Kategori: NEWS

  • Jumlah kematian Lubnan meningkat kepada 3,445

    TEHRAN — Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan jumlah kematian akibat pencerobohan rejim Israel ke atas negara itu meningkat kepada 3,445 sejak Oktober tahun lalu.

    Kementerian membuat pengumuman pada malam Jumaat, mengatakan jumlah orang cedera juga mencecah 14,599, lapor rangkaian TV Al Mayadeen.

    Israel memulakan pencerobohannya ke atas Lubnan pada awal Oktober tahun lalu di tengah-tengah peperangannya ke atas Gaza.

    Rejim itu memperhebatkan serangan udara ke atas Lubnan sejak 23 September tahun ini, melanda kawasan berbeza, terutama wilayah selatan negara itu. Beberapa hari kemudian, Israel melancarkan serangan darat juga.

    Majoriti mangsa Lubnan berpunca daripada serangan yang dipergiatkan sejak beberapa minggu lalu.

    Gerakan penentangan Lubnan Hizbullah tidak berdiam diri dalam menghadapi pencerobohan Israel terhadap orang awam di Lubnan, kerana ia telah meneruskan operasi terhadap kedudukan dan penempatan tentera Israel.

    Hizbullah berjaya mengebom kedudukan tentera rejim dengan ratusan roket sejak beberapa hari lalu, sambil pada masa yang sama memburu tentera rejim dan kenderaan berperisai dalam pertempuran darat.

    Setakat ini, seratus askar Zionis telah terbunuh dan seribu yang lain telah cedera.

    Hizbullah juga mengumumkan pada Rabu bahawa buat pertama kali sejak bermulanya perang, ia telah melancarkan serangan dron ke atas pangkalan Kirya, yang merupakan rumah kepada kementerian perang Israel, Kakitangan Am tentera rejim, bilik arahan perang, dan jawatankuasa penyeliaan dan kawalan tentera udara rejim di Tel Aviv.

    IRNA

  • Terjerat cinta ‘kekasih Korea’, wanita rugi lebih RM80,000

    SIBU — Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an kerugian RM86,841 selepas menjadi mangsa penipuan cinta lelaki warga Korea yang dikenali menerusi aplikasi “Tinder” pada Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asistan Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata dalam laporan polis pada Khamis, pekerja swasta berkenaan memaklumkan pada 19 Jun lalu suspek telah berjanji akan bertemu dengannya selepas permohonan visa suspek diluluskan.

    “Pada awal Julai lalu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia telah membuat beberapa penghantaran barang kepada mangsa namun barang berkenaan ditahan pihak kastam Indonesia sebelum transit ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkipli berkata selepas berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai kastam pada 25 Julai, mangsa diminta untuk membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan sijil pelepasan supaya barangan berkenaan dihantar ke Malaysia.

    Mangsa membuat 25 transaksi pindahan wang ke lapan akaun tempatan berjumlah RM86,841 sebelum berasa ragu-ragu dan menyedari dirinya ditipu apabila masih diminta untuk membuat pelbagai pembayaran. Suspek juga tidak dapat dihubungi mangsa selepas itu.

    “Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • 10 bayi maut dalam kebakaran di unit neonatal hospital India

    LUCKNOW — Sepuluh bayi baru lahir maut akibat melecur dan sesak nafas selepas kebakaran melanda unit rawatan rapi neonatal di utara India, kata seorang pegawai kerajaan pada Sabtu.

    Kebakaran berlaku lewat Jumaat di Kolej Perubatan Maharani Laxmibai di daerah Jhansi kira-kira 285 km (180 batu) barat daya Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

    Anggota kecemasan menyelamatkan 38 bayi baru lahir dari wad, yang menempatkan 49 bayi ketika kejadian, kata Timbalan Ketua Menteri negeri Brajesh Pathak.

    “Tujuh belas daripada mereka yang cedera sedang menerima rawatan di bahagian sayap yang berbeza dan beberapa hospital swasta,” kata Pathak kepada pemberita di Jhansi.

    Tujuh daripada bayi yang maut telah dikenal pasti, manakala pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti tiga bakinya, katanya.

