tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim pula berkata: Jika perempuan melihat basahan itu, adakah dia wajib mandi? Jawab Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Ya, (kerana) perempuan adalah saudara-mara lelaki.

    b. Bersetubuh walaupun tanpa keluar mani.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah (Radhiallahu anhu) daripada Nabi (Sollallahu alaihi wasallam) bahawa baginda bersabda: Apabila dia duduk di antara dua paha dan betisnya (perempuan), kemudian digerakkannya bersungguh-sungguh, maka wajib ke atasnya mandi.

    Dalam riwayat Muslim disebut: Sekalipun tidak keluar mani.

    Menurut satu riwayat di sisi Muslim daripada Aisyah (Radhiallahu anha): Dan (apabila) khitan (kemaluan) menyentuh khitan. Maka, wajib mandi.

    Lelaki dan perempuan wajib mandi kerana kedua-duanya melakukan sebab yang mewajibkan mandi. 

    Perkara diharamkan kerana janabah:

    a. Solat

    Ini berdalilkan firman Allah pada surah an-Nisa, ayat 43 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya), sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid), sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar), melainkan kamu hendak melintas saja, hingga kamu mandi bersuci…”

    Dalam ayat itu terdapat larangan daripada menghampiri tempat solat (masjid) disebabkan janabah (junub). Oleh itu melarang daripada menunaikan solat disebabkan junub adalah lebih utama (aula).

    Imam Muslim dan lainnya meriwayatkan daripada Ibnu Umar (Radhiallahu anhu), katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak diterima solat dengan tidak bersuci.

    Bersuci meliputi suci daripada hadas (hadas kecil) dan junub (hadas besar). 

    b. Tinggal dan duduk di dalam masjid.

    Adapun melalui atau melintasnya dengan tidak tinggal atau berulang-alik di dalamnya adalah tidak haram. 

    Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Aku tidak menghalalkan (tidak membenarkan) masjid bagi orang yang haid dan orang yang junub. (Riwayat Abu Daud)

    c. Tawaf mengelilingi Kaabah. Ini kerana tawaf sama kedudukannya dengan solat.

    Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Tawaf di Baitullah (umpama) solat melainkan Allah menghalalkan kepada kamu bercakap padanya. Oleh itu sesiapa yang bercakap, maka janganlah dia bercakap melainkan dengan yang baik. (Riwayat al-Hakim, dan dia berkata sanadnya sahih)

    d. Membaca al-Quran.

    Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Janganlah orang yang haid dan junub itu membaca sesuatu daripada al-Quran. (Riwayat at-Tirmidzi dan lainnya)

    Bagaimanapun, harus baginya membaca zikir daripada ayat al-Quran, dengan tujuan zikir. Dibenarkan juga bagi tujuan berdoa. 

    e. Menyentuh al-Quran, menanggungnya atau menyentuh kertas dan kulitnya atau membawanya dalam bekas plastik atau peti. 

    Allah berfirman maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. (Surah al-Waqiah, ayat 79)

    Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Tidaklah menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci. (Riwayat Daruqutni dan Imam Malik)

    Bagaimanapun harus bagi orang yang junub membawa al-Quran apabila ia dibawa bersama barang atau pakaian dan dia tidak berniat membawa al-Quran itu semata-mata. 

    Begitu juga harus baginya membawa kitab tafsir al-Quran yang mana tafsirannya itu lebih banyak daripada ayat al-Quran. Ini kerana orang yang berbuat demikian tidak dianggap sebagai pembawa al-Quran di sisi pandangan umum (uruf).

    2. Haid

    Haid menurut pengertian bahasa ialah mengalir. Pengertiannya menurut syarak ialah darah tabii (semulajadi) yang disebabkan oleh sifat atau tabiat yang selamat (normal) yang keluar dari pangkal rahim perempuan selepas dia baligh (sampai umur), dengan cara betul dan pada waktu tertentu.

    Dalil haid adalah antara sebab mewajibkan mandi ialah ayat 222, surah al-Baqarah, maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid, katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu…”

    Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) kepada Fatimah binti Abi Hubaisy (Radhiallahu anha): Apabila datang haid, maka tinggallah solat dan jika ia pergi (berhenti), maka mandilah (bersihkan dirimu) daripada darah itu dan solatlah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Umur baligh

    Maksud baligh apabila seseorang sampai pada tahap umur tertentu. Maka, dia layak menjadi orang menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

    Tahap baligh seseorang dapat diketahui melalui beberapa perkara:

    – Mimpi keluar mani, sama ada lelaki atau perempuan.

    – Melihat darah haid. Ini khusus untuk perempuan. Waktu yang menjadikannya baligh disebabkan mimpi atau keluar haid ialah apabila dia mencapai umur sembilan tahun Qamariah (mengikut bulan Islam). Lewat atau tidak daripada umur itu adalah bergantung kepada keadaan sesebuah negeri (tempat) dan suasana kehidupan.

    – Berumur 15 tahun berdasarkan tahun Qamariah. Keadaan ini diambil kira apabila tidak berlaku mimpi atau keluar haid. 

    Tempoh haid:

    Ia terbahagi kepada tiga, iaitu tempoh paling pendek, tempoh paling panjang dan tempoh biasa (ghalib).

    Tempoh haid paling pendek ialah satu hari satu malam dan tempoh paling panjang ialah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh biasa ialah enam atau tujuh hari.

    Sekurang-kurang waktu suci ialah 15 hari dan tiada had tertentu bagi tempoh panjangnya. Ini kerana kadang-kadang seorang perempuan tidak didatangi haid dalam tempoh setahun atau dua tahun bahkan beberapa tahun. 

