Kisah Zulqarnain telah diterangkan dalam al-Quran pada surah al-Kahfi. Tetapi al-Quran tidak menerangkan siapakah sebenarnya Zulqarnain, siapakah orang-orang yang didapatinya, dan di mana tempat terbit dan terbenamnya matahari. Semua itu tidak diterangkan dalam al-Quran secara terperinci, sama ada mengenai nama ataupun lokasinya. Hal yang demikian ini mengandungi hikmah dan hanya Allah mengetahui.
Tujuan daripada kisah yang ada dalam al-Quran, sama ada pada surah al-Kahfi mahupun selainnya, bukan sekadar memberitahu perkara berkaitan dengan sejarah dan kejadiannya, tetapi tujuan utamanya ialah sebagai contoh dan pelajaran bagi manusia, seperti firman-Nya:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang berakal.” (Maksud ayat 111, surah Yusuf)
Kisah Zulqarnain mengandungi contoh seorang raja soleh yang diberikan oleh Allah kekuasaan di bumi, yang meliputi Timur dan Barat. Semua manusia dan penguasa negara tunduk atas kekuasaannya, dia tetap pada pendiriannya sebagai seorang yang soleh, taat dan bertakwa. Seperti diterang dibawah ini:
“Berkata Zulqarnain: Adapun orang yang menganiaya, maka kelak Kami akan mengazabnya, kemudian dia dikembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang tiada taranya.” (Maksud ayat 87, surah al-Kahfi)
“Adapun orang yang beriman dan orang beramal soleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan…” (Maksud ayat 88, surah al-Kahfi)
Jadi, apa yang diterangkan dalam al-Quran hanya mengenai perginya Zulqarnain ke arah terbenamnya matahari, sehingga berada pada tempat yang paling jauh.
Di situ diterangkan bahawa dia telah melihat matahari seakan-akan terbenam di mata air tersebut, saat terbenamnya.
Sebenarnya, matahari itu tidak terbenam di laut, tetapi hanya bagi penglihatan kita saja yang seakan-akan tampak matahari itu terbenam (jatuh) ke laut. Padahal matahari itu terbit menerangi wilayah (bangsa) lain.
Maksud daripada ayat tersebut bahawa Zulqarnain telah sampai ke tempat paling jauh, seperti halnya matahari terbenam di mata air yang kotor (berlumpur), yang disebutkan di atas.
Begitu juga maksud daripada ayat tersebut, Zulqarnain telah sampai di tempat terjauh, iaitu terbitnya matahari dan sampai bertemu pula dengan kaum Ya’juj dan Ma’juj.
Dalam keadaan demikian, Zulqarnain tetap pada pendiriannya, iaitu sebagai seorang raja yang adil dan kuat imannya, yang tidak dapat dipengaruhi oleh perkara yang dikuasai dan kekuasaannya diperkuatnya dengan misalnya membangun bendungan yang besar, yang terdiri daripada bahan-bahan besi dan sebagainya. Di dunia ini beliau selalu berkata dan mengakui bahawa segala yang diperolehinya sebagai kurnia daripada Allah dan rahmat-Nya.
Firman Allah (bermaksud): Zulqarnain berkata: Ini (bendungan atau benteng) adalah suatu rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah tiba janji Tuhanku, Dia pun menjadikannya rata dengan bumi (hancur lebur); dan janji Tuhanku itu adalah benar. (Surah al-Kahfi, 98)
Tujuan utama daripada al-Quran dalam huraian di atas ialah sebagai contoh, di mana seorang raja soleh yang diberi kekuasaan yang besar pada kesempatan yang luar biasa dan kekuasaannya mencakupi ke seluruh penjuru dunia di sekitar terbit dan terbenamnya matahari. Dalam keadaan demikian, Zulqarnain tetap dalam kesolehan dan istiqamahnya tidak berubah.
Firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan di bumi dan Kami telah memberikan kepadanya (Zulqarnain) jalan (untuk mencapai) segala sesuatu. (Al-Kahfi, 84)
Mengenai perincian daripada hal itu tidak diterangkan dalam al-Quran dan sunah, misalnya waktu, tempat dan kaumnya, siapa sebenarnya mereka itu.
Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi