Kategori: HADIS

  • Jangan marah

    Foto hiasan – Dreamstime

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Berilah daku wasiat.”

    Baginda SAW bersabda: “Jangan marah.”

    Lelaki itu mengulangi ucapannya.

    Baginda pun bersabda: “Jangan marah.” (Riwayat Bukhari)

    PENJELASAN

    Marah adalah kumpulan daripada seluruh keburukan dan satu daripada tiga pintu masuknya syaitan, iaitu lalai, syahwat dan marah.

    Sayidina Umar bin Abdul Aziz berkata: “Beruntung orang yang menjaga diri daripada hawa nafsu, marah dan tamak.”

  • 10 perkara sebelum kiamat

    Satu daripada kejadian sebelum kiamat ialah terbit matahari di sebelah barat – Foto hiasan Unsplash

    1. Asap

    2. Dajjal

    3. Binatang melata

    4. Terbit matahari dari barat

    5. Turun Nabi Isa bin Maryam

    6. Yakjuj dan Makjuj

    7/8/9. Tiga kali tanah tenggelam; tanah tenggelam di timur, tenggelam di barat dan tenggelam di Jazirah Arab (Semenanjung Arab).

    10. Api yang muncul dari arah timur, mengiringi manusia menuju tempat perhimpunan mereka.

    LIHAT HADIS:

    Dalam riwayat Imam Ahmad yang lain, daripada Hudzaifah bin Asad, dia berkata: Nabi SAW tiba-tiba muncul di hadapan kami ketika kami membincangkan kiamat, baginda bersabda: Apa yang kamu bincangkan?

    Kami menjawab: Kami membincangkan soal kiamat.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya kiamat takkan terjadi sebelum kamu melihat 10 tanda; asap, dajjal, binatang melata, terbit matahari dari barat, turun Nabi Isa bin Maryam, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali tanah tenggelam; tanah tenggelam di timur, tenggelam di barat dan tenggelam di Jazirah Arab. Dan akhir daripada semua itu adalah api yang muncul dari arah timur, mengiringi manusia menuju tempat perhimpunan mereka.

    * Mengenai Nabi Isa — turun dari langit yang terdekat dengan bumi, di atas menara putih sebelah timur di kota Damaskus (Damsyik) saat solat Subuh.

    Rujukan/sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 62/ 63

  • 6 petanda menjelang kiamat

    Foto hiasan – Unsplash/Getty Images

    1. Diangkat ilmu (tiada lagi orang berilmu khusus yang pandai dalam agama).

    2. Banyak kebodohan (apabila tiada orang berilmu, maka ramai yang jahil tiada berpengetahuan agama).

    3. Berleluasa perzinaan (malah hari ini ia menjadi suatu industri).

    4. Banyak minum arak (mutakhir ini arak dengan pelbagai nama dan penampilannya mudah saja di dapati).

    5. Sedikit lelaki.

    6. Ramai wanita.

    LIHAT HADIS:

    Dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim diriwayatkan daripada Anas, Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya antara syarat-syarat terjadi kiamat ialah diangkat ilmu, banyak kebodohan, berleluasa perzinaan, banyak minum arak, sedikit lelaki dan ramai wanita, sehingga lima puluh wanita menjadi tanggungan seorang lelaki.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 154

  • Isyarat munculnya pendusta mengaku nabi menjelang kiamat

    Foto hiasan – Unsplash

    Menurut riwayat Muslim daripada Jabir bin Samurah, dia berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya menjelang datangnya kiamat muncul pendusta-pendusta.”

    Jabir mengatakan: Maka waspadalah terhadap mereka.

    Imam Ahmad pula meriwayatkan daripada Jabir bahawa dia mengatakan: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya menjelang datangnya kiamat akan muncul pendusta-pendusta, antara lain seorang pendusta dari Yamamah, pendusta dari Sanaa iaitu al-Absi, pendusta dari Himyar dan dajjal. Dajjal inilah yang menimbulkan bencana besar.”

    Jabir mengatakan: Ada beberapa teman saya mengatakan jumlah mereka hampir 30 orang.

    Hadis ini diriwayatkan sendirian oleh Ahmad.

    Dalam sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Kiamat tidak berlaku sehingga dibangkitkan dajjal-dajjal pendusta hampir 30 masing-masing mengaku dirinya utusan Allah.”

    Dalam sahih Muslim daripada Tsauban, Rasulullah SAW (mafhumnya): “Dan sesungguhnya akan muncul dalam kalangan umatku 30 pendusta masing-masing mengaku dirinya nabi, sedangkan saya penutup para nabi, tidak ada lagi nabi selepas saya.”

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 72 / 73

  • Apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat

    Apabila urusan diberikan kepada orang bukan ahlinya atau orang yang layak, tunggulah kiamat – Foto Unsplash

    Dalam sahih Bukhari ada riwayat daripada Abu Hurairah (ertinya): Bahawa seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW, bilakah terjadi kiamat?

    Maka, kata Rasulullah: Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Kata Badwi itu, wahai Rasulullah, bagaimana atau dia berkata, apakah disia-siakan amanah itu?

    Rasulullah menjawab: Apabila urusan telah diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 157

  • Orang menutupi aib akan ditutupi aibnya di hari kiamat

    Foto hiasan Dreamstime

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Tiada seorang hamba pun yang menutupi aib seorang hamba di dunia melainkan dia akan ditutupi aibnya oleh Allah pada hari kiamat. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menganjurkan untuk menutupi aib seorang muslim, lebih-lebih lagi orang yang tidak diketahui keburukannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 210

  • Abu Israil dan nazarnya

    Terik matahari – Foto hiasan Unsplash

    Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Pada suatu ketika Nabi SAW sedang berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang berdiri, maka Nabi bertanya mengenai lelaki terbabit.

    Para sahabat menjawab: Dia ialah Abu Israil. Dia bernazar hendak berdiri di terik matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh, tidak akan berbicara, dan tetap akan berpuasa.

    Maka, Nabi bersabda: Perintahkan dia supaya berbicara, berteduh, duduk dan hendaklah dia menyempurnakan puasanya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan orang mendekatkan diri kepada Allah dengan perbuatan yang tidak dianggap ibadat oleh Allah, maka dia tidak wajib melakukannya meskipun dia bernazar melakukannya. Sesiapa bernazar suatu ibadat yang disyariatkan, maka dia wajib melakukannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 148

  • Cara jawab salam ahli kitab

    Daripada Anas RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) memberi salam kepada kamu, maka jawablah (dengan ucapan): Wa alaikum.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Huraian

    – An-Nawawi berkata: “Ulama sepakat atas bolehnya menjawab ucapan salam kepada ahli kitab jika mereka mendahului mengucapkan salam, namun jangan dengan mengucapkan wa alaikum salam tetapi ucapkanlah alaikum atau wa alaikum.”

    – Makna hadis ini terdapat dalam hadis lain: “Sesungguhnya orang Yahudi ketika mengucapkan salam kepada kamu, salah satu daripada mereka mengucapkan ‘as-saamu alaikum’ maka jawablah salam mereka dengan ucapan ‘wa alaikum’.” (Riwayat Muslim)

    – As-saamu ertinya kematian.

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Keadaan penghuni syurga

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Zaid bin Arqam, dia bercerita: Ada seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Abul Qasim, bukankah anda beranggapan penghuni syurga makan dan minum?

    Sebelumnya Yahudi itu berkata kepada teman-temannya: Kalau Muhammad mengiyakan pertanyaanku, maka aku akan berdebat dengannya.

    Zaid berkata (melanjutkan ceritanya): Rasulullah SAW menjawab, benar, demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya setiap orang daripada mereka benar-benar diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum, syahwat dan berhubungan seksual.

    Kata Zaid: Maka, Yahudi itu berkata, sesungguhnya orang yang makan dan minum mesti membuang hajat (buang najis).

    Rasulullah SAW bersabda: Cara membuang hajat setiap orang daripada mereka dengan mengeluarkan peluh yang mengucur (keluar) dari kulit, baunya (harum) seperti minyak kasturi. Tiba-tiba perut mereka menjadi kosong kembali.

    Imam Ahmad juga meriwayatkan: Daripada Jabir RA, sabda Rasulullh SAW: Penghuni syurga makan dan minum di sana, tanpa membuang najis, kencing, berhingus mahupun meludah. Makanan mereka menjadi sendawa dan peluh yang merembes keluar bagaikan minyak kasturi.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 507

  • Tanah syurga

    Dalam sahih Bukhari dan Muslim terdapat riwayat: Daripada Abu Dzar al-Ghifari RA dalam hadis mikraj Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Aku dimasukkan ke dalam syurga, ternyata di sana banyak batu-batu mutiara besar dan tanahnya adalah kasturi.”

    Menurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bertanya kepada Ibn Said RA tentang tanah syurga, maka dia menjawab: “Tanahnya debu lembut yang putih, kasturi murni.”

    “Benar,” sabda Rasulullah SAW membenarkan.

    Menurut riwayat Muslim pula: Daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Ibn Saiyad bertanya kepada Nabi SAW tentang tanah syurga, maka baginda menjawab: “Tanahnya debu lembut yang putih, kasturi murni.”

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Jabir bin Abdillah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda tentang orang-orang Yahudi: “Aku pernah bertanya kepada mereka tentang tanah syurga” – maksudnya, benarkah berupa debu lembut yang putih.

    Baginda bertanya kepada mereka, maka mereka menjawab: “Tanahnya berupa roti, hai Abul Qasim.”

    Rasulullah bersabda (melengkapi pernyataan mereka): “Roti daripada debu lembut yang putih.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, 486 & 487

You cannot copy content of this page