Satu perkara yang harus kita ketahui mengenai naluri atau gharizah seks dalam Islam – iaitu sebagaimana Islam mengharamkan perbuatan zina, dan mengharamkan semua cara yang boleh membawa kepada perbuatan zina itu, Islam juga mengharamkan perhubungan seks yang abnormal, yang kerap dikenal dengan perbuatan seks kaum Luth, tegasnya dipanggil dengan liwat (homoseksual).
Perbuatan jahat ini adalah bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia, menenggelamkan diri dalam lembah kekotoran, merosakkan kejantanan lelaki dan mencemar ke atas hak keperempuanan.
Tersebarnya kesalahan yang sangat buruk ini dalam sesuatu kumpulan manusia akan merosakkan cara hidup mereka serta menjadi mereka sebagai hamba kepada kesalahan itu, sehingga melupakan mereka dari hal budi pekerti yang mulia, adat kebiasaan hidup yang baik serta perasaan diri yang sempurna.
Memadailah buat kita untuk mengambil pengajaran daripada perkara ini dengan apa yang dibicarakan oleh al-Quran mengenai kaum Luth, yang telah memulakan perbuatan keji yang kotor ini.
Mereka sanggup meninggalkan wanita-wanita mereka yang baik dan halal, hanya untuk mengecap nafsu syahwat jahat yang telah diharamkan.
Sebab itu, maka Nabi mereka Luth berkata kepada mereka, sesuai dengan apa yang diberitakan oleh al-Quran:
“Adakah patut kamu mendatangi kaum lelaki daripada makhluk ini. Dan kamu meninggalkan pula isteri-isteri kamu yang justeru dijadikan buat kamu oleh Tuhan kamu? Bahkan kamu adalah suatu kaum yang melewati batas.” (Maksud ayat 165-166, surah asy-Syu’ara)
Dan al-Quran telah membebalkan mereka atas lisan Nabi Luth sebagai orang-orang yang bersikap permusuhan, bodoh, pembazir, perosak dan pelaku jenayah.
Antara yang sangat menghairankan lagi dari hal pendirian kaum ini, yang telah menampakkan benar-benar penyelewengan diri mereka daripada kefitrahan mereka, kehilangan harga diri mereka, keruntuhan moraliti mereka dan kerosakan perasaan mereka, iaitu pendirian mereka terhadap tetamu Luth yang terdiri daripada sekumpulan malaikat azab yang diutus Allah dalam rupa manusia untuk menguji kaum yang jahat ini dan untuk mencatat sikap mereka dalam suatu peristiwa yang diceritakan oleh al-Quran kepada kita:
“Dan apabila utusan-utusan Kami (Allah) kepada Luth, mereka lalu menyatakan dukacita mereka, dan tidak tahu bagaimana hendak melindungi diri mereka, lalu mereka mengatakan: Ini adalah suatu hari yang sulit. Dan datanglah kaumnya kepada Luth dengan tergesa-gesa kerana mereka sebelum itu memang pernah melakukan perbuatan yang buruk itu. Luth berkata kepada mereka: Hai kaumku, mereka ini adalah anak-anak perempuanku, dan mereka adalah lebih suci buat kamu. Dan takutlah kepada Allah, dan jangan sampai aku engkau beri malu di hadapan tetamuku, tidak adakah antara kamu seorang yang berfaham lurus? Mereka lalu menjawab: Sesungguhnya engkau sudah mengetahui bahawa kami tiada perlu kepada anak-anak perempuanmu, dan engkau juga sudah mengetahui apa yang kami inginkan. Luth menjawab mereka, kalaulah aku memang mempunyai kekuatan (untuk mengusir) ke atas kamu, atau aku dapat bergantung kepada bantuan yang kuat. (Ketika itu) berkata mereka (para malaikat) itu: Hai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu. Mereka itu (kaum Luth) tidak bakal membuat sesuatu kepadamu (selama kami berada di sini).” (Maksud ayat 77-81, surah Hud)
Ulama berselisih pendapat mengenai hukum terhadap orang melakukan perbuatan keji itu, apakah dijalankan hukum hudud ke atas kedua-duanya seperti dihukumkan ke atas orang melakukan perbuatan zina ataupun dibunuh pelaku liwat itu dan orang yang dilakukan ke atasnya perbuatan itu.
Halal dan haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi