Kategori: Nasihat & Peringatan

  • Enam tanda taubat

    Ahli hikmah (ahli ilmu, orang bijaksana) ditanya: “Apakah seorang hamba mengetahui diterima atau ditolaknya suatu taubat?”

    Dia menjawab: “Aku sendiri tidak tahu mengenai hal itu. Namun perkara itu ada tandanya:

    1. Dia sedar bahawa dirinya tidak terpelihara daripada perbuatan maksiat.
    2. Dia sedar bahawa di dalam hatinya tidak ada kegembiraan dan yang ada hanya kesedihan.
    3. Dia menghampiri kepada orang baik dan menjauhi orang jahat.
    4. Dia mengetahui bahawa (harta) dunia yang sedikit itu adalah banyak (banyak hisabnya, hitungan atau bicaranya) dan menganggap amalan akhirat yang banyak itu (masih) sedikit.
    5. Hatinya sibuk dengan perkara yang dijamin oleh Allah baginya.
    6. Dia menjaga lisan (jaga lidah, percakapan), selalu bertafakur (berfikir), sedih serta menyesal.

  • Temui manis ibadat dalam 4 perkara

    Dilaporkan, daripada Amirul Mukminin Sayidina Utsman ibn Affan RA: “Saya temui manisnya ibadat dalam empat perkara:

    1. Dalam menunaikan fardu-fardu Allah.

    2. Dalam menjauhi larangan-larangan Allah.

    3. Dalam amar makruf (menyuruh kebaikan) dan mencari pahala Allah.

    4. Dalam meninggalkan kemungkaran dan menjaga diri daripada murka Allah.”

  • 3 tanda anda soleh

    Ada diceritakan, Syaqiq bin Ibrahim pernah ditanya: Bagaimana dapat mengetahui bahawa saya seorang soleh, sebab orang mengatakan saya seorang soleh?

    Jawab Syaqiq: 

    1. Tunjukkan rahsiamu pada orang-orang soleh, maka apabila mereka reda kepada itu bererti engkau soleh.

    2. Tawarkan dunia ini kepada hatimu, maka apabila ia menolak, petanda bahawa engkau soleh. 

    3. Tawarkan maut kepada dirimu, maka jika ia berani dan mengharap, petanda bahawa engkau soleh. Apabila tidak, maka bukan soleh. 

    Dan apabila ada ketiga-tiganya padamu, maka sentiasalah memohon kepada Allah, jangan sampai memasukkan riyak dalam semua amalmu supaya tidak rosak amalmu.

  • 5 sifat utama

    Yang paling utama ialah orang yang mempunyai lima sifat berikut, sebagaimana dijelaskan dalam Tanbihul Ghafilin karya Abu Laits as-Samarqandi:

    1. Tekun beribadat kepada Tuhan.

    2. Sangat berguna terhadap sesama manusia.

    3. Semua orang berasa aman daripada gangguannya.

    4. Tidak iri hati (tidak dengki) terhadap hal orang lain.

    5. Selalu bersiap (bersedia) untuk menghadapi maut (dengan amalan yang baik).

  • 5 kebaikan zikir

    Zikir kepada Allah mengandungi lima jenis kebaikan:

    1. Tanda keredaan Allah.

    2. Menambah rajin berbuat taat.

    3. Terlindung daripada syaitan selama berzikir.

    4. Menenangkan hati.

    5. Mencegah daripada maksiat.

  • 5 adab memberi salam

    Salam adalah satu identiti masyarakat Islam. Orang Islam apabila bertemu akan memberikan salam iaitu ucapan selamat sejahtera terhadap yang lain, sekali gus mencerminkan betapa indahnya aturan dalam Islam.

    Tetapi bagaimana seharusnya memberikan salam? Di sini dinyatakan lima adab memberi salam:

    1. Memberi salam dengan lafaz yang betul dan sempurna. Sekurang-kurang salam ialah: Assalamu alaikum.

    Namun lebih panjang lebih baik. Erti “assalamu alaikum” ialah sejahtera atau selamat sejahtera ke atas kamu.

    2. Orang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.

    3. Orang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk.

    4. Kumpulan orang yang sedikit memberi salam kepada kumpulan yang ramai.

    5. Orang muda memberi salam kepada orang tua.

  • 3 tanda hati hitam

    Menurut keterangan dalam Minhajul Abidin oleh Imam al-Ghazali, sesetengah orang soleh mengatakan, hitamnya hati disebabkan oleh segala dosa yang dilakukan. Adapun tanda bahawa hati itu hitam ialah:

    1. Tidak takut atau terkejut apabila melakukan dosa. (Huraian: Berasa tiada apa-apa melakukan perkara dosa, berasa tiada beza antara perkara dosa dan pahala, tidak berasa bersalah, memandang ringan atau remeh hal berkaitan dosa). 

    2. Tiada kemanisan dalam melakukan ibadat. (Huraian: Tidak berasa tenang, selesa apabila melakukan ibadat bahkan tidak tertarik dan tidak berasa hendak melakukannya lagi, berasa berat dan terpaksa dalam beribadat).

    3. Hati degil untuk mendengar nasihat. (Ibu bapa, guru, kawan atau seseorang yang lain cakap apa pun kepadanya, dia buat tak tahu saja, bahkan tak mahu mendengar nasihat yang diberikan. Ada telinga tapi buat tak dengar, ada mata tapi buat tak nampak atau ada kaki tapi buat malas seperti orang tak ada kaki).

  • DIAM: 7 ribu kebaikan dalam 7 kalimat

    Seorang bijaksana dilaporkan berkata: Diam mengandungi tujuh ribu kebaikan dan tersimpul dalam tujuh kalimat, dalam setiap kalimat seribu:

    1. Diam itu ibadat tanpa susah payah.

    2. Perhiasan tanpa berhias.

    3. Kehebatan tanpa kerajaan.

    4. Benteng tanpa pagar.

    5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.

    6. Istirahat bagi kedua-dua malaikat pencatat amal.

    7. Menutup segala aib (kekurangan). 

  • 5 seruan bumi kepada manusia

    Ada keterangan bahawa bumi ini setiap hari berseru sehingga lima kali:

    1. Hai anak Adam, kamu berjalan di atas bahuku dan kembali kamu di dalam perutku.

    2. Hai anak Adam, kamu makan berbagai-bagai jenis di atas punggungku, dan kamu akan dimakan ulat di dalam perutku.

    3. Hai anak Adam, kamu tertawa di atas punggungku, dan akan menangis di dalam perutku.

    4. Hai anak Adam, kamu bergembira di atas punggungku, dan akan berduka di dalam perutku.

    5. Hai anak Adam, kamu berbuat dosa di atas punggungku, maka akan terseksa di dalam perutku.

  • 8 perhiasan

    Khalifah Abu Bakar as-Siddiq Radhiallahu Anhu (RA) dilaporkan sebagai berkata:

    1. Tidak meminta-minta adalah perhiasan bagi kefakiran.

    2. Bersyukur adalah perhiasan nikmat.

    3. Sabar adalah perhiasan bencana.

    4. Tawaduk adalah perhiasan keluhuran (ketinggian budi pekerti).

    5. Sikap penyantun adalah perhiasan ilmu.

    6. Rendah hati adalah perhiasan penuntut ilmu.

    7. Meninggalkan pemberian adalah perhiasan kebaikan.

    8. Khusyuk adalah perhiasan solat.

You cannot copy content of this page