Lelaki jatuh ke Sungai Perak ditemukan lemas

TELUK INTAN — Lelaki yang dilapor terjatuh ke Sungai Perak dekat Jambatan Sultan Yusuf, Batu 5, dekat sini semalam ditemukan lemas hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus, berkata mangsa, Ng Weng Lum, 48, ditemukan di kawasan Jeti Tapak Semenang, di sini jam 9.30 pagi tadi, kira-kira 4.5 kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Mengulas lanjut, katanya pihaknya menerima maklumat awal dari polis jam 7.15 pagi semalam sebelum pasukan penyelamat melakukan pencarian di permukaan menggunakan tiga bot.

“Dua pasukan digerakkan membabitkan radius pencarian lima kilometer (km) masing-masing menghala Bagan Datuk dan Teluk Intan,” katanya sebelum operasi ditangguhkan jam 6.15 petang semalam.

Tambahnya, hari ini radius pencarian diluaskan kepada 12 km, sebelum pihaknya menerima maklumat mayat mangsa ditemukan nelayan di Tapak Semenang.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page