Pelajar UTP maut, Bezza terbabas langgar pembahagi jalan

SERI ISKANDAR — Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta mereka naiki terbabas di Jalan Teknologi 1, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa berusia 19 tahun dari Sabah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata anggota pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan Perodua Bezza pada jam 8.19 malam.

“Nahas membabitkan empat orang berusia 19 tahun, seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian, manakala tiga yang lain cedera ringan,” katanya, hari ini.

Terdahulu, tular video memaparkan Perodua Bezza terlanggar pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali dan masuk ke arah bertentangan.

Video terbabit turut memaparkan seorang mangsa tercampak keluar dari kenderaan terbabit.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page