Mandi yang disunatkan

Mandi yang disunatkan ialah mandi yang solat tetap sah walaupun tanpanya (tidak mandi).

1. Mandi pada hari Jumaat.

Disunatkan mandi pada hari Jumaat bagi orang yang ingin menghadiri solat Jumaat sekalipun solat Jumaat itu tidak diwajibkan ke atasnya seperti orang bermusafir, perempuan dan kanak-kanak.

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apabila seseorang kamu ingin menghadiri (solat) Jumaat, maka hendaklah dia mandi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Lafaz hadis ini oleh Muslim)

Waktu mandi: 

Waktu mandi pada hari Jumaat bermula ketika terbit fajar sodiq (masuk waktu Subuh). Waktu yang lebih afdal (lebih baik) ialah ketika hampir dengan pemergiannya untuk solat Jumaat, kerana ia lebih membawa kepada maksud mandi iaitu mewangikan tubuhnya, menghilangkan peluh dan bau busuk. 

2. Mandi pada dua hari raya.

Disunatkan mandi pada hari raya fitrah (Aidilfitri) dan hari raya korban (Aidiladha). Hukum itu meliputi mereka yang ingin menghadiri  solat atau tidak. Ini kerana hari raya adalah hari untuk berhias, maka disunatkan mandi kerananya.

Imam Malik meriwayatkan dalam kitabnya al-Muwatta: Abdullah bin Umar RA mandi pada hari raya fitrah (Aidilfitri) sebelum beliau pergi ke tempat solat.

Dilakukan qiyas (perbandingan) hari raya korban dengan hari raya fitrah (dari segi hukum sunat mandi pada hari itu).

Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yang terdapat kelemahan padanya, daripada Ibnu Abbas RA bahawa dia berkata: Rasulullah SAW mandi pada hari raya fitrah dan hari raya korban.

Waktu mandi:

Waktu mandi pada dua hari raya bermula dari pertengahan malam raya. 

3. Mandi gerhana matahari dan bulan.

Disunatkan mandi ketika hendak mendirikan solat gerhana matahari dan bulan. Dalilnya ialah qiyas kepada solat Jumaat. Ini kerana kedua-duanya mempunyai maksud sama dari segi disyariatkan berjemaah dan perhimpunan orang ramai untuk melaksanakannya.

Waktunya ialah apabila mula berlaku gerhana dan tamat apabila hilangnya gerhana.

4. Mandi untuk solat istisqa’ (solat minta hujan).

Disunatkan mandi sebelum keluar bagi mendirikan solat istisqa’ qiyas kepada mandi untuk solat gerhana matahari dan bulan.

5. Mandi selepas memandikan mayat.

Disunatkan mandi kepada sesiapa yang memandikan mayat. Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa memandikan mayat, maka hendaklah dia mandi.” (Riwayat Imam Ahmad dan pengarang kitab sunan. At-Tirmidzi menghukumkannya sebagai hadis hasan)

Perintah mandi dalam hadis itu bukan dengan makna wajib, berdasarkan hadis lain: Tidak wajib ke atas kamu mandi dalam masalah memandikan mayat dalam kalangan kamu, apabila kamu memandikannya. (Riwayat al-Hakim)

6. Mandi berkaitan ibadat haji.

(a) Mandi untuk memakai ihram haji atau umrah. Dalilnya sebagaimana diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, daripada Zaid bin Tsabit al-Ansori bahawa dia menceritakan: Dia telah melihat Nabi SAW menanggalkan pakaian untuk berihram, kemudian baginda mandi.

(b) Mandi ketika hendak masuk Makkah. Dalilnya ialah: Ibnu Umar RA tidak datang ke Makkah melainkan bermalam di Zi Tuwa sehingga waktu pagi. Kemudian dia mandi dan masuk ke Makkah pada siang hari. Dia pernah menyebutkan bahawa Rasulullah SAW berbuat demikian. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Lafaznya daripada Muslim)

(c) Mandi ketika hendak wukuf di Arafah selepas gelincir matahari. Yang lebih afdal ialah mandi di Namirah yang berhampiran dengan Padang Arafah. Dalilnya Sayidina Ali RA mandi pada kedua-dua hari raya, hari Jumaat, hari Arafah dan ketika hendak berihram. (Imam Syafie dalam musnadnya sebagaimana disebut dalam kitab al-Umm)

Imam Malik dalam al-Muwatta meriwayatkan daripada Nafi’: Abdullah bi Umar RA mandi kerana ihramnya sebelum dia memakai ihram, ketika masuk ke Makkah dan ketika hendak wukuf di Padang Arafah.

(d) Mandi untuk melontar batu di ketiga-tiga jamrah pada setiap hari tasyrik yang tiga selepas gelincir matahari. Ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut berkenaan dengannya. Malah kerana ia adalah tempat orang ramai berhimpun. Oleh itu hukumnya sama dengan mandi pada hari Jumaat.

Jamrah ialah tempat dilontarkan anak batu padanya. Ia terletak di Mina. Ia juga digunakan dengan makna anak batu yang digunakan untuk melontar di tempat berkenaan.

(e) Mandi kerana memasuki Madinah. Ini sekiranya mudah dilakukan. Ia disunatkan berdasarkan qiyas kepada sunat mandi ketika masuk ke Makkah. Ini kerana kedua-duanya adalah tanah haram. Sekiranya tidak dapat dilakukan, maka disunatkan mandi sebelum masuk ke Masjid Nabi.

Sumber: Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fikah Mazhab Syafie

You cannot copy content of this page