Mandi junub

Mandi pada pengertian bahasa ialah mengalirkan air pada apa saja benda. Menurut pengertian syarak ialah mengalirkan air pada badan dengan niat tertentu.

Mandi terbahagi kepada dua jenis, iaitu mandi yang diwajibkan dan mandi disunatkan.

Mandi yang diwajibkan: Mandi yang diwajibkan ialah apabila berlaku perkara yang mewajibkan  mandi. 

Perkara yang mewajibkan mandi ialah janabah (atau junub), haid, melahirkan anak (wiladah) dan mati.

1. Janabah

Asal makna janabah ialah jauh. Ini sebagaimana firman Allah:

فَبَصُرَتْ بِه ِعَن جُنُبٍ  

Maksudnya: “Lalu dilihatnya dari jauh.” (Surah al-Qasas, ayat 11)

Perkataan janabah dalam penggunaan biasa adalah dengan makna mani yang memancut. Ia juga digunakan dengan makna jimak (persetubuhan).

Oleh itu orang yang berjunub iaitu orang yang tidak suci disebabkan keluar mani atau persetubuhan. Dia dinamakan demikian sebab janabah seseorang itu jauh daripada menunaikan solat selagi dia berada dalam keadaan itu.

Sebab janabah

a- Keluar mani daripada lelaki atau perempuan, dengan apa-apa sebab sekalipun; seperti bermimpi, berseronok (bersedap-sedapan), melihat atau berfikir.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ummu Salamah (Radhiallahu anha), bahawa dia berkata: Ummu Sulaim telah datang menemui Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada perkara yang benar. Adakah perempuan wajib mandi apabila dia bermimpi (melihat dalam mimpinya yang dia bersetubuh). Jawab Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Ya, apabila dia melihat air (mani).

Abu Daud dan lainnya meriwayatkan daripada Aisyah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) telah ditanya mengenai seorang lelaki yang mendapati basah (pada kainnya) dan dia tidak ingat mengenai mimpinya. Jawab Rasulullah: Dia hendaklah mandi. Baginda juga ditanya mengenai seorang lelaki yang percaya bahawa dia telah bermimpi tetapi tidak mendapati basahan (pada kainnya atau tempat tidurnya). Rasulullah menjawab: Dia tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim pula berkata: Jika perempuan melihat basahan itu, adakah dia wajib mandi? Jawab Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Ya, (kerana) perempuan adalah saudara-mara lelaki.

b. Bersetubuh walaupun tanpa keluar mani.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah (Radhiallahu anhu) daripada Nabi (Sollallahu alaihi wasallam) bahawa baginda bersabda: Apabila dia duduk di antara dua paha dan betisnya (perempuan), kemudian digerakkannya bersungguh-sungguh, maka wajib ke atasnya mandi.

Dalam riwayat Muslim disebut: Sekalipun tidak keluar mani.

Menurut satu riwayat di sisi Muslim daripada Aisyah (Radhiallahu anha): Dan (apabila) khitan (kemaluan) menyentuh khitan. Maka, wajib mandi.

Lelaki dan perempuan wajib mandi kerana kedua-duanya melakukan sebab yang mewajibkan mandi. 

Perkara diharamkan kerana janabah:

a. Solat

Ini berdalilkan firman Allah pada surah an-Nisa, ayat 43 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya), sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid), sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar), melainkan kamu hendak melintas saja, hingga kamu mandi bersuci…”

Dalam ayat itu terdapat larangan daripada menghampiri tempat solat (masjid) disebabkan janabah (junub). Oleh itu melarang daripada menunaikan solat disebabkan junub adalah lebih utama (aula).

Imam Muslim dan lainnya meriwayatkan daripada Ibnu Umar (Radhiallahu anhu), katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak diterima solat dengan tidak bersuci.

Bersuci meliputi suci daripada hadas (hadas kecil) dan junub (hadas besar). 

b. Tinggal dan duduk di dalam masjid.

Adapun melalui atau melintasnya dengan tidak tinggal atau berulang-alik di dalamnya adalah tidak haram. 

Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Aku tidak menghalalkan (tidak membenarkan) masjid bagi orang yang haid dan orang yang junub. (Riwayat Abu Daud)

c. Tawaf mengelilingi Kaabah. Ini kerana tawaf sama kedudukannya dengan solat.

Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Tawaf di Baitullah (umpama) solat melainkan Allah menghalalkan kepada kamu bercakap padanya. Oleh itu sesiapa yang bercakap, maka janganlah dia bercakap melainkan dengan yang baik. (Riwayat al-Hakim, dan dia berkata sanadnya sahih)

d. Membaca al-Quran.

Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Janganlah orang yang haid dan junub itu membaca sesuatu daripada al-Quran. (Riwayat at-Tirmidzi dan lainnya)

Bagaimanapun, harus baginya membaca zikir daripada ayat al-Quran, dengan tujuan zikir. Dibenarkan juga bagi tujuan berdoa. 

e. Menyentuh al-Quran, menanggungnya atau menyentuh kertas dan kulitnya atau membawanya dalam bekas plastik atau peti. 

Allah berfirman maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. (Surah al-Waqiah, ayat 79)

Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Tidaklah menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci. (Riwayat Daruqutni dan Imam Malik)

Bagaimanapun harus bagi orang yang junub membawa al-Quran apabila ia dibawa bersama barang atau pakaian dan dia tidak berniat membawa al-Quran itu semata-mata. 

Begitu juga harus baginya membawa kitab tafsir al-Quran yang mana tafsirannya itu lebih banyak daripada ayat al-Quran. Ini kerana orang yang berbuat demikian tidak dianggap sebagai pembawa al-Quran di sisi pandangan umum (uruf).

2. Haid

Haid menurut pengertian bahasa ialah mengalir. Pengertiannya menurut syarak ialah darah tabii (semulajadi) yang disebabkan oleh sifat atau tabiat yang selamat (normal) yang keluar dari pangkal rahim perempuan selepas dia baligh (sampai umur), dengan cara betul dan pada waktu tertentu.

Dalil haid adalah antara sebab mewajibkan mandi ialah ayat 222, surah al-Baqarah, maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid, katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu…”

Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) kepada Fatimah binti Abi Hubaisy (Radhiallahu anha): Apabila datang haid, maka tinggallah solat dan jika ia pergi (berhenti), maka mandilah (bersihkan dirimu) daripada darah itu dan solatlah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Umur baligh

Maksud baligh apabila seseorang sampai pada tahap umur tertentu. Maka, dia layak menjadi orang menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

Tahap baligh seseorang dapat diketahui melalui beberapa perkara:

– Mimpi keluar mani, sama ada lelaki atau perempuan.

– Melihat darah haid. Ini khusus untuk perempuan. Waktu yang menjadikannya baligh disebabkan mimpi atau keluar haid ialah apabila dia mencapai umur sembilan tahun Qamariah (mengikut bulan Islam). Lewat atau tidak daripada umur itu adalah bergantung kepada keadaan sesebuah negeri (tempat) dan suasana kehidupan.

– Berumur 15 tahun berdasarkan tahun Qamariah. Keadaan ini diambil kira apabila tidak berlaku mimpi atau keluar haid. 

Tempoh haid:

Ia terbahagi kepada tiga, iaitu tempoh paling pendek, tempoh paling panjang dan tempoh biasa (ghalib).

Tempoh haid paling pendek ialah satu hari satu malam dan tempoh paling panjang ialah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh biasa ialah enam atau tujuh hari.

Sekurang-kurang waktu suci ialah 15 hari dan tiada had tertentu bagi tempoh panjangnya. Ini kerana kadang-kadang seorang perempuan tidak didatangi haid dalam tempoh setahun atau dua tahun bahkan beberapa tahun. 

Penentuan tempoh ini adalah berasaskan kepada istiqra’ iaitu pemerhatian terperinci kepada peristiwa yang berlaku kerana ia boleh dijadikan sandaran dalam menentukan tempoh itu.

Apabila seorang perempuan melihat darah yang keluar itu kurang daripada tempoh haid paling pendek (kurang dari sehari semalam) atau melebihi dari tempoh haid paling panjang (lebih 15 hari 15 malam), maka darah itu dianggap darah istihadhah (penyakit), bukan darah haid.

Darah istihadhah

Darah istihadhah ialah darah yang keluar daripada satu urat yang terletak di bawah rahim, dikenali dengan al-‘aazil.

