Hikmah haram memakan bangkai

Pertama yang disebut oleh ayat al-Quran daripada pengharaman makanan iaitu bangkai yakni binatang yang mati dengan sendirinya daripada binatang-binatang yang melata di atas bumi dan yang terbang.

Kemungkinan ada pemikiran yang sezaman mahu tahu mengenai hikmah pengharaman (memakan) bangkai itu ke atas manusia serta dicampakkannya begitu saja tanpa diambil faedah daripadanya.

  • Bahawa tabiat manusia yang sihat tetap akan menjijikkkan bangkai itu dan memandangnya kotor, sedang para cendekiawan umumnya akan menganggap memakan bangkai itu suatu budi yang rendah bertentangan dengan kemuliaan darjat manusia. Sebab itu kita dapati semua agama yang mempunyai kitab perundangannya melarang memakan bangkai dan tidak membenarkan pemeluknya memakan binatang melainkan yang sudah disembelih terlebih dulu meskipun cara penyembelihannya agak berbeza-beza.
  • Bahawa untuk dibiasakan setiap Muslim agar menyimpan maksud dan kemahuan dalam segala urusannya. Jangan sampai dia mengambil sesuatu ataupun memetik buahan melainkan setelah dia menetapkan niatnya, tujuannya dan maksudnya. Jadi, ertinya penyembelihan yang mengelakkan binatang itu daripada menjadi bangkai hanya dengan meniatkan bahawa mencabut roh binatang itu kerana tujuan hendak memakannya. Maka, seolah-olah Allah tidak akan merelakan manusia memakan apa saja yang tidak dimaksudkan atau diingatkan untuk memakannya, sebagaimana biasanya berlaku pada bangkai. Adapun binatang yang disembelih atau yang diburu, maka kedua-duanya tidak akan boleh diambil untuk dimakan, melainkan dengan niat, usaha dan perbuatan.
  • Bahawa jika binatang itu mati dengan sendirinya, maka selalunya ia mati dengan sebab penyakit yang berterusan atau ditimpa bencana, atau kerana memakan tumbuhan beracun atau sebagainya, semua itu tidak terjamin selamat daripada bahayanya. Yang lain sepertinya, jika binatang itu mati daripada sebab terlalu lemah dan kurus, ataupun kerana keadaannya yang tidak normal.
  • Bahawa Allah dengan mengharamkan kita memakan bangkai, yakni kita bangsa manusia, dalam waktu yang sama telah memberi peluang kepada binatang dan burung untuk memakan bangkai itu sebagai rahmat daripada Allah kepada makhluk-Nya itu, kerana mereka itu adalah umat seperti kita juga sesuai dengan apa yang disebutkan oleh al-Quran. Hal ini jelas dapat dilihat di tanah-tanah lapang dan di tempat yang jarang terdapat bangkai binatang yang mati.
  • Bahawa wajarlah manusia menjaga sungguh-sungguh binatang yang dipeliharanya, jangan sampai dibiarkan menjadi mangsa penyakit dan kelemahan sehingga ia mati, maka akan binasalah harta miliknya. Bahkan hendaklah dia segera mengubatinya atau dipercepatkan ia disembelih supaya ia terbebas daripada penanggungannya.

Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi

You cannot copy content of this page