Juruwang wanita maut ditikam di restoran

KUALA LUMPUR — Seorang juruwang wanita maut ditikam di restoran tempatnya bekerja di sebuah pusat beli-belah di Cheras, dekat sini.

Kejadian menimpa wanita warga China berusia 49 tahun itu dianggarkan antara jam 3 hingga 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, berkata setakat ini, tujuh suspek terdiri rakan sekerja mangsa sudah ditahan untuk membantu siasatan.

“Mangsa dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian badan dengan pisau dan pemeriksaan awal menemukan antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuhnya.

“Dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemui senjata tajam yang digunakan untuk menikam mangsa.

“Buat masa ini kita menahan tujuh suspek yang terdiri daripada rakan sekerja mangsa untuk siasatan. Kita juga masih menyiasat motif pembunuhan selain mengesan saksi-saksi yang dapat membantu siasatan polis,” katanya.

Tambah Aidil, mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page