LATEST POSTS

  • Mayat wanita ditemukan terapung di Taiping

    IPOH — Mayat seorang wanita ditemukan terapung di lombong Tekah Permai, Taiping, dekat sini hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.13 pagi hasil maklumat polis.

    “Mangsa adalah seorang wanita dewasa namun identitinya masih tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping mengambil masa 15 minit untuk menarik mayat mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE – BERNAMA


  • Penyamun mati dalam rumah mangsa, 2 rakan ditahan

    KLUANG — Seorang suspek pecah rumah ditemui mati, manakala dua lagi rakan sejenayah ditahan polis di sebuah rumah dekat Jalan Laksamana Sunrise Park di sini malam tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin, berkata dalam kejadian jam 7.12 malam itu, suspek yang mati ditemui dengan kesan kecederaan pada tangan kanannya dan punca kematiannya itu sedang disiasat.

    “Si mati didapati cedera pada salur darah utama kerana banyak kesan darah dijumpai di lokasi. Punca kecederaan itu masih dalam siasatan, sama ada akibat terkena pagar besi rumah atau objek lain ketika pecah masuk rumah atau hendak melarikan diri apabila menyedari penduduk setempat dan polis sampai.

    “Sebelum itu, si mati bersama tiga lagi suspek yang berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun memecah masuk sebuah rumah dan polis menerima panggilan memaklumkan hal itu dari orang awam.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai polis yang tiba di lokasi berjaya menahan dua suspek dan menemui si mati yang telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Nik Mohd Azmi berkata, susulan kejadian itu juga, polis kini giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Mohamad Sahli Talib, 39, dengan alamat terakhir di Kampung Belukar Gunong Bachok Kelantan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Katanya, bedah siasat terhadap mayat sedang dibuat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan jenis objek yang menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematiannya.

    “Ketika ini siasatan mengikut kes mati mengejut,” katanya sambil memaklumkan bahawa semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.

    “Saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang ditangkap didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    BH ONLINE


  • Tragedi berakit: 3 lemas disahkan kakitangan JKR

    KAMPAR — Identiti tiga mangsa lemas semasa melakukan aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng, petang tadi dikenalpasti sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Dua mangsa lelaki ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang bertugas di JKR Langkawi, manakala mangsa wanita iaitu Suhaili Mat Saad, 47, berkhidmat di JKR Seberang Perai Tengah.

    Identiti ketiga-tiga mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi malam ini.

    Beliau berkata, mangsa wanita berasal dari Kampung Teluk Sungai Kecil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

    “Mohamad Khairul Hakim berasal dari Ayer Hangat, Langkawi manakala Muhammad Ikram berasal dari Taman Permata, Jitra, Kedah,” katanya.

    Berdasarkan tinjauan di Hospital Kampar, mayat ketiga-tiga mangsa tiba di Unit Forensik sekitar jam 9.55 malam dengan dibawa kenderaan polis.

    Terdahulu, dilaporkan mangsa adalah antara 22 peserta yang menyertai aktiviti berakit di Sungai Kampar, dekat Gopeng sempena program ‘Team Building’ yang diiringi enam pemandu pelancong.

    Difahamkan, kesemua peserta turun ke kawasan sungai bermula jam 3.30 petang yang mana jarak perjalanan ‘rafting’ adalah enam kilometer (km) menyusuri sungai.

    Dikatakan, mangsa dihanyutkan arus di selepas empat km perjalanan menyusuri sungai.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dipetik berkata, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.56 petang.

    Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, tiga mangsa terbabit sudah dinaikkan orang awam ke tebing sungai dan disahkan meninggal dunia.

    BH ONLINE


  • Disangka hilang, rupanya mayat dalam semak

    HULU SELANGOR — Seorang polis bantuan di sebuah agensi yang disangka hilang ditemui meninggal dunia dalam kawasan semak di lereng bukit di Kilometer 408 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Lembah Beringin hari ini.

    Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui pada jarak kira-kira 300 meter dari motosikalnya, jam 7.50 pagi tadi.

    Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata polis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 6.02 pagi.

    “Siasatan awal mendapati pada jam 11.30 malam tadi, sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa.

    “Kereta itu kemudian terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke lereng bukit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala kenderaan yang terbabit nahas ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

    BH ONLINE


  • Budak 2 tahun maut, motosikal dinaiki bersama 3 ahli keluarga rempuh lori keluar simpang

    LAHAD DATU — Seorang budak perempuan berusia dua tahun maut selepas motosikal dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabit nahas dengan sebuah lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, di sini.

    Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian disebabkan kecederaan parah dalam kemalangan kira-kira jam 2.15 petang semalam itu.

    Motosikal ditunggang bapanya berusia 47 tahun turut membawa abang mangsa berusia tiga tahun dan ibu mereka berusia 29 tahun.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum nahas berkenaan, motosikal dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

    Katanya, sebaik memasuki bulatan jalan, sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang jalan di sebelah kiri.

    “Akibat jarak terlalu dekat, bapa mangsa gagal mengelak lalu terus merempuh tayar hadapan lori berkenaan. Susulan itu, mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga tercampak dari motosikal ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, bapa, ibu dan abang mangsa mengalami kecederaan lalu dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

    “Sampel darah pemandu dan penunggang motosikal sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol serta dadah. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Dzulbaharin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan menghubungi Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881225 untuk membantu siasatan.

    BH ONLINE


  • Warga emas rentung, anak, dua cucu melecur

    RANAU — Seorang wanita warga emas rentung manakala tiga lagi termasuk dua cucunya melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Muhibbah, di sini, awal pagi tadi.

    Wong Ling Ying, 74, ditemui rentung di ruang tamu dipercayai terperangkap selepas terjatuh dari tingkat atas ketika cuba menyelamatkan diri.

    Anak mangsa berusia 48 tahun dan dua cucunya sempat menyelamatkan diri dengan melompat daripada tingkap rumah di bahagian atas. Ketika kebakaran mereka dipercayai sedang tidur.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata anak warga emas dan dua cucunya berusia 11 tahun yang melecur dalam kebakaran itu dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 1.20 pagi.

    Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang letaknya kira-kira satu kilometer.

    “Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua rumah. Rumah pertama terbakar kira-kira 99 peratus manakala rumah kedua terbakar kira-kira 50 peratus.

    “Turut terbakar dua kenderaan Toyota Hilux single cab dan Perodua Myvi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Ridwan berkata pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari sumber air pili bomba berhampiran.

    “Selepas api berjaya dikawal jam 2.28 pagi, terdapat seorang mangsa warga emas rentung dalam kebakaran itu, ditemui di rumah pertama.

    “Pasukan bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi ditamatkan pada jam 4.14 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

    BH ONLINE


  • Kemalangan maut kedua babit treler selang 3 hari, kali ini di Machap

    KLUANG — Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk treler di Kilometer 69.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Machap, kira-kira 7.40 pagi tadi.

    Ini adalah kemalangan maut kedua membabitkan treler dalam tempoh tiga hari selepas di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam yang menyaksikan seorang wanita terbunuh akibat dihempap kontena.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I KUP Abd Rahim Razali berkata penunggang Yamaha MT09 berusia 33 tahun itu disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

    Katanya, pemandu kereta Honda Civic dikesan tersepit di tempat duduk, sebelum berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) peralatan khas.

    “Kemalangan membabitkan sebuah lori treler jenama Volvo seberat 40 tan dengan sebuah kereta Honda Civic dan motosikal Yamaha MTO9.

    “Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian mangsa dan kemudian mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Pemandu lori treler Volvo, seorang lelaki berusia 40 tahun, selamat tanpa sebarang kecederaan.

    “Dua lelaki dewasa berusia 25 dan 26 tahun yang menaiki Honda Civic mengalami kecederaan. Mereka dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Abd Rahim berkata operasi menyelamat dilakukan oleh 12 anggota dengan kekuatan dua jentera bomba jenis FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan BBP Ayer Hitam.

    Terdahulu, PKO tiba di tempat kejadian pada jam 8.36 pagi dan berjaya menamatkan operasi pada jam 9.11 pagi.

    BH ONLINE


  • Malaysia zahir komitmen bantu pembangunan umat Islam di Peru

    LIMA, Peru — Malaysia menzahirkan komitmen untuk membantu pembangunan umat Islam di Peru termasuk memudahkan urusan pensijilan halal.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dinyatakan beliau dalam pertemuan bersama Persatuan Islam Peru, di sini.

    “Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bertemu dan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Islam Peru diketuai Presidennya, Murad Hamida.

    “Dalam pertemuan ini, kami telah membincangkan soal pembangunan umat Islam di Peru.