    Penentuan tempoh ini adalah berasaskan kepada istiqra’ iaitu pemerhatian terperinci kepada peristiwa yang berlaku kerana ia boleh dijadikan sandaran dalam menentukan tempoh itu.

    Apabila seorang perempuan melihat darah yang keluar itu kurang daripada tempoh haid paling pendek (kurang dari sehari semalam) atau melebihi dari tempoh haid paling panjang (lebih 15 hari 15 malam), maka darah itu dianggap darah istihadhah (penyakit), bukan darah haid.

    Darah istihadhah

    Darah istihadhah ialah darah yang keluar daripada satu urat yang terletak di bawah rahim, dikenali dengan al-‘aazil.

    Darah ini membatalkan wuduk tetapi tidak mewajibkan perempuan itu mandi dan tidak wajib meninggalkan solat dan puasa. Oleh itu perempuan yang keluar darah ini hendaklah membasuhnya, membalut tempat keluarnya dan hendaklah berwuduk setiap kali hendak solat fardu.

    Abu Daud dan lainnya meriwayatkan daripada Fatimah binti Hubaisy: Dia telah keluar darah istihadhah, lalu Nabi (Sollallahu alaihi wasallam) bersabda kepadanya: Sekiranya ia darah haid, maka ia akan berwarna hitam yang biasa dikenali oleh orang perempuan. Jika ia bersifat demikian, maka jangan kamu bersolat dan jika tidak begitu, maka berwuduk dan bersolatlah, sesungguhnya ia adalah darah penyakit.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah (Radhiallahu anha) katanya: Fatimah binti Hubaisy telah datang menemui Nabi (Sollallahu alaihi wasallam) dan berkata: Wahai Rasulullah, aku telah mengalami istihadhah, oleh itu aku tidak suci, maka adakah aku perlu meninggalkan solat? Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Tidak, itu hanyalah darah penyakit dan bukan darah haid. Ketika kedatangan haid, hendaklah engkau meninggalkan solat dan apabila kadarnya telah berlalu, maka hendaklah engkau membasuh darah yang berada pada diri engkau dan hendaklah engkau bersolat.

    Perkara diharamkan ketika haid

    a. Solat.

    b. Membaca al-Quran, menyentuhnya dan menanggungnya.

    c. Tinggal di dalam masjid.

    Tidak haram melintasi masjid. Muslim dan lainnya meriwayatkan, daripada Aisyah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) bersabda kepadaku: Ambilkan untukku sejadah di masjid, lalu aku berkata: Sesungguhnya aku dalam keadaan haid. Sabda Rasulullah: Sesungguhnya haidmu itu bukannya di tangan kamu.

    An-Nasai meriwayatkan daripada Maimunah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Seorang daripada kami bangun membawa sejadah ke masjid, lalu dia menghamparkannya, sedangkan dia dalam keadaan haid.

    d. Tawaf.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Kami telah keluar dalam keadaan berihram kerana menunaikan haji. Apabila kami sampai ke satu tempat yang bernama Saraf – tempat berhampiran dengan Makkah – tiba-tiba aku didatangi haid. Dan Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) masuk menemui aku dalam keadaan aku sedang menangis. Rasulullah bertanya: Apa masalah kamu, adakah kamu didatangi haid? Jawabku: Ya. Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas anak cucu perempuan Nabi Adam. Maka, buatlah sebagaimana orang menunaikan haji, lakukanlah kecuali kamu jangan tawaf di Kaabah. 

    Selain itu, ada beberapa perkara lagi diharamkan kepada perempuan haid, iaitu: 

    a. Melintasi masjid dan melaluinya apabila dibimbangi mencemarkan (mengotorkan) masjid. Ini kerana darah adalah najis dan haram mencemarkannya dengan najis dan lain-lain kotoran. Sekiranya ia selamat daripada mengotorinya, maka halal baginya melintasi masjid (sebagaimana dijelaskan sebelum ini).

    b. Berpuasa. Tidak harus bagi perempuan haid berpuasa sama ada fardu (puasa wajib) atau sunat. 

    Hukum ini telah menjadi ijmak (kesepakatan) ulama. Perempuan haid hendaklah mengganti (qada) kembali puasanya selepas suci dan dia tidak wajib mengganti solat. Apabila dia telah suci iaitu apabila haidnya telah berhenti, maka wajib ke atasnya berpuasa walaupun dia belum mandi. 

    Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dan lafaz hadis oleh Muslim, daripada Mua’zah bahawa dia telah berkata: Aku bertanya Aisyah (Radhiallahu anha); mengapa perempuan haid dikehendaki menggantikan puasa dan tidak perlu mengganti solat? Aisyah menjawab: Kami telah didatangi haid ketika bersama-sama dengan Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam), lalu Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) telah memerintahkan kami menggantikan puasa dan tidak menyuruh kami menggantikan solat.

    c. Melakukan persetubuhan, berseronok dan bergaul dengan isteri pada kawasan antara pusat dan lutut.

    Firman Allah pada ayat 222, surah al-Baqarah, maksudnya: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.”

    Abu Daud meriwayatkan daripada Abdullah bin Saad (Radhiallahu anhu): Dia telah bertanya Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Apakah yang dibenarkan aku lakukan terhadap isteriku ketika dia dalam keadaan haid? Jawab Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Bagi kamu yang di atas kain sarung.

    Kain sarung ialah pakaian yang menutup pertengahan badan dan di bawahnya iaitu biasanya di antara pusat dan lutut.

    3. Beranak

    Beranak ialah melahirkan apa yang ada dalam kandungan. Kadang-kadang ia berlaku dalam keadaan darah tidak keluar apabila keluarnya anak. Justeru, dia dihukum sebagai orang yang berjunub kerana anak itu adalah hasil daripada mani perempuan dan lelaki. Hukum tidak berbeza walaupun cara kandungan itu dilahirkan adalah berbeza.

    Apabila darah keluar selepas keluarnya anak – biasanya itulah yang berlaku – maka, darah itu dikenali sebagai darah nifas. 

    Nifas pada pengertian bahasa ialah beranak. Pada pengertian syarak ialah darah yang keluar selepas beranak. Ia dinamakan nifas kerana ia keluar selepas keluarnya nafs (jiwa) dan perempuan itu dipanggil nufasa’.

    Darah yang keluar ketika sakit hendak bersalin atau bersama dengan keluarnya anak tidak dianggap sebagai darah nifas kerana ia mendahului anak ketika keluar, bahkan darah itu dianggap darah yang rosak atau kotor. Oleh itu wajib ke atasnya (perempuan itu) ketika sakit hendak bersalin walaupun dia melihat darah keluar. Sekiranya dia tidak mampu untuk bersolat, maka dia wajib menggantikannya.

    Tempoh nifas – Sekurang-kurangnya tempoh nifas ialah satu lahzoh iaitu seketika saja dan kadang-kadang berterusan beberapa hari. Biasanya 40 hari dan paling maksimum 60 hari. Darah yang keluar selepas tempoh itu dianggap sebagai darah istihadhah (penyakit).

    Perkara diharamkan ketika nifas – ulama sepakat bahawa nifas adalah sama dengan haid dalam semua hukum berkaitan dengannya.

    4. Mati

    Apabila seorang Muslim (atau Muslimah) mati, maka orang-orang Muslim lain wajib memandikannya. Kewajipan ini adalah fardu kifayah iaitu apabila sebahagian kerabat mereka atau orang lain melakukannya, maka gugurlah tuntutan wajib itu ke atas orang lain dan sekiranya ia tidak dilakukan oleh seorang pun, maka semua berdosa.

    Orang yang memandikan wajib berniat memandikannya. Ini adalah hukum berkaitan orang bukan mati syahid. Manakala orang mati syahid tidak dimandikan.

    Dalil wajib memandikan orang mati ialah sebagaimana diriwayatkan Ibnu Abbas (Radhiallahu anhu): Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) bersabda mengenai orang yang mati dalam keadaan ihram kerana dicampak dan dipijak tengkuknya oleh untanya: Mandikannya dengan air dan air bidara. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

    Rukun mandi

    1. Niat – Orang yang junub hendaklah berniat menghilangkan (atau mengangkat) hadas junubnya, perempuan yang baru selesai haid hendaklah berniat menghilangkan hadas kotorannya dan (begitulah) seterusnya. 

    2. Menyampaikan air ke seluruh badan.

    Justeru, seorang yang wajib mandi itu mestilah mandi dengan mengalirkan (atau menyampaikan) air ke seluruh badan dengan niat.

    Perkara sunat ketika mandi: Membaca Bismillah pada permulaan mandi, berwuduk sebelum mandi, menggosok-gosok seluruh badan dengan tangan, mendahulukan yang kanan daripada yang kiri dan berturut-turut.

    Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fikah Mazhab Syafie, Fiqh Islam (H Sulaiman Rasjid) dan Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Mandi yang disunatkan

    Mandi yang disunatkan ialah mandi yang solat tetap sah walaupun tanpanya (tidak mandi).

    1. Mandi pada hari Jumaat.

    Disunatkan mandi pada hari Jumaat bagi orang yang ingin menghadiri solat Jumaat sekalipun solat Jumaat itu tidak diwajibkan ke atasnya seperti orang bermusafir, perempuan dan kanak-kanak.

    Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apabila seseorang kamu ingin menghadiri (solat) Jumaat, maka hendaklah dia mandi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Lafaz hadis ini oleh Muslim)

    Waktu mandi: 

    Waktu mandi pada hari Jumaat bermula ketika terbit fajar sodiq (masuk waktu Subuh). Waktu yang lebih afdal (lebih baik) ialah ketika hampir dengan pemergiannya untuk solat Jumaat, kerana ia lebih membawa kepada maksud mandi iaitu mewangikan tubuhnya, menghilangkan peluh dan bau busuk. 

    2. Mandi pada dua hari raya.

    Disunatkan mandi pada hari raya fitrah (Aidilfitri) dan hari raya korban (Aidiladha). Hukum itu meliputi mereka yang ingin menghadiri  solat atau tidak. Ini kerana hari raya adalah hari untuk berhias, maka disunatkan mandi kerananya.

    Imam Malik meriwayatkan dalam kitabnya al-Muwatta: Abdullah bin Umar RA mandi pada hari raya fitrah (Aidilfitri) sebelum beliau pergi ke tempat solat.

    Dilakukan qiyas (perbandingan) hari raya korban dengan hari raya fitrah (dari segi hukum sunat mandi pada hari itu).

    Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yang terdapat kelemahan padanya, daripada Ibnu Abbas RA bahawa dia berkata: Rasulullah SAW mandi pada hari raya fitrah dan hari raya korban.

    Waktu mandi:

    Waktu mandi pada dua hari raya bermula dari pertengahan malam raya. 

    3. Mandi gerhana matahari dan bulan.

    Disunatkan mandi ketika hendak mendirikan solat gerhana matahari dan bulan. Dalilnya ialah qiyas kepada solat Jumaat. Ini kerana kedua-duanya mempunyai maksud sama dari segi disyariatkan berjemaah dan perhimpunan orang ramai untuk melaksanakannya.

