Tag: 7 tipu daya syaitan

  • 7 tipu daya syaitan

    Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh perkara, sebagaimana diterangkan dalam Minhajul Abidin oleh Imam al-Ghazali:

    1. Syaitan melarang manusia daripada mentaati Allah, sedangkan orang dipelihara oleh Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan: “Aku mengharapkan pahala daripada Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.”

    2. Syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan: “Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah (beramal), masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.”

    Orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: “Kematianku bukan berada di tanganmu. Jika aku menunda amalanku hari ini untuk esok sehingga amalan hari esok perlu aku lakukan, sedangkan setiap hari aku mempunyai amalan yang berlainan.”

    3. Syaitan sentiasa mendorong manusia agar bersegera (dalam maksud cepat-cepat, tergesa-gesa, terkejar-kejar, kerana segera ke arah kebaikan adalah dituntut tetapi sikap tergesa-gesa tidak bagus) dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: “Cepatlah beramal, agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan lain.”

    Orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: “Amalan yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.”

    4. Syaitan menyuruh manusia agar melakukan amalan baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang terpelihara oleh Allah akan mengatakan: “Bagi saya, penilaian cukup hanya daripada Allah Taala dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (yakni kerana orang).”

    5. Selepas itu, syaitan membisikkan pujian kepada orang beramal: “Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.”

    Mendengar pujian itu, orang yang baik akan mengatakan: “Semua keagungan dan kesempurnaan hanya kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal, sehingga Dia meredai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaan-Nya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, di samping dosaku yang bertimbun.”

    6. Gagal jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya melainkan orang cerdik dan berfikir.

    Syaitan berbisik dalam hati manusia: “Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir, jangan sampai diketahui oleh orang lain kerana Allah jualah yang akan memberitahu orang lain bahawa engkau adalah seorang hamba Allah yang ikhlas.”

    Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan perbuatan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu, syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riyak.

    Orang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan: “Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara . Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menzahirkan atau menyembunyikan amalanku. Jika menghendaki, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.”

    7. Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: “Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudarat. Engkau tetap menjadi orang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.”

    Orang dipelihara Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan: “Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintah-Nya. Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendak-Nya.

    “Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala. Sebaliknya jika aku ditetapkan sebagai orang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi penyesalan bagiku.

    “Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat. Tetapi tidak akan demikian, kerana janji Allah pasti terbukti dan firman-Nya pasti benar.”

    Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang mentaati-Nya. Sesiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan telah dilakukannya, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti.

    Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kita. Sesungguhnya dalam mentaati Allah terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan perlu kita lalui. Bandingkan segala masalah dan perbuatan kepada keadaan itu dan pohonlah perlindungan Allah agar terlindung dan terpelihara daripada kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu berada di bawah kekuasaan Allah. Kepada-Nya kita mengharapkan taufik dan keredaan.

You cannot copy content of this page