Darah ini membatalkan wuduk tetapi tidak mewajibkan perempuan itu mandi dan tidak wajib meninggalkan solat dan puasa. Oleh itu perempuan yang keluar darah ini hendaklah membasuhnya, membalut tempat keluarnya dan hendaklah berwuduk setiap kali hendak solat fardu.

Abu Daud dan lainnya meriwayatkan daripada Fatimah binti Hubaisy: Dia telah keluar darah istihadhah, lalu Nabi (Sollallahu alaihi wasallam) bersabda kepadanya: Sekiranya ia darah haid, maka ia akan berwarna hitam yang biasa dikenali oleh orang perempuan. Jika ia bersifat demikian, maka jangan kamu bersolat dan jika tidak begitu, maka berwuduk dan bersolatlah, sesungguhnya ia adalah darah penyakit.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah (Radhiallahu anha) katanya: Fatimah binti Hubaisy telah datang menemui Nabi (Sollallahu alaihi wasallam) dan berkata: Wahai Rasulullah, aku telah mengalami istihadhah, oleh itu aku tidak suci, maka adakah aku perlu meninggalkan solat? Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Tidak, itu hanyalah darah penyakit dan bukan darah haid. Ketika kedatangan haid, hendaklah engkau meninggalkan solat dan apabila kadarnya telah berlalu, maka hendaklah engkau membasuh darah yang berada pada diri engkau dan hendaklah engkau bersolat.

Perkara diharamkan ketika haid

a. Solat.

b. Membaca al-Quran, menyentuhnya dan menanggungnya.

c. Tinggal di dalam masjid.

Tidak haram melintasi masjid. Muslim dan lainnya meriwayatkan, daripada Aisyah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) bersabda kepadaku: Ambilkan untukku sejadah di masjid, lalu aku berkata: Sesungguhnya aku dalam keadaan haid. Sabda Rasulullah: Sesungguhnya haidmu itu bukannya di tangan kamu.

An-Nasai meriwayatkan daripada Maimunah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Seorang daripada kami bangun membawa sejadah ke masjid, lalu dia menghamparkannya, sedangkan dia dalam keadaan haid.

d. Tawaf.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah (Radhiallahu anha) bahawa dia berkata: Kami telah keluar dalam keadaan berihram kerana menunaikan haji. Apabila kami sampai ke satu tempat yang bernama Saraf – tempat berhampiran dengan Makkah – tiba-tiba aku didatangi haid. Dan Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) masuk menemui aku dalam keadaan aku sedang menangis. Rasulullah bertanya: Apa masalah kamu, adakah kamu didatangi haid? Jawabku: Ya. Sabda Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas anak cucu perempuan Nabi Adam. Maka, buatlah sebagaimana orang menunaikan haji, lakukanlah kecuali kamu jangan tawaf di Kaabah. 

Selain itu, ada beberapa perkara lagi diharamkan kepada perempuan haid, iaitu: 

a. Melintasi masjid dan melaluinya apabila dibimbangi mencemarkan (mengotorkan) masjid. Ini kerana darah adalah najis dan haram mencemarkannya dengan najis dan lain-lain kotoran. Sekiranya ia selamat daripada mengotorinya, maka halal baginya melintasi masjid (sebagaimana dijelaskan sebelum ini).

b. Berpuasa. Tidak harus bagi perempuan haid berpuasa sama ada fardu (puasa wajib) atau sunat. 

Hukum ini telah menjadi ijmak (kesepakatan) ulama. Perempuan haid hendaklah mengganti (qada) kembali puasanya selepas suci dan dia tidak wajib mengganti solat. Apabila dia telah suci iaitu apabila haidnya telah berhenti, maka wajib ke atasnya berpuasa walaupun dia belum mandi. 

Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dan lafaz hadis oleh Muslim, daripada Mua’zah bahawa dia telah berkata: Aku bertanya Aisyah (Radhiallahu anha); mengapa perempuan haid dikehendaki menggantikan puasa dan tidak perlu mengganti solat? Aisyah menjawab: Kami telah didatangi haid ketika bersama-sama dengan Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam), lalu Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) telah memerintahkan kami menggantikan puasa dan tidak menyuruh kami menggantikan solat.

c. Melakukan persetubuhan, berseronok dan bergaul dengan isteri pada kawasan antara pusat dan lutut.

Firman Allah pada ayat 222, surah al-Baqarah, maksudnya: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.”

Abu Daud meriwayatkan daripada Abdullah bin Saad (Radhiallahu anhu): Dia telah bertanya Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Apakah yang dibenarkan aku lakukan terhadap isteriku ketika dia dalam keadaan haid? Jawab Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam): Bagi kamu yang di atas kain sarung.

Kain sarung ialah pakaian yang menutup pertengahan badan dan di bawahnya iaitu biasanya di antara pusat dan lutut.

3. Beranak

Beranak ialah melahirkan apa yang ada dalam kandungan. Kadang-kadang ia berlaku dalam keadaan darah tidak keluar apabila keluarnya anak. Justeru, dia dihukum sebagai orang yang berjunub kerana anak itu adalah hasil daripada mani perempuan dan lelaki. Hukum tidak berbeza walaupun cara kandungan itu dilahirkan adalah berbeza.

Apabila darah keluar selepas keluarnya anak – biasanya itulah yang berlaku – maka, darah itu dikenali sebagai darah nifas. 

Nifas pada pengertian bahasa ialah beranak. Pada pengertian syarak ialah darah yang keluar selepas beranak. Ia dinamakan nifas kerana ia keluar selepas keluarnya nafs (jiwa) dan perempuan itu dipanggil nufasa’.

Darah yang keluar ketika sakit hendak bersalin atau bersama dengan keluarnya anak tidak dianggap sebagai darah nifas kerana ia mendahului anak ketika keluar, bahkan darah itu dianggap darah yang rosak atau kotor. Oleh itu wajib ke atasnya (perempuan itu) ketika sakit hendak bersalin walaupun dia melihat darah keluar. Sekiranya dia tidak mampu untuk bersolat, maka dia wajib menggantikannya.

Tempoh nifas – Sekurang-kurangnya tempoh nifas ialah satu lahzoh iaitu seketika saja dan kadang-kadang berterusan beberapa hari. Biasanya 40 hari dan paling maksimum 60 hari. Darah yang keluar selepas tempoh itu dianggap sebagai darah istihadhah (penyakit).

Perkara diharamkan ketika nifas – ulama sepakat bahawa nifas adalah sama dengan haid dalam semua hukum berkaitan dengannya.

4. Mati

Apabila seorang Muslim (atau Muslimah) mati, maka orang-orang Muslim lain wajib memandikannya. Kewajipan ini adalah fardu kifayah iaitu apabila sebahagian kerabat mereka atau orang lain melakukannya, maka gugurlah tuntutan wajib itu ke atas orang lain dan sekiranya ia tidak dilakukan oleh seorang pun, maka semua berdosa.

Orang yang memandikan wajib berniat memandikannya. Ini adalah hukum berkaitan orang bukan mati syahid. Manakala orang mati syahid tidak dimandikan.

Dalil wajib memandikan orang mati ialah sebagaimana diriwayatkan Ibnu Abbas (Radhiallahu anhu): Rasulullah (Sollallahu alaihi wasallam) bersabda mengenai orang yang mati dalam keadaan ihram kerana dicampak dan dipijak tengkuknya oleh untanya: Mandikannya dengan air dan air bidara. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rukun mandi

1. Niat – Orang yang junub hendaklah berniat menghilangkan (atau mengangkat) hadas junubnya, perempuan yang baru selesai haid hendaklah berniat menghilangkan hadas kotorannya dan (begitulah) seterusnya. 

2. Menyampaikan air ke seluruh badan.

Justeru, seorang yang wajib mandi itu mestilah mandi dengan mengalirkan (atau menyampaikan) air ke seluruh badan dengan niat.

Perkara sunat ketika mandi: Membaca Bismillah pada permulaan mandi, berwuduk sebelum mandi, menggosok-gosok seluruh badan dengan tangan, mendahulukan yang kanan daripada yang kiri dan berturut-turut.

Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fikah Mazhab Syafie, Fiqh Islam (H Sulaiman Rasjid) dan Tafsir Pimpinan ar-Rahman

You cannot copy content of this page