Tag: Saya mudah terangsang

  • Saya mudah terangsang

    (Soalan berkatan) — Saya adalah seorang pelajar sekolah lanjtan. Saya cinta kepada agama dan tekun beribadat. Tetapi saya menghadapi suatu masalah, iaitu mudah terangsang apabila melihat pemandangan yang membangkitkan syahwat dan hampir-hampir saya tidak dapat menguasai diri dalam hal ini. Keadaan ini membuatkan saya susah kerana harus sering mandi dan mencuci pakaian dalam. Bagaimana saranan ustaz untuk memecahkan masalah ini, sehingga saya dapat memelihara agama dan ibadat saya dengan baik?

    Pertama, saya berdoa semoga Allah memberi berkat kepada anda, pemuda yang begitu besar perhatiannya terhadap agama yang lurus ini, dan saya minta kepada anda agar sentiasa berpegang teguh dengannya dan tetap antusias kepadanya, jauh daripada rakan-rakan yang buruk perilakunya serta sentiasa menjaga agama daripada gelombang materialisme dan kebebasan yang telah banyak merosakkan pemuda-pemuda dan remaja-remaja kita.

    Juga saya sampaikan khabar gembira kepada anda bahawa anda boleh termasuk anggota tujuh golongan yang dinaungi oleh Allah pada hari yang tidak ada lagi naungan selain naungan-Nya selama anda taat kepada-Nya.

    Kedua, saya nasihatkan kepada saudara penanya agar memeriksakan diri kepada doktor ahli (pakar), barangkali masalah dihadapi itu semata-mata berkaitan dengan suatu organ tubuh tertentu dan para doktor ahli tentunya memiliki ubat untuk penyakit seperti ini.

    Allah berfirman (maksudnya): “…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl, 43)

    “Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit melainkan Dia juga menurunkan ubat untuknya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah; daripada Abu Hurairah)

    Ketiga, saya nasihatkan juga kepada anda agar menjauhi sekuat mungkin segala hal yang dapat membangkitkan syahwat dan menjadikannya menanggung beban serta kesulitan (mandi dan sebagainya).

    Adalah suatu kewajipan bagi setiap Mukmin untuk tidak menempatkan dirinya di tempat-tempat yang dapat menimbulkan kesukaran bagi dirinya dan menutup semua pintu tempat berhembusnya angin fitnah atas diri dan agamanya.

    Semaklah kata-kata hikmah berikut: “Orang berakal bukanlah orang yang pandai mencari-cari alasan untuk membenarkan keburukannya setelah terjatuh ke dalamnya, tetapi orang berakal ialah orang yang pandai menyiasat keburukan agar tidak terjatuh ke dalamnya.”

    Antara tanda orang soleh ialah menjauhi perkara yang syubhat sehingga tidak terjatuh ke dalam perkara yang haram, bahkan menjauhi sebahagian yang halal sehingga tidak terjatuh ke dalam yang syubhat.

    Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba mencapai darjat muttaqin (orang bertakwa) sehingga dia meninggalkan sesuatu yang tidak terlarang kerana khuatir terjatuh pada yang terlarang. (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Hakim: Daripada Athiyyah as-Sa’di dengan sanad sahih)

    Keempat, setiap yang keluar daripada tubuh manusia kerana melihat pemandangan yang merangsang belum tentu mani (yang hukumnya wajib mandi jika ia keluar). Boleh jadi yang keluar itu adalah mazi iaitu cairan putih jernih, yang keluar ketika bercumbu atau melihat sesuatu yang merangsang atau ketika mengkhayalkan hubungan seksual. Keluarnya mazi tidak disertai syahwat yang kuat, tidak memancar, dan tidak diakhiri dengan kepenatan bahkan kadang-kadang keluarnya tidak terasa. Mazi hukumnya seperti hukum kencing iaitu membatalkan wuduk (dan najis) tetapi tidak mewajibkan mandi. Bahkan Rasulullah SAW memberikan keringanan untuk menyiram pakaian yang terkena mazi, tidak harus mencucinya.

    Diriwayatkan daripada Sahl bin Hanif, dia berkata: Saya berasa melarat dan payah kerana sering mengeluarkan mazi dan mandi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah SAW, kemudian baginda bersabda: “Untuk itu cukuplah engkau berwuduk.” Saya bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana yang kena pakaian saya? Baginda menjawab: “Cukuplah engkau mengambil air setapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang terkena itu.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmidzi – beliau berkata [hadis status] hasan sahih)

    Menyiram pakaian (pada pakaian terkena mazi) lebih mudah daripada mencucinya dan ini adalah keringanan serta kemudahan daripada Allah kepada hamba-Nya dalam keadaan seperti ini yang sekiranya akan menjadikan melarat jika harus mandi berulang-ulang. Maha Benar Allah Yang Maha Agung yang berfirman (maksudnya): “…Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Maidah, 6)

    Kumpula Fatwa Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page