Kategori: News

  • Remaja hilang ketika mandi sungai, ditemui lemas

    SEGAMAT — Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di Sungai Jeram Badoh, Kampung Mensudut Lama, Batu Anam Jumaat lalu, ditemui meninggal dunia tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mayat mangsa, Muhammad Idham Abd Kadir, 14 tahun itu ditemui pada jam 12.05 tengah hari.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga disambung kira-kira jam 7 pagi tadi.

    “Pada jam 12.05 tengah hari, pasukan SAR polis Segamat bersama Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Bandar Segamat berjaya menjumpai mayat remaja lelaki itu yang masih berpakaian seluar trek gelap tanpa baju.

    “Mayat ditemui tersangkut di akar-akar kayu di dalam sungai kira-kira 450 meter dari lokasi terakhir dilihat.

    “Waris mangsa yang berada di lokasi kejadian membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Daerah Segamat (HDS) bagi tujuan bedah siasat serta tindakan lanjut siasatan,” katanya ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Sungai Jeram Badoh, di sini, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait dan Ketua BBP Bandar Segamat Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abd Razak.

    Dengan penemuan itu, operasi SAR orang hilang di lokasi berkenaan ditamatkan pada jam 2 petang.

    Kelmarin, Ahmad Zamry dalam satu kenyataan mengesahkan ada menerima makluman mengenai kejadian remaja lelaki, 14 tahun itu yang hilang di Sungai Jeram Badoh pada jam 4.20 petang.

    Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat adalah ketika mandi di Sungai Jeram Badoh bersama 19 rakannya.

    “Saksi memberitahu mangsa dihanyutkan arus di tengah sungai dan tidak melihat kelibatnya di kawasan sekitar sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk setempat,” katanya.

    Bertindak atas maklumat itu, Ahmad Zamry berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Segamat, Batu Anam dan Buloh Kasap digerakkan ke lokasi untuk melakukan pencarian dan PKTK dibuka pada jam 5.30 petang di tebing Sungai Jeram Badoh, Kampung Mensudut Lama.

    Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Operasi SAR terdiri daripada pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Segamat, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Ketua Kampung bersama penduduk.

    BH ONLINE

  • Dua bom kilat dilepaskan di kediaman Netanyahu

    TEHRAN — Agensi pengintip dalaman rejim Zionis, Shin Bet dan polis, berkata petang Sabtu, sepasang suar dilepaskan ke kediaman peribadi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di bandar utara Caesarea, dekat Haifa.

    Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab tetapi radio tentera Israel mengesahkan kejadian itu, mengatakan polis telah melancarkan siasatan.

    Kawasan tempat tinggal Netanyahu telah diserang dron kumpulan penentang, termasuk Hizbullah Lubnan beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Laman berita Walla juga menilai dua bom kilat di taman rumah Netanyahu sebagai satu lagi kegagalan keselamatan rejim dan mengatakan bahawa kejadian ini sangat berbahaya.

    Netanyahu mahupun keluarganya tidak hadir dan tiada kerosakan dilaporkan, kata polis dalam satu kenyataan.

    Presiden Israel Isaac Herzog mengecam insiden itu dalam satu siaran di X dan berkata siasatan sedang dijalankan.

    “Hasutan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu merentasi semua sempadan. Melemparkan bom kilat ke rumahnya malam ini melintasi satu lagi garis merah,” kata Menteri Keselamatan Itamar Ben-Gvir di X.

    Beliau menambah: Hari ini mereka menyerang rumah Perdana Menteri dengan suar, dan esok, ini akan dilakukan dengan peluru.

    Pada Oktober, sebuah dron dilancarkan ke arah rumah Netanyahu di Caesarea, tanpa menyebabkan sebarang bahaya yang kemudiannya disahkan oleh Hizbullah. Media Zionis kemudian mengesahkan banyak ambulans dan pasukan polis ditempatkan berhampiran rumah itu berikutan serangan itu.

    Menurut IRNA, sumber Zionis mengumumkan pada malam Khamis satu lagi dron menyasarkan kediaman Netanyahu di Caesarea.

    Laporan mengatakan bahawa Netanyahu bekerja di dalam bilik terlindung di ruang bawah tanah pejabatnya beberapa hari ini kerana takut serangan dron berikutan perkhidmatan rahsia juga menasihatinya untuk tidak tinggal di tempat itu.

    IRNA

  • Mangsa terselamat masih terperangkap selepas bangunan runtuh di Tanzania

    DAR ES SALAAM — Pekerja penyelamat Tanzania menggali runtuhan bangunan untuk hari kedua pada Ahad, dengan harapan dapat menarik mangsa yang terselamat dari bawah runtuhan.

    Blok empat tingkat itu turun sekitar jam 9:00 pagi (0600 GMT) pada Sabtu di pasar Kariakoo yang sibuk di negara Afrika timur itu, di tengah-tengah ibu kota komersial Dar es Salaam.