    “Turut dibangkitkan adalah komitmen Malaysia dalam memudahkan urusan pensijilan halal serta membantu pendidikan Islam dan dakwah dalam kalangan komuniti Islam di Peru,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

    Mengulas lanjut, menurut Anwar, dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Persatuan Islam Peru turut memuji usaha Malaysia yang sentiasa di hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin dan Lubnan yang ditindas rejim Zionis Israel.

    Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Peru, selain menyerahkan 50 naskah Al-Quran cetakan khas dan terjemahan dalam bahasa Sepanyol.

    Semalam, ketika sidang media bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra selepas mesyuarat dua hala, Anwar dilaporkan berkata Malaysia bercadang membangunkan zon ekonomi halal di Peru dalam usaha menembusi pasaran Amerika Latin.

    Katanya, Pelabuhan Chancay di republik itu boleh dimanfaatkan sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara.

    Perdana Menteri berada di ibu negara Peru sempena lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin, selain menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 dari 14 hingga 16 November ini.

    BH ONLINE


  • Wartawan Lubnan Soukaina Mansour Kawtharani terbunuh dalam serangan Israel ke atas Joun

    Wartawan Lubnan, Soukaina Mansour Kawtharani terbunuh bersama dua anaknya dan ahli keluarganya yang lain dalam serangan udara Israel ke atas bangunan kediaman tiga tingkat di Joun di selatan Lubnan. (Laman web Radio Al-Nour)

    LONDON — Wartawan Lubnan, Soukaina Mansour Kawtharani terbunuh bersama dua anaknya dan ahli keluarganya yang lain dalam serangan udara Israel ke atas bangunan kediaman tiga tingkat di Joun, dekat Sidon di selatan Lubnan.

    Kawtharani, yang bekerja sebagai wartawan untuk Radio Al-Nour, sebuah stesen yang dilihat hampir dengan Hizbullah, dilaporkan meninggal dunia pada Rabu oleh stesen radio itu.

    Serangan udara itu menyasarkan bangunan itu, yang menempatkan keluarga pelarian, pada Selasa.

    Joseph Qosseifi, presiden Persatuan Pengarang Akhbar Lubnan, mengecam serangan itu, menyebutnya sebagai “jenayah” dan menggesa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Persekutuan Umum Wartawan Arab dan UNESCO untuk mengambil tindakan.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan melalui National News Agency (NNA) rasmi, beliau berkata: “Musuh Israel tidak membezakan antara orang awam dan pejuang dalam pengebomannya, melanggar setiap undang-undang, piagam dan pakatan, dan hanya bercakap dalam bahasa api dan darah.”

    Bangunan itu, dilaporkan dimiliki oleh keluarga Ghosn — saudara kepada Carlos Ghosn, ahli perniagaan Lubnan Perancis kelahiran Brazil dan bekas eksekutif automotif — musnah sepenuhnya dalam serangan itu, yang mengorbankan 15 orang, termasuk lapan wanita dan empat kanak-kanak, dan mencederakan 12, menurut Kementerian Kesihatan.

    Kematian Kawtharani menjadikan jumlah wartawan dan pekerja media Lubnan yang terbunuh sejak permulaan konflik Israel-Hamas kepada 12, menurut Persatuan Pengarang Akhbar Lubnan.

    AN, 14 Nov 2024


  • Pemimpin pembangkang Bolivia ditangkap atas tuduhan keganasan

    LA PAZ — Pihak berkuasa Bolivia menahan dua pemimpin pembangkang yang mempunyai hubungan dengan bekas presiden Evo Morales atas tuduhan keganasan dan jenayah lain, lapor media tempatan pada Khamis.

    Pemimpin petani Ramiro Cucho dan Humberto Claros ditangkap pada Rabu kerana didakwa menghasut pemberontakan dan dipindahkan ke La Paz.

    Polis turut menyerbu kediaman bekas Menteri Presidensi, Juan Ramon Quintana, sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas dakwaan tindakan keganasan, tetapi gagal menangkapnya.

    Morales dan pemimpin politik lain yang menentang kerajaan menyifatkan penahanan itu sebagai tindakan “penindasan” dan “penculikan politik,” dengan alasan bahawa penahanan itu merupakan serangan terhadap kebebasan untuk membantah.

    Bantahan pimpinan pembangkang baru-baru ini yang menyekat jalan raya selama 24 hari menyebabkan kerugian berjuta-juta dolar kepada negara, kata polis.

    XINHUA


You cannot copy content of this page