Abu Laits dalam Tanbihul Ghafilin dipetik sebagai berkata: Tanda takut kepada Allah terbukti dalam tujuh macam:
1. Terbukti di lidahnya, maka tertahan lidahnya daripada dusta, ghibah (mengumpat, bercerita keburukan orang lain) dan bercakap yang tidak penting, lantas digunakan untuk berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan mempelajari ilmu.
2. Menjaga perutnya, sehingga tidak makan melainkan yang halal dan menurut kadar hajatnya (keperluannya).
3. Memperhatikan penglihatannya, sehingga tidak melihat yang haram dan tidak melihat dunia ini melainkan sekadar untuk peringatan.
4. Menjaga tangannya, sehingga tidak menghulurkannya kepada yang haram, hanya digunakan untuk taat kepada Allah semata-mata.
5. Menjaga kedua-dua kakinya, sehingga tidak digunakan untuk maksiat.
6. Menjaga hatinya, sehingga membersihkannya daripada hasad dengki dan digantikan dengan rasa sayang kepada sesama Muslim.
7. Menjaga taatnya supaya benar-benar tulus ikhlas kepada Allah dan selamat daripada riyak (menunjuk-nunjuk amalan ibadat) dan nifaq (berpura-pura).