Perkara membatalkan keislaman seseorang

Setiap manusia apabila telah mengucap dua kalimah syahadah, maka dia menjadi orang Islam. Baginya wajib dan berlaku hukum-hukum Islam iaitu beriman akan keadilan dan kesucian Islam. Wajib baginya menyerah dan mengamalkan hukum Islam yang jelas, yang ditetapkan oleh al-Quran dan sunah.

Tidak ada pilihan baginya menerima atau meninggalkan sebahagian. Dia harus menyerah pada semua hukum yang dihalalkan dan yang diharamkan, sebagaimana maksud ayat di bawah:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi wanita yang Mukmin, apa Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka…” (Al-Ahzab, 36)

Perlu diketahui bahawa ada antara hukum-hukum Islam yang sudah jelas menjadi kewajipan, atau yang sudah jelas diharamkan (dilarang), dan hal itu sudah menjadi ketetapan yang tidak diragukan lagi, yang telah diketahui oleh umat Islam pada umumnya.

Yang demikian itu dinamakan oleh ulama: “Hukum-hukum agama yang sudah jelas diketahui” – contohnya kewajipan solat, puasa, zakat dan sebagainya. Hal itu termasuk rukun Islam. Ada yang diharamkan, misalnya membunuh, zina, riba, minum khamar dan sebagainya. Hal itu termasuk dalam dosa besar. Begitu juga hukum-hukum pernikahan, talak, waris dan qisas, semua itu termasuk perkara yang tidak diragukan lagi hukumnya.

Sesiapa yang mengingkari sesuatu daripada hukum-hukum tersebut, menganggap ringan atau mengolok-olok (mempersenda), maka dia menjadi