    Lima orang telah disahkan maut akibat bencana itu, kata pasukan bomba.
    Sekurang-kurangnya 70 orang telah diambil hidup-hidup dari tapak tersebut.

    Pesuruhjaya wilayah Dar es Salaam Albert Chalamila pada Ahad berkata terdapat lebih ramai orang yang masih terperangkap di tingkat bawah tanah bangunan yang hancur, tanpa menyatakan bilangannya.

    “Kami sedang berkomunikasi… dan kami sudah membekalkan mereka dengan oksigen dan air,” katanya.

    “Mereka stabil dan kami percaya mereka akan diselamatkan dalam keadaan hidup dan selamat.”

    Ketua bomba John Masunga berkata usaha mencari dan menyelamat terhalang oleh banyak tembok yang membentuk struktur bangunan itu.

    Selepas lantai bangunan itu melengkung dengan cepat di bawah satu sama lain sehingga membentuk gunung serpihan, beratus-ratus responder pertama (pihak pertama melakukan kerja menyelamat) menggunakan tukul besi dan tangan kosong mereka untuk menarik batu selama berjam-jam.

    Kren dan peralatan angkat berat lain kemudian dibawa masuk untuk membantu.

    Tidak jelas mengapa bangunan komersial itu runtuh tetapi saksi memberitahu media tempatan bahawa pembinaan untuk mengembangkan ruang perniagaan bawah tanahnya bermula pada Jumaat.

    Insiden itu telah memperbaharui kritikan berhubung pembinaan tidak terkawal di bandar Lautan Hindi yang mempunyai lebih lima juta penduduk itu.

    Salah satu bandar yang paling pesat berkembang di dunia, Dar es Salaam telah menjadi lokasi ledakan harta benda yang meriah dengan bangunan menjulang tinggi, selalunya dengan tidak mengambil kira peraturan.

    Pada 2013, sebuah bangunan 16 tingkat runtuh di Dar es Salaam, mengorbankan 34 orang.

    AN-AFP

  • Bom tepi jalan membunuh tiga askar di utara Iraq

    BAGHDAD — Bom di tepi jalan menyasarkan kenderaan tentera Iraq membunuh tiga askar di utara Iraq pada Ahad, kata sumber polis dan hospital.

    Serangan dekat bandar Tuz Khurmatu, kira-kira 175 km (110 batu) di utara ibu kota Baghdad, menyebabkan dua yang lain cedera parah.

    Tiada tuntutan bertanggungjawab segera bagi serangan itu, tetapi militan Daesh aktif di kawasan itu, kata dua pegawai keselamatan Iraq.

    Walaupun kekalahan kumpulan itu pada 2017, saki-baki terus melakukan serangan hentam lari terhadap pasukan kerajaan.

    AN-REUTERS

  • Sekurang-kurangnya 96 rakyat Palestin terbunuh oleh pengeboman Israel di Gaza: Hamas

    GAZA — Sekurang-kurangnya 96 rakyat Palestin terbunuh oleh pengeboman Israel di utara dan tengah Semenanjung Gaza dalam beberapa jam lalu, kata pejabat media kerajaan Gaza dikendalikan Hamas pada Ahad.

    XINHUA

  • Lelaki maut, adik melecur dalam kebakaran rumah pagi tadi

    SANDAKAN — Seorang lelaki maut, manakala adiknya melecur selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Batu Sapi Karamunting, di sini, pagi tadi.

    Mangsa, Jailan Jaimin, 35, yang mengalami strok ditemukan rentung oleh pasukan bomba di ruang tamu rumah berkenaan.

    Adik lelaki mangsa berusia lingkungan 20-an pula melecur di bahagian belakang badan, manakala beberapa ahli keluarga lain berjaya keluar menyelamatkan diri.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.

    Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer.

    “Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

    “Dalam kejadian itu juga, kereta Proton Saga dan Nissan sedan musnah sepenuhnya, manakala lori 10 tan pula terbakar 80 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Severinus berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran tiga pancutan dengan sumber air jentera.

    “Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa rentung ditemukan di kawasan ruang tamu rumah dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.27 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.35 pagi.

    “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Warga emas dikhuatiri lemas ketika keluar beli makanan

    ALOR GAJAH — Seorang warga emas dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan ketika dalam perjalanan membeli makanan awal pagi tadi.

    Mangsa, Mokhtar Othman, 61 yang juga pengurus kilang, dikatakan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya di Machap, dekat sini kira-kira jam 1.50 pagi.

    Difahamkan, mangsa menetap di Shah Alam, Selangor dan pulang ke Machap untuk menghadiri kenduri.

    Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.39 pagi dan memaklumkan terdapat seorang lelaki terperangkap dalam tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera, di sini.

    Susulan itu, beliau berkata, dua jentera bomba masing-masing dari BBP Alor Gajah dan Ayer Keroh bersama 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian namun mangsa tiada sejurus pintu tandas dibuka pasukan penyelamat.