    Seorang bayi masih hilang, kata seorang pegawai kerajaan yang meminta untuk tidak dikenali kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

    Punca kebakaran masih belum diketahui. Ketua Menteri Uttar Pradesh Yogi Adityanath mengarahkan siasatan terhadap insiden itu.

    Perdana Menteri India Narendra Modi mengucapkan takziah atas insiden “menyayat hati” itu.

    “Takziah saya yang mendalam kepada mereka yang kehilangan anak mereka yang tidak bersalah dalam hal ini,” kata Modi di platform X. “Saya berdoa kepada Tuhan untuk memberi mereka kekuatan untuk menanggung kehilangan yang besar ini.”

    AN-REUTERS

  • Pasukan PBB di Lubnan berkata peluru artileri hentam ibu pejabat Sektor Barat

    BEIRUT — Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat, peluru meriam menghentam ibu pejabat Sektor Baratnya di kampung Chamaa di selatan Lubnan.

    “Petang tadi, peluru artileri hidup 155mm melanda UNP 2-3, ibu pejabat UNIFIL Sektor Barat di Chamaa,” kata kenyataan itu.

    “Peluru itu tidak meletup, dan pakar pemusnah bom Itali dengan pantas mengamankan kawasan itu, mengeluarkan senjata itu, dan melakukan letupan terkawal,” kata kenyataan itu sambil menyatakan tiada kecederaan dalam kalangan pasukan pengaman.

    “Sebagai langkah berjaga-jaga akibat permusuhan berterusan antara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Hizbullah, kakitangan berada di tempat perlindungan,” katanya.

    Kenyataan itu mengingatkan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan kakitangan dan harta benda PBB, dengan menyatakan, “Serangan yang disengajakan ke atas pasukan pengaman adalah pelanggaran berat undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701.”

    Tapak dan kemudahan UNIFIL sebelum ini telah diserang di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara tentera Israel dan Hizbullah, yang bermula pada 8 Okt 2023.

    Statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Lubnan pada Jumaat mendedahkan jumlah kematian akibat serangan udara Israel di Lubnan sejak bermulanya konflik mencecah 3,445, dengan kecederaan meningkat kepada 14,599.

    Sementara itu, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan pada hari yang sama, lapan orang terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan.

    XINHUA

  • 7 maut dalam kebakaran kediaman di tengah China

    CHANGSHA — Tujuh orang terbunuh berikutan kebakaran di sebuah kediaman di Wilayah Hunan tengah China pada pagi Sabtu, pihak berkuasa memberitahu Xinhua.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 5:02 pagi di sebuah rumah lima tingkat diperbuat daripada batu bata dan konkrit di Daerah Sangzhi, Bandar Zhangjiajie. Kebakaran berlaku di tingkat dua seluas kira-kira 160 meter persegi, menurut jabatan publisiti daerah itu.

    Tujuh mayat ditemui semasa menyelamat dan api berjaya dipadamkan. Punca kejadian masih dalam siasatan.

    XINHUA

  • Mayat wanita ditemukan terapung di Taiping

    IPOH — Mayat seorang wanita ditemukan terapung di lombong Tekah Permai, Taiping, dekat sini hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.13 pagi hasil maklumat polis.

    “Mangsa adalah seorang wanita dewasa namun identitinya masih tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping mengambil masa 15 minit untuk menarik mayat mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Penyamun mati dalam rumah mangsa, 2 rakan ditahan

    KLUANG — Seorang suspek pecah rumah ditemui mati, manakala dua lagi rakan sejenayah ditahan polis di sebuah rumah dekat Jalan Laksamana Sunrise Park di sini malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin, berkata dalam kejadian jam 7.12 malam itu, suspek yang mati ditemui dengan kesan kecederaan pada tangan kanannya dan punca kematiannya itu sedang disiasat.

    “Si mati didapati cedera pada salur darah utama kerana banyak kesan darah dijumpai di lokasi. Punca kecederaan itu masih dalam siasatan, sama ada akibat terkena pagar besi rumah atau objek lain ketika pecah masuk rumah atau hendak melarikan diri apabila menyedari penduduk setempat dan polis sampai.

    “Sebelum itu, si mati bersama tiga lagi suspek yang berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun memecah masuk sebuah rumah dan polis menerima panggilan memaklumkan hal itu dari orang awam.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai polis yang tiba di lokasi berjaya menahan dua suspek dan menemui si mati yang telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Nik Mohd Azmi berkata, susulan kejadian itu juga, polis kini giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Mohamad Sahli Talib, 39, dengan alamat terakhir di Kampung Belukar Gunong Bachok Kelantan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Katanya, bedah siasat terhadap mayat sedang dibuat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan jenis objek yang menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematiannya.

    “Ketika ini siasatan mengikut kes mati mengejut,” katanya sambil memaklumkan bahawa semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.

    “Saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang ditangkap didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    BH ONLINE

  • Tragedi berakit: 3 lemas disahkan kakitangan JKR

    KAMPAR — Identiti tiga mangsa lemas semasa melakukan aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng, petang tadi dikenalpasti sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Dua mangsa lelaki ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang bertugas di JKR Langkawi, manakala mangsa wanita iaitu Suhaili Mat Saad, 47, berkhidmat di JKR Seberang Perai Tengah.

    Identiti ketiga-tiga mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi malam ini.

    Beliau berkata, mangsa wanita berasal dari Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

    “Mohamad Khairul Hakim berasal dari Ayer Hangat, Langkawi manakala Muhammad Ikram berasal dari Taman Permata, Jitra, Kedah,” katanya.

    Berdasarkan tinjauan di Hospital Kampar, mayat ketiga-tiga mangsa tiba di Unit Forensik sekitar jam 9.55 malam dengan dibawa kenderaan polis.

    Terdahulu, dilaporkan mangsa adalah antara 22 peserta yang menyertai aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng sempena program ‘Team Building’ yang diiringi enam pemandu pelancong.

    Difahamkan, kesemua peserta turun ke kawasan sungai bermula jam 3.30 petang yang mana jarak perjalanan ‘rafting’ adalah enam kilometer (km) menyusuri sungai.

    Dikatakan, mangsa dihanyutkan arus di selepas empat km perjalanan menyusuri sungai.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dipetik berkata, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.56 petang.

    Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, tiga mangsa terbabit sudah dinaikkan orang awam ke tebing sungai dan disahkan meninggal dunia.

    BH ONLINE

  • Disangka hilang, rupanya mayat dalam semak

    HULU SELANGOR — Seorang polis bantuan di sebuah agensi yang disangka hilang ditemui meninggal dunia dalam kawasan semak di lereng bukit di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Lembah Beringin hari ini.

    Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui pada jarak kira-kira 300 meter dari motosikalnya, jam 7.50 pagi tadi.

    Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata polis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 6.02 pagi.

    “Siasatan awal mendapati pada jam 11.30 malam tadi, sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa.

    “Kereta itu kemudian terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke lereng bukit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala kenderaan yang terbabit nahas ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Budak 2 tahun maut, motosikal dinaiki bersama 3 ahli keluarga rempuh lori keluar simpang

    LAHAD DATU — Seorang budak perempuan berusia dua tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabit nahas dengan sebuah lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, di sini.

    Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian disebabkan kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang semalam itu.

    Motosikal ditunggang bapanya berusia 47 tahun turut membawa abang mangsa berusia tiga tahun dan ibu mereka berusia 29 tahun.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum nahas berkenaan, motosikal dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

    Katanya, sebaik memasuki bulatan jalan, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang jalan di sebelah kiri.

    “Akibat jarak terlalu dekat, bapa mangsa gagal mengelak lalu terus merempuh tayar hadapan lori berkenaan. Susulan itu, mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga tercampak dari motosikal ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, bapa, ibu dan abang mangsa mengalami kecederaan lalu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

    “Sampel darah pemandu dan penunggang motosikal sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol serta dadah. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Dzulbaharin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan menghubungi Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881225 untuk membantu siasatan.

    BH ONLINE

You cannot copy content of this page