Pada ayat 168, surah al-Baqarah maksudnya: Wahai manusia, makanlah apa yang ada di muka bumi ini yang halal dan yang baik, dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata kepada kamu.
Islam menyeru dengan panggilan ‘wahai manusia’ agar mereka memakan daripada rezeki yang baik, yang tersedia pada hidangan yang besar, disediakan buat mereka, iaitu bumi yang luas dengan segala isinya yang telah diciptakan Allah buat mereka, dan diingatkan kepada mereka supaya jangan mengikut jalan-jalan syaitan dan arahannya yang sentiasa diperintahkan kepada sesetengah manusia supaya mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, lalu syaitan pun mengharamkan ke atas mereka daripada segala yang baik-baik dan dijerumuskan mereka ke dalam gaung kesesatan.
Islam menyerukan: “Wahai orang beriman, makanlah yang baik-baik daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu, dan berterima kasihlah kepada Allah kalau kamu benar-benar berbakti kepada-Nya. Hanyasanya yang diharamkan Allah ke atas kamu, iaitu memakan bangkai, darah dan daging babi, dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah, dan sesiapa berada dalam keadaan terpaksa, tidak dengan sengaja, dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Pengasih-sayang.” (Al-Baqarah, 172 – 173)
Dalam seruan khusus kepada Mukminin ini, Allah memerintahkan mereka supaya memakan daripada rezeki yang baik-baik yang diberikan kepada mereka dan hendaklah mereka menunaikan kewajipan bersyukur kepada Allah yang telah memberikan mereka nikmat itu.
Kemudian, Allah menerangkan pula bahawa Dia tidak mengharamkan ke atas mereka melainkan empat jenis makanan, seperti yang tersebut dalam firman-Nya itu dan disebutkan yang sama pada ayat-ayat al-Quran yang lain, dengan dibataskan hanya pada empat jenis makanan itu, sebagaimana firman-Nya pada surah al-An’am, ayat 145, maksudnya:
“Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang diwahyukan padaku daripada soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, kecuali bangkai, atau darah yang mengalir (daripada binatang yang disembelih), atau daging babi, kerana sesungguhnya ia kotor, ataupun binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang berada dalam keadaan terpaksa, tidak disengajakan, dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu itu adalah Maha Pengampun, Maha Pengasih-sayang.”
Dalam surah al-Maidah, ayat 3, al-Quran menyebut semua barang yang diharamkan ini dengan lebih terperinci:
“Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih bukan kerana Allah, yang mati kerana dicekik, yang mati kerana dipukul, yang mati kerana jatuh dari atas, yang mati kerana ditanduk (binatang lain), yang mati kerana dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan yang disembelih untuk berhala…”
Tidak ada pertentangan antara firman itu, yang telah menghitung barangan yang diharamkan itu sebanyak sepuluh macam, dengan firman-firman yang sebelumnya yang hanya menyebut empat macam.
Cuma firman ini memperincikan kandungan ayat-ayat terdahulu. Sebab semua yang mati kerana tercekik atau dipukul, atau jatuh dari tempat tinggi atau ditanduk oleh binatang lain atau yang dimakan binatang buas, semua dikira termasuk dalam kategori binatang yang bangkai, dan ayat ini adalah sebagai penerangan lanjut kepada ayat terdahulu.
Kemudian, tentang binatang disembelih kerana berhala itu termasuk dalam kategori binatang disembelih bukan kerana Allah, jadi maksud kedua-duanya adalah sama.
Tegasnya, yang diharamkan Allah semuanya empat jenis secara ringkas (umum) dan sepuluh dengan terperinci.
Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi