Soalan terkait: Benarkah Nabi Muhammad makhluk Allah yang pertama dan baginda diciptakan daripada cahaya?
Telah diketahui bahawa hadis-hadis yang menyatakan makhluk pertama adalah itu dan ini … dan seterusnya, tidak satu pun yang sahih, sebagaimana ditetapkan oleh ulama sunnah.
Oleh itu, kami dapati sebahagian bercanggah dengan sebahagian lainnya. Satu hadis mengatakan bahawa yang pertama kali diciptakan oleh Allah adalah pen.”
Hadis lainnya mengatakan, yang pertama kali diciptakan Allah ialah akal.
Telah tersiar antara orang awam daripada kisah-kisah maulid yang sering dibaca bahawa Allah menggenggam cahaya-Nya, lalu berfirman: “Jadilah engkau Muhammad.” Maka, dia adalah makhluk yang pertama kali diciptakan Allah, dan dari situ diciptakan langit, bumi dan seterusnya.
Dari itu tersiar kalimat: “Selawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama.” Hingga kalimat itu dikaitkan dengan yang disyariatkan, seakan-akan bahagian darinya.
Perkataan itu tidak sah riwayatnya dan tidak dibenarkan oleh akal, tidak akan mengangkat agama, dan tidak pula bermanfaat bagi perkembangan peradaban dunia.
Keawalan Nabi Muhammad SAW sebagai makhluk Allah tidak terbukti. Seandainya terbukti, tidaklah berpengaruh pada keutamaan dan kedudukannya di sisi Allah. Tatkala Allah memujinya dalam kitab-Nya, maka Allah memujinya dengan alasan keutamaan yang sebenarnya.
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti agung.” (Maksud daripada ayat 4, surah al-Qalam)
Hal itu yang terbukti dan ditetapkan secara mutawatir.
Nabi kita Muhammad SAW adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib al-Hasyimi al-Quraisy yang dilahirkan lantaran kedua-dua orang tuanya, Abdullah bin Abdul Muttalib dan Aminah binti Wahb, di Makkah, pada Tahun Gajah. Baginda dilahirkan sepertimana halnya manusia biasa dan dibesarkan sepertimana manusia dibesarkan. Baginda diutus sepertimana para nabi dan rasul sebelumnya diutus, dan bukan rasul yang pertama antara rasul-rasul.
Baginda hidup dalam waktu terhad, kemudian Allah memanggilnya kembali kepada-Nya.
“Sesungguhnya kamu akan mati, dan sesungguhnya mereka akan mati (pula).” (Maksud daripada ayat 30, surah az-Zumar)
Baginda akan ditanya pada hari kiamat sepertimana para rasul ditanya.
“(Ingatlah) hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul, lalu Allah bertanya (kepada mereka): Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu? Para rasul menjawab: Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu) sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui perkara yang ghaib.” (Maksud daripada ayat 109, surah al-Maidah)
Al-Quran telah menegaskan kemanusiaan Muhammad SAW di pelbagai tempat dan Allah memerintahkan menyampaikan hal itu kepada orang-orang dalam pelbagai surah, antara lain:
“Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku. Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa…” (Maksud daripada ayat 110, surah al-Kahfi)
“Katakanlah, Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul.” (Maksud daripada ayat 93, surah al-Isra)
Ayat di atas menunjukkan bahawa baginda adalah manusia seperti manusia-manusia lainnya, tidak memiliki keistimewaan melainkan dengan wahyu dan risalah (kerasulan).
Nabi SAW menegaskan makna kemanusiaannya dan penghambaannya terhadap Allah, dan memperingatkan agar tidak mengikuti kebiasaan-kebiasaan daripada orang-orang sebelum kita, iaitu penganut agama-agama terdahulu dalam hal memuja dan menyanjung.
“Janganlah kamu sekalian menyanjungku seperti kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam, sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (Hadis diriwayatkan Bukhari)
Nabi yang agung ini adalah manusia seperti manusia lainnya dan tidak diciptakan daripada cahaya mahupun emas, tetapi diciptakan daripada air memancar dan keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang rusuk wanita sebagai bahan penciptaan Muhammad SAW.
Adapun dari segi risalah (kerasulan) dan hidayat-Nya, maka baginda adalah cahaya Allah dan pelita yang amat terang. Al-Quran menyatakan hal itu dan berbicara kepada Nabi SAW.
“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang ingkar). Dan sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi. (Maksud daripada ayat 45 dan 46, surah al-Ahzab)
Allah berfirman yang ditujukan kepada ahli kitab (maksudnya):
“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan Kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah, 15)
“Cahaya” dalam ayat itu adalah Rasulullah SAW, sepertimana al-Quran yang diturunkan kepada baginda adalah juga cahaya.
“Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta cahaya (al-Quran) yang telah Kami turunkan.” (Maksud daripada ayat 8, surah at-Taghabun)
“Dan telah Kami turunkan kepada kamu cahaya yang terang-benderang.” (Maksud daripada ayat 174, surah an-Nisa)
Allah telah menentukan tugasnya dengan firman-Nya (bermaksud):
“Supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya terang-benderang.” (Ibrahim, 1)
Doa Nabi SAW: Wahai Allah, berilah aku cahaya di dalam hatiku, berilah aku cahaya dalam pendengaranku dan berilah aku cahaya dalam penglihatanku, berilah aku cahaya dalam rambutku, berilah aku cahaya di sebelah kanan dan kiriku, di depan dan di belakangku.” (Hadis muttafaq alaih)
Maka, baginda adalah Nabi pembawa cahaya dan Rasul pembawa hidayat (petunjuk). Semoga Allah menjadikan kita sebagai orang-orang mengikuti petunjuk cahaya dan sunahnya. Amin!
Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi