Jumaat adalah hari istimewa, disifatkan penghulu segala hari dan hari raya mingguan umat Islam.
Betapa istimewanya Jumaat, al-Quran merakamkannya. Satu surah dinamakan al-Jumu’ah, diturunkan di Madinah dengan 11 ayat. Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ia dinamakan surah al-Jumu’ah (Jumaat) kerana pada ayat 9, Allah Taala memerintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik mendengar seruan azan serta meninggalkan urusan kerja masing-masing seperti berjual beli.
“Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Maksud ayat 9, surah al-Jumu’ah)
Dalam ayat berkenaan Allah Taala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad SAW serta memerintahkan supaya mengadakan satu solat khusus menandakan kebesaran hari Jumaat menggantikan solat Zuhur.
Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat, dijadikan Adam AS, dia dimasuk ke syurga, diturunkan ke bumi, diterima taubatnya, dia meninggal dan berdirinya kiamat. Adalah hari Jumaat pada sisi Allah itu hari kelebihan. Begitulah hari Jumaat dinamakan oleh kalangan malaikat di langit iaitu hari memandang kepada Allah Taala dalam syurga.” (Diriwayatkan Muslim: Daripada Abu Hurairah)
Imam al-Ghazali dipetik sebagai berkata, hari Jumaat adalah hari besar dan agama Islam dibesarkan (dimuliakan) oleh Allah dengan sebab hari berkenaan.
Menurutnya, orang Islam dikhususkan dengan hari berkenaan dan diharamkan orang Islam melakukan urusan duniawi, malah setiap perbuatan yang menghalangi mereka daripada menghadiri masjid menunaikan solat Jumaat.
Berkata Kaab: “Bahawa Allah Azzawajalla melebihkan Makkah dari segala negeri, Ramadan dari segala bulan, Jumaat dari segala hari dan Lailatul Qadar dari segala malam. Dan dikatakan bahawa burung dan haiwan yang berjumpa satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan: “Selamat, hari yang baik.”
Dalam buku Fatwa-fatwa Terkini oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Syeikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin dan Syeikh Saleh bin Fauzan al-Fauzan ada menyatakan hari raya yang disyariatkan sudah diketahui kaum Muslimin iaitu Aidilfitri dan Aidiladha serta hari raya mingguan.
Hari raya mingguan yang dimaksudkan itu ialah hari Jumaat. Justeru tiada ragu-ragu lagi bahawa Jumaat adalah hari yang cukup besar dalam Islam dan harus dimuliakan.