    “Kami hanya menemui kenderaan mangsa di lokasi berkenaan selain sepasang selipar di tebing sungai, dipercayai milik lelaki berkenaan.

    “Sementara hasil rakaman ‘dashcam’ daripada kereta mangsa mendapati dia hanya mundar-mandir dan tidak masuk ke dalam tandas kerana berkunci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Serentak itu, beliau berkata, bomba mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan permukaan dan di dalam air bagi mengesan mangsa.

    “Usaha pencarian masih diteruskan selain unit anjing pengesan juga sudah dihubungi bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.

    Sementara itu, anak saudara mangsa dikenali sebagai Abdul Haafith, 25, berkata, sebelum kejadian bapa saudaranya itu ada mengadu tidak sihat kerana mengalami cirit birit dan sakit kepala.

    “Selepas masih tidak pulang ke rumah, isterinya menghubungi saya kira-kira jam 4.50 pagi untuk bersama-sama keluar mencarinya di kedai mamak dan juga hospital namun kami tidak menjumpainya.

    “Mungkin ketika dalam perjalanan ke kedai membeli makanan, pak cik tiba-tiba sakit perut dan berhenti untuk ke tandas tetapi berkunci.

    “Saya memohon orang ramai untuk sama-sama berdoa supaya bapa saudara saya segera ditemui,” katanya.

    BH ONLINE

  • Calon SPM hadapi 63 tuduhan amang seksual

    BATU PAHAT — Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah di Sri Gading, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 63 pertuduhan amang seksual bukan fizikal termasuk memiliki video pornografi kanak-kanak.

    Tertuduh berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh kepada tertuduh.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa di daerah ini, Kluang dan Tangkak.

    Semua kejadian didakwa berlaku antara jam 10 pagi hingga 11 malam, bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu, membabitkan mangsa lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

    Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba pada jam 2.30 pagi, 11 November lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK dan boleh dipenjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan laporan, tertuduh dikatakan meminta mangsa melakukan aksi tidak senonoh dan merakamnya.

    Selepas itu, mangsa diminta menyerahkan rakaman terbabit kepada tertuduh.

    Kejadian dikatakan berulang kali dan ada mangsa didakwa mengadukan hal terbabit kepada pihak pengurusan sekolah namun tiada tindakan diambil.

    Mangsa dikatakan diugut supaya mengikut arahan tertuduh atau rakaman video mereka disebar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Shariff.

    Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

    Tertuduh dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.

    BH ONLINE

  • Kanak-kanak 8 tahun dikhuatiri lemas terjatuh ke dalam longkang besar

    JOHOR BAHRU — Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya di kawasan Bandar Baru Uda, Tampoi di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita mengenai kejadian itu kira-kira 3.51 petang.

    Beliau berkata ketika kejadian, mangsa bersama-sama dua lagi rakan lelaki berusia tujuh dan lapan tahun sedang bermain air di tepi longkang berhampiran lokasi berkenaan.

    “Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tergelincir ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ke arah longkang besar berhampiran sebuah pasar raya.

    “Susulan itu, kita telah membuka pos kawalan tempat kejadian (PKTK) di lokasi kejadian dan kini giat menjalankan operasi pencarian dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Balveer Singh berkata operasi itu meliputi kawasan di sekitar lokasi kejadian sehingga ke sungai berdekatan dan kes disiasat di bawah kertas enkuiri polis-orang hilang (KEP-OH).

    “Pada masa sama, kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Helmy Halim di talian 012-5759953.

    Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I KUP Nordatul Badrol Abd Rahman dalam kenyataan berasingan memaklumkan paras air ketika mangsa hilang adalah sedalam lapan kaki dan cuaca hujan.

    Beliau berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membuat pencarian dengan kaedah ‘search surface’ daripada tempat bermulanya mangsa dipercayai tergelincir sehingga ke Sungai Skudai, Kampung Usaha Jaya.

    “Sementara itu, tindakan pencarian kedua adalah dengan bantuan bot penduduk kampung untuk mencari di kawasan muara berdekatan perangkap sampah,” katanya.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Bomba potong dua cincin tersekat pada kemaluan lelaki

    SUNGAI PETANI — Khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi memotong dua cincin yang tersangkut pada alat sulit seorang lelaki yang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 2.12 petang.

    Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Aman Jaya tiba di lokasi tidak lama kemudian.

    “Sejurus tiba, pihak hospital memaklumkan seorang mangsa lelaki dewasa berusia 38 tahun mengalami masalah apabila dua cincin tersangkut pada kemaluannya.

    “Tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah menggunakan alat khas pemotong cincin untuk memotong sehingga selesai sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Azahari berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih serius.

    “Bagaimanapun, lelaki itu mengalami luka di bahagian alat sulit dan menerima rawatan lanjut di hospital.

    “Operasi tamat jam 3.10 petang,” katanya.

    BH ONLINE

You cannot copy content of this page