Kategori: TOKOH

  • Ibn Jazla

    Nama penuh: Abu Ali Yahya bin Isa Ibn Jazla

    Di Barat, dia lebih dikenali sebagai Ben Gezla atau Byngezla, atau Buhahylyha atau nama lain yang mirip.

    Tarikh kelahirannya tidak diketahui secara pasti. Sejarawan mengatakan dia meninggal pada Syaaban 493 Hijrah/Jun 1100 Masihi.

    Dia terkenal sebagai doktor Arab berasal dari Baghdad, yang asalnya beragama Kristian, kemudian memeluk Islam pada 11 Jamadilakhir 466 Hijrah/11 Februari 1047 Masihi.

    Dia belajar ilmu kedoktoran bersama Said bin Hibatullah, seorang doktor istana zaman pemerintahan al-Muktadi.

    Ibn Jazla pernah menjadi setiausaha Imam Hanafi, seorang kadi di Baghdad. Kemudian menetap di al-Karkh. Di tempat ini dia sering diundang tetangga dan kawannya untuk memberikan pengubatan secara ikhlas, bahkan memperoleh dari mereka pengetahuan mengenai dunia ubat-ubatan.

    Beberapa karyanya:

    Taqwim al-Abdan fi tadbir al-Insan, dicetak di Damsyik pada 1333 Hijrah/1914 Masihi, dan diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Faraj bin Salim atau lebih dikenali sebagai Mr. Farachi, seorang doktor Yahudi Sicilia di tahun 1280 Masihi. Karya ini mengandungi antara lain gambaran 352 macam penyakit dan menunjukkan pelbagai jenis diet yang kuat untuk menangkal penyakit tersebut.

    Minhaj al-Bayan fi ma Yastamiluh al-Insan dipersembahkan kepada khalifah al-Muktadi. Karya ini terdiri dari banyak daftar tatanama dan ubat-ubatan, baik yang sederhana mahupun campuran. P.de Koning pernah menterjemahkannya ke bahasa Perancis.

    Ar-Radd’ala Nasarah, sebuah buku yang mengangkat nama Islam dan mengkritik Yahudi dan Kristian. Dari karya ini dapat diketahui alasan utama perpindahannya ke Islam adalah melalui pengenalan kepada Nabi Muhammad serta nabi-nabi yang tersebut dalam buku-buku Pentateuch (dari perjanjian lama), begitu pula ajaran-ajaran mereka.

    Karyanya yang lain, antaranya Mukhtar Mukhtasar Tarikh Baghdad, ringkasan karya al-Khatib al-Baghdadi; Al-Ishara fi Talkhis al-Ibara; dan Fada’il ath-Thibb.

    Ruj: Ilmuawan Islam, Muhammad Hanafi

You cannot copy content of this page