    Waktunya ialah apabila mula berlaku gerhana dan tamat apabila hilangnya gerhana.

    4. Mandi untuk solat istisqa’ (solat minta hujan).

    Disunatkan mandi sebelum keluar bagi mendirikan solat istisqa’ qiyas kepada mandi untuk solat gerhana matahari dan bulan.

    5. Mandi selepas memandikan mayat.

    Disunatkan mandi kepada sesiapa yang memandikan mayat. Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa memandikan mayat, maka hendaklah dia mandi.” (Riwayat Imam Ahmad dan pengarang kitab sunan. At-Tirmidzi menghukumkannya sebagai hadis hasan)

    Perintah mandi dalam hadis itu bukan dengan makna wajib, berdasarkan hadis lain: Tidak wajib ke atas kamu mandi dalam masalah memandikan mayat dalam kalangan kamu, apabila kamu memandikannya. (Riwayat al-Hakim)

    6. Mandi berkaitan ibadat haji.

    (a) Mandi untuk memakai ihram haji atau umrah. Dalilnya sebagaimana diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, daripada Zaid bin Tsabit al-Ansori bahawa dia menceritakan: Dia telah melihat Nabi SAW menanggalkan pakaian untuk berihram, kemudian baginda mandi.

    (b) Mandi ketika hendak masuk Makkah. Dalilnya ialah: Ibnu Umar RA tidak datang ke Makkah melainkan bermalam di Zi Tuwa sehingga waktu pagi. Kemudian dia mandi dan masuk ke Makkah pada siang hari. Dia pernah menyebutkan bahawa Rasulullah SAW berbuat demikian. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Lafaznya daripada Muslim)

    (c) Mandi ketika hendak wukuf di Arafah selepas gelincir matahari. Yang lebih afdal ialah mandi di Namirah yang berhampiran dengan Padang Arafah. Dalilnya Sayidina Ali RA mandi pada kedua-dua hari raya, hari Jumaat, hari Arafah dan ketika hendak berihram. (Imam Syafie dalam musnadnya sebagaimana disebut dalam kitab al-Umm)

    Imam Malik dalam al-Muwatta meriwayatkan daripada Nafi’: Abdullah bi Umar RA mandi kerana ihramnya sebelum dia memakai ihram, ketika masuk ke Makkah dan ketika hendak wukuf di Padang Arafah.

    (d) Mandi untuk melontar batu di ketiga-tiga jamrah pada setiap hari tasyrik yang tiga selepas gelincir matahari. Ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut berkenaan dengannya. Malah kerana ia adalah tempat orang ramai berhimpun. Oleh itu hukumnya sama dengan mandi pada hari Jumaat.

    Jamrah ialah tempat dilontarkan anak batu padanya. Ia terletak di Mina. Ia juga digunakan dengan makna anak batu yang digunakan untuk melontar di tempat berkenaan.

    (e) Mandi kerana memasuki Madinah. Ini sekiranya mudah dilakukan. Ia disunatkan berdasarkan qiyas kepada sunat mandi ketika masuk ke Makkah. Ini kerana kedua-duanya adalah tanah haram. Sekiranya tidak dapat dilakukan, maka disunatkan mandi sebelum masuk ke Masjid Nabi.

    Sumber: Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fikah Mazhab Syafie

  • Apakah hadas

    Hadas pada bahasa ialah sesuatu yang berlaku. Manakala pada syarak, ialah perkara i’tibari (yang hanya wujud atau ada pada anggapan saja) pada anggota manusia yang menghalang daripada sah solat dan lain-lain yang termasuk dalam hukumnya (seperti wuduk) jika tidak diberikan rukhsah.

    Kalimah hadas juga digunakan pada perkara yang membatalkan wuduk dan pada perkara yang mewajibkan mandi.

    Hadas terbahagi kepada dua iaitu hadas kecil dan hadas besar.

    Hadas kecil ialah perkara i’tibari yang berlaku pada anggota manusia yang empat iaitu muka, dua tangan, kepala dan dua kaki, yang mana ia menegah daripada sahnya solat dan seumpamanya.

    Ia boleh dihilangkan dan terangkat dengan berwuduk. Dengan itu, maka jadilah orang yang bersedia untuk solat dan seumpamanya.

    Hadas besar ialah perkara i’tibari yang berlaku pada seluruh badan, yang mana ia menghalang daripada sahnya solat dan perkara-perkara yang termasuk dalam hukumnya. Hadas ini akan terangkat (berakhir) dengan mandi (mandi wajib). Dengan itu, maka jadilah dia seorang yang layak untuk melakukan perkara dilarang melakukannya (yang disebabkan oleh hadas itu).

    Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie

  • Apa harus dilakukan sebaik selesai mengerjakan solat

    Sunat melakukan perkara berikut sejurus selesai mengerjakan solat:

    1. Istighfar, zikir dan doa.

    Imam Muslim meriwayatkan: Apabila Nabi SAW selesai daripada solatnya, baginda istighfar kepada Allah (memohon keampunan) sebanyak tiga kali dan baginda membaca:

    اَللَّهُمَّ اَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ

    (Bacaan dalam tulisan Rumi) Allaahumma antassalaam wa minkassalaam tabaarakta ya dzal jalaali wal ikraam

    (Ertinya: Wahai Allah, Engkaulah Tuhan as-Salam, daripada-Mu as-salam (kedamaian dan keselamatan), Maha Suci Engkau wahai Tuhan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan).

    Imam diharuskan mengangkat suara ketika berzikir apabila bertujuan mengajar (kepada makmum yakni mereka yang mengikuti imam) dan apabila mereka telah mempelajarinya, maka imam hendaklah merendahkan suaranya.

    Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA. Beliau memberitahu bahawa mengangkat suara ketika berzikir selepas orang ramai selesai mengerjakan solat adalah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW.

    Imam Muslim meriwayatkan daripada Kaab bin Ujrah RA bahawa Nabi SAW bersabda: Zikir-zikir (tasbih) yang dibaca berulang-ulang setiap kali selepas solat wajib, tidak akan menjadi sia-sia: Zikir-zikir itu ialah bertasbih 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali.

    Menurut hadis riwayat Abu Hurairah RA: Dan bertakbir 33 kali, maka jumlahnya 99, kemudian dia membaca supaya cukup 100:

    لَا إِلٰهَ إِلَّا الله وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَه لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَعَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر

    (Bacaan dalam Rumi) Laa ilaaha illallaah wahdahu la syariikalah lahul mulku wa lahul hamdu wahuwa ‘alaa kulli syai-in qadiir.

    (Ertinya: Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya puji-pujian. Dan Dia amat berkuasa atas segala sesuatu). Akan diampunkan segala dosanya sekalipun sebanyak buih di lautan.

    At-Tirmidzi meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesiapa mengucapkan selepas solat Subuh dalam keadaan dia masih melipatkan kakinya (belum beredar) dan belum bercakap:

    لَا إِلٰهَ إِلَّا الله وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَه لَهُ المُلكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر

    (Bacaan dalam Rumi) Laa ilaaha illallaah wahdahu la syariikalah lahul mulku wa lahul hamdu yuhyii wa yumiit wa huwa ‘alaa kulli syai-in qadiir

    (Ertinya: Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya pujian, Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia amat berkuasa atas segala sesuatu). Sebanyak 10 kali, maka ditulis untuknya 10 kebajikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan dan diangkatkan untuknya 10 darjat, dan dia sepanjang hari itu terpelihara daripada perkara tidak diingini dan dijaga daripada gangguan syaitan.

    Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW memegang tangannya, lalu bersabda: Wahai Muaz, demi Allah, aku kasih kepadamu. Lalu baginda bersabda lagi: Wahai Muaz, aku wasiatkan kepadamu supaya jangan sekali-kali kamu tinggalkan pada setiap kali selepas solat doa:

    اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَىْ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِك

    (Bacaan dalam Rumi) Allaahumma a’inni ‘alaa zikrika wa syukrika wa husni ‘ibaadatik

    (Ertinya: Wahai Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadat yang baik kepada-Mu).

    2. Berpindah tempat dari tempat solat fardu ketika hendak menunaikan solat sunat.

    Ini dilakukan bagi memperbanyakkan tempat sujud, kerana semuanya itu akan menjadi saksi untuknya.

    Yang afdal (lebih baik) ialah apabila seorang itu solat (fardu) di masjid, maka solat sunat dilakukan di rumah.

    Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda: Solatlah kamu wahai manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang lebih afdal ialah solat seorang itu di rumahnya melainkan solat yang diwajibkan.

    Imam Muslim meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: Apabila seorang kamu telah selesai solatnya di masjid, maka lakukanlah juga solatnya di rumahnya. Sesungguhnya Allah menjadikan daripada solatnya itu kebaikan.

    3. Apabila mereka (orang lelaki) solat di masjid dan di belakang mereka ada wanita, maka disunatkan kepada lelaki agar tetap duduk di tempat mereka sehingga wanita meninggalkan tempat mereka. Ini kerana bercampur dengan mereka adalah perkara yang boleh membawa kepada kerosakan.

    Bukhari meriwayatkan daripada Ummu Salamah RA: Apabila golongan wanita di zaman Rasulullah SAW selesai melakukan solat yang diwajibkan, mereka bangun (meninggalkan tempat solat), sedangkan Rasulullah SAW bersama kalangan sahabat tetap berada di tempat mereka, sehingga suatu waktu dikehendaki Allah SWT. Kemudian, apabila Rasulullah SAW bangun, maka sahabat-sahabat pun bangun.

    * Nota: Perkara sunat – Orang melakukannya diberikan pahala tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan.

    Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie

  • 7 jenis najis: Pembahagian dan cara menyucikan daripadanya

    Erti najis pada bahasa ialah semua benda kotor. Menurut syarak ialah benda yang kotor menghalang daripada sah solat seperti darah dan air kencing.

    Benda najis terlalu banyak. Di sini dinyatakan tujuh perkara:

    1. Arak dan semua cecair yang memabukkan.

    Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji).” (Surah al-Maidah, ayat 90)

    Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Setiap yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram.”

    2. Anjing dan babi.

    Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apabila bekas seseorang kamu dijilat oleh anjing (seperti meminum air di dalamnya), maka sucikanlah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, basuhan pertama hendaklah dengan tanah (air yang dicampurkan dengan tanah).” (Riwayat Muslim)

    Menurut riwayat ad-Darulqutni, salah satu daripada air itu ialah dengan air tanah.

    3. Bangkai. Iaitu semua haiwan yang mati tanpa disembelih dengan cara yang telah ditetapkan oleh syarak.

    Firman Allah bermaksud: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih).” (Surah al-Maidah, ayat 3)

    Pengharamannya adalah disebabkan ia najis. Termasuk juga dalam hukum bangkai, semua yang disembelih untuk berhala dan yang disebut dengan nama selain daripada Allah.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

    (Namun) terdapat tiga jenis bangkai yang tidak dihukumkan sebagai najis:

    i. Bangkai (mayat) manusia.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.” (Surah al-Isra, ayat 70)

    Maksud kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia ialah dia adalah suci sama ada ketika hidup ataupun mati.

    Imam al-Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): “Maha Suci Allah, sesungguhnya orang Islam tidak najis.”

    Ibnu Abbas RA menyatakan: Orang Islam tidak najis, sama ada ketika hidup atau mati. (Riwayat al-Bukhari ketika melakukan komentar dalam kitab jenazah, bab memandikan mayat mengambil wuduk untuknya).

    ii. Ikan

    iii. Belalang

    Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Maka, adapun dua bangkai itu ialah ikan dan belalang. Adapun dua darah ialah hati dan limpa.” (Riwayat Ibnu Majah)

    4. Darah yang mengalir dan nanah.

    Firman-Nya bermaksud: “Atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.” (Surah al-An’am, ayat 145)

    Hati dan limpa dikecualikan daripada darah yang dihukum najis berdasarkan hadis yang lalu.

    5. Air kencing manusia dan binatang serta tahi kedua-duanya.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, bahawa seorang Badwi telah kencing di dalam masjid, lalu Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tuangkan ke atasnya satu timba yang penuh airnya.

    Perintah supaya dituangkan air ke atasnya menunjukkan bahawa air kencing adalah najis.

    6. Setiap bahagian yang tercerai (terpisah) daripada binatang ketika hidup adalah najis.

    Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apa yang dipotong daripada binatang (ketika ia masih hidup) adalah bangkai.” (Al-Hakim, dia mentashihkannya)

    Rambut dan bulu haiwan yang dimakan dagingnya dikecualikan daripada hukum itu. Ia adalah suci.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu (yakni bulu kibas, unta dan kambing), berbagai-bagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.” (Surah an-Nahl, ayat 80)

    7. Susu haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti keldai dan seumpamanya. Ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya dan dagingnya adalah najis.

    (Pembahagian dari segi) najis ‘aini dan najis hukmi:

    Najis ‘aini ialah semua najis yang mempunyai jirim (bentuk) yang dapat dilihat atau mempunyai sifat yang zahir seperti warna ataupun bau, seperti tahi, air kencing atau darah.

    Najis hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau najis itu tidak ada lagi. Contoh, baju yang terkena air kencing, kemudian ia kering dan tidak zahir lagi kesannya.

    Najis mughallazah, najis mutawassitah dan najis mukhaffafah:

    i, Najis mughallazah (berat) ialah najis anjing dan babi.

    Dalil menunjukkan bahawa najis anjing dan babi adalah najis berat ialah kerana tidak memadai membasuhnya satu kali air seperti najis lain. Bahkan mesti dibasuh dengan tujuh kali. Salah satu basuhannya ialah dengan air tanah. Sebagaimana dalam hadis yang lalu iaitu hadis berkenaan anjing menjilat bekas air.

    Babi dilakukan qiyas dengan anjing (dari segi najisnya) kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing.

    ii. Najis mukhaffafah (ringan) ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan tidak makan melainkan susu (manusia) sahaja.

    Dalil menunjukkan bahawa air kencing itu adalah najis ringan ialah ia memadai untuk membersihkannya dengan hanya merenjiskan air ke atasnya. Renjisan air itu hendaklah meratai semua tempat najis walaupun tanpa mengalirkannya.

    Al-Bukhari dan Muslim serta lainnya meriwayatkan daripada Ummu Qis binti Mihsan RA: Beliau menemui Rasulullah SAW dengan membawa anak lelaki kecil yang tidak makan apa-apa makanan. Lalu, anak itu kencing di atas baju baginda. Baginda menyuruh supaya didatangkan air, lalu merenjis-renjiskannya tanpa membasuhnya (mengalirkan airnya).

    iii. Najis mutawassitah (pertengahan) iaitu najis selain anjing dan babi serta air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan melainkan susu manusia.

    Contoh, air kencing manusia, tahi haiwan dan darah. Dinamakan najis pertengahan kerana ia tidak suci dengan hanya direnjiskan air ke atasnya dan tidak wajib dibasuh berulang-ulang kali sekiranya najis itu boleh dihilangkan hanya dengan sekali basuhan.

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas RA, katanya: Apabila Nabi SAW keluar (ke kawasan lapang) untuk menunaikan hajatnya (membuang air), aku datangkan kepadanya air. Lalu Baginda membasuh dengannya.

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ali RA, katanya: Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad (menanyakannya), lalu dia bertanya. Baginda SAW menjawab: Padanya (dikenakan) wuduk.

    Menurut riwayat Muslim: Dia hendaklah membasuh kemaluannya dan berwuduk.

    Air mazi ialah cecair berwarna kuning kejernihan. Biasanya ia keluar ketika syahwat sedang memuncak.

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, katanya: Nabi SAW pergi ke tanah yang rendah untuk membuang air. Kemudian, Baginda menyuruh aku memberinya tiga biji batu. Aku mendapati dua biji batu saja dan aku mencari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Lalu aku mengambil tahi binatang (yang kering) dan aku bawa kepada baginda. Baginda mengambil dua batu itu dan mencampakkan tahi binatang itu, lalu berkata: Ini adalah najis.

    Hadis itu menunjukkan bahawa semua perkara yang disebutkan adalah najis dan begitulah juga benda-benda lain yang tidak disebutkan. Ia dilakukan qiyas (membandingkan) kepada perkara berkenaan.

    Cara bersuci daripada najis

    (A) Najis mughallazah (najis anjing dan babi) ialah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya (dicampur) dengan tanah, sama ada najis itu najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat.

    Dalilnya ialah sebagaimana hadis yang lalu berkenaan anjing menjilat air dalam bekas.

    (B) Cara menyucikan najis mukhaffafah (air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain daripada susu manusia) ialah dengan direnjiskan air secara rata ke tempat najis itu sama ada dalam keadaan najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada badan, pakaian atau tempat.

    (C) Cara menyucikan najis mutawassitah ialah dengan dialirkan air ke atasnya dan dihilangkan kesannya sehingga hilang ‘ain najis itu dan sifatnya; warna, rasa atau bau, sama ada najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat. Tetapi tidak mengapa jika warna masih kekal disebabkan susah untuk dihilangkan seperti darah.

    Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie

  • Najis dan benda kotor yang dimaafkan

    1. Percikan air kencing yang terlalu sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sihat penglihatannya (apabila ia kena pada pakaian atau badan), sama ada najis itu mughallazah (berat), mukhaffafah (ringan) atau mutawassitah (pertengahan).

    2. Darah, nanah, darah kutu anjing dan najis yang sedikit dibawa oleh lalat, selagi ia bukan perbuatan manusia dan bukan dengan sengaja.

    3. Darah atau nanah luka walaupun banyak, dengan syarat ia terjadi pada diri manusia itu sendiri, bukan hasil daripada perbuatannya dan bukan dengan sengaja.

    Disyaratkan supaya darah atau nanah itu tidak mengalir ke tempat lain.

    4. Tahi binatang yang kena biji-bijian ketika ia memijaknya. Begitu juga tahi binatang ternakan yang kena susu ketika diperah, dengan syarat najis itu tidak banyak hingga mengubah keadaan susu itu.

    5. Tahi ikan di dalam air selagi air itu tidak berubah. Begitu juga tahi burung pada tempat yang selalu ia berulang-alik padanya seperti kawasan Tanah Suci Makkah, Tanah Suci Madinah dan Jamik Umawi. Ini adalah disebabkan ‘umum al-balwa (musibah yang umum) dan sukar untuk dipelihara daripadanya.

    6. Darah yang kena baju tukang daging sekiranya tidak banyak.

    7. Darah yang ada pada daging.

    8. Mulut kanak-kanak yang terdapat najis muntah padanya apabila dia menghisap susu ibunya.

    9. Tanah jalan yang kena pada manusia.

    10. Bangkai yang tidak mengalir darahnya atau yang tidak berdarah apabila terjatuh ke dalam suatu cecair seperti lalat, lebah dan semut dengan syarat ia terjatuh dengan sendirinya (bukan dicampak) dan ia tidak mengubah keadaan cecair itu.

    Al-Bukhari dan lain-lainya meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas seseorang kamu, maka hendaklah diselamkan semuanya, kemudian dibuangkannya, (kerana) sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada penawar dan satu lagi mempunyai (kuman) penyakit.”

    Hadis ini menunjukkan sekiranya lalat menajiskan air, maka Baginda tidak memerintahkan supaya diselamkan ke dalamnya.

    Begitu juga hukum bangkai binatang (serangga) lain yang darahnya tidak mengalir. Ia dilakukan qiyas kepada hukum lalat sebagaimana yang jelas nas (dalil) dalam hadis itu.

    Sumber: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie

  • Pakaian, perhiasan halal dan dibenarkan

    Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. 

    Ini berdasarkan umum dalil yang menyatakan nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Juga berdasarkan umum dalil mengenai perkara yang diciptakan dan menjadi nikmat untuk mereka agar mereka memanfaatkannya dalam kehidupan di dunia. 

    Ia datang dalam bentuk pakaian, perhiasan, alat kegunaan dan nikmat kesenangan. 

    Firman-Nya bermaksud: “Dialah yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi semuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

    Firman-Nya dalam surah Ibrahim, ayat 34 bermaksud: “Dan Dia telah memberi kepada kamu daripada setiap apa yang kamu memintanya. Dan sekiranya kamu hendak menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu untuk menghitungnya.” 

    Firman-Nya dalam surah al-A’raf, ayat 32 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya? Katakanlah; semua itu ialah (nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga orang-orang yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman saja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.” 

    Dalam ayat 28 surah al-A’raf firman-Nya bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (kekuasaan) Allah supaya mereka sentiasa beringat dan bersyukur.”

    Erti pakaian dan perhiasan dalam ayat itu ditafsirkan oleh Ibnu Abbas RA sebagai setiap yang jelas kelihatan iaitu pakaian, barang perhiasan yang dipakai dan dihamparkan. 

    Firman Allah yang menyatakan nikmat kurniaan-Nya adalah untuk hamba-Nya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah sebagai tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu kulit binatang-binatang ternak, khemah-khemah yang kamu mendapatinya ringan (dibawa) , semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Dia juga menjadikan) daripada pelbagai jenis bulu binatang ternakan itu, pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa (tertentu).

    “Dan Allah menjadikan bagi kamu tempat berteduh daripada apa yang diciptakan-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu dari gunung-ganang tempat tinggal serta Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang menjaga kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian yang menjaga kamu semasa berjuang. Demikianlah Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya.” (Surah an-Nahl, ayat 80 dan 81)

    Maksud pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan seperti yang disebut dalam ayat berkenaan ialah yang berupa hamparan (tikar atau permaidani) dan beg. Maksud tempat tinggal iaitu tempat kamu berteduh daripada kepanasan dan kesejukan seperti di dalam gua dan lubangnya (pada zaman dulu atau dalam keadaan terdesak).

    Maksud pakaian yang menjaga kamu semasa berjuang iaitu baju besi yang menghalang senjata musuh dan menjauhi kamu daripada tercedera. 

    Daripada dalil ini dan selainnya kita mengetahui bahawa prinsip asal bagi semua jenis pakaian dan perhiasan adalah halal dan diharuskan melainkan apa yang dikecualikan dengan nas yang khusus.

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

  • Dilarang wanita menyerupai lelaki, lelaki menyerupai wanita

    Nabi telah mengisytiharkan bahawa antara yang terlarang ke atas wanita untuk memakai pakaian lelaki, sebagaimana terlarang juga ke atas lelaki memakai pakaian wanita.

    Begitu juga Nabi melaknat lelaki yang menyerupai wanita, di samping wanita yang menyerupai lelaki.

    Termasuk ke dalam larangan juga, semua penyerupaan dalam tutur bicara, gerak laku, gaya berjalan, cara pakaian dan sebagainya.

    Sesungguhnya bahaya yang menimpa kehidupan dan bala bencana yang terbawa-bawa ke dalam jemaah (masyarakat) ialah tingkah laku manusia yang menyalahi fitrahnya (semulajadi) dan perlakuan jahat yang bertentangan dengan tabiat diri manusia.

    Sedangkan perkara tabiat itu ada yang khusus untuk lelaki dan ada yang khusus untuk wanita saja, dan setiap satu pengkhususan itu berbeza dengan yang lain.

    Jika seorang lelaki bersikap pondan, seperti wanita, manakala wanita pula cuba berlagak jantan seperti lelaki, maka pada ketika itu akan berlaku porak-peranda dan keruntuhan moral.

    Nabi SAW telah menghitung (menyatakan) antara orang-orang dilaknati Allah di dunia dan di akhirat serta diaminkan yakni diiyakan malaikat pula atas laknat itu, iaitu seorang lelaki yang dijadikan Allah jantan, lalu membetinakan dirinya dan diserupakannya dengan lagak wanita.

    Begitu pula seorang wanita yang telah dijadikan Allah sebagai wanita, lalu dilelakikan dirinya dengan menyerupakan seperti lelaki.

    Sumber — Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi 

  • Empat jenis diharamkan daripada memakannya

    Pada ayat 168, surah al-Baqarah maksudnya: Wahai manusia, makanlah apa yang ada di muka bumi ini yang halal dan yang baik, dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata kepada kamu.

    Islam menyeru dengan panggilan ‘wahai manusia’ agar mereka memakan daripada rezeki yang baik, yang tersedia pada hidangan yang besar, disediakan buat mereka, iaitu bumi yang luas dengan segala isinya yang telah diciptakan Allah buat mereka, dan diingatkan kepada mereka supaya jangan mengikut jalan-jalan syaitan dan arahannya yang sentiasa diperintahkan kepada sesetengah manusia supaya mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, lalu syaitan pun mengharamkan ke atas mereka daripada segala yang baik-baik dan dijerumuskan mereka ke dalam gaung kesesatan.

    Islam menyerukan: “Wahai orang beriman, makanlah yang baik-baik daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu, dan berterima kasihlah kepada Allah kalau kamu benar-benar berbakti kepada-Nya. Hanyasanya yang diharamkan Allah ke atas kamu, iaitu memakan bangkai, darah dan daging babi, dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah, dan sesiapa berada dalam keadaan terpaksa, tidak dengan sengaja, dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Pengasih-sayang.” (Al-Baqarah, 172 – 173)

    Dalam seruan khusus kepada Mukminin ini, Allah memerintahkan mereka supaya memakan daripada rezeki yang baik-baik yang diberikan kepada mereka dan hendaklah mereka menunaikan kewajipan bersyukur kepada Allah yang telah memberikan mereka nikmat itu.

    Kemudian, Allah menerangkan pula bahawa Dia tidak mengharamkan ke atas mereka melainkan empat jenis makanan, seperti yang tersebut dalam firman-Nya itu dan disebutkan yang sama pada ayat-ayat al-Quran yang lain, dengan dibataskan hanya pada empat jenis makanan itu, sebagaimana firman-Nya pada surah al-An’am, ayat 145, maksudnya:

    “Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang diwahyukan padaku daripada soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, kecuali bangkai, atau darah yang mengalir (daripada binatang yang disembelih), atau daging babi, kerana sesungguhnya ia kotor, ataupun binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang berada dalam keadaan terpaksa, tidak disengajakan, dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu itu adalah Maha Pengampun, Maha Pengasih-sayang.”

    Dalam surah al-Maidah, ayat 3, al-Quran menyebut semua barang yang diharamkan ini dengan lebih terperinci:

    “Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih bukan kerana Allah, yang mati kerana dicekik, yang mati kerana dipukul, yang mati kerana jatuh dari atas, yang mati kerana ditanduk (binatang lain), yang mati kerana dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan yang disembelih untuk berhala…”

    Tidak ada pertentangan antara firman itu, yang telah menghitung barangan yang diharamkan itu sebanyak sepuluh macam, dengan firman-firman yang sebelumnya yang hanya menyebut empat macam.

    Cuma firman ini memperincikan kandungan ayat-ayat terdahulu. Sebab semua yang mati kerana tercekik atau dipukul, atau jatuh dari tempat tinggi atau ditanduk oleh binatang lain atau yang dimakan binatang buas, semua dikira termasuk dalam kategori binatang yang bangkai, dan ayat ini adalah sebagai penerangan lanjut kepada ayat terdahulu.

    Kemudian, tentang binatang disembelih kerana berhala itu termasuk dalam kategori binatang disembelih bukan kerana Allah, jadi maksud kedua-duanya adalah sama.

    Tegasnya, yang diharamkan Allah semuanya empat jenis secara ringkas (umum) dan sepuluh dengan terperinci.

    Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi

You cannot copy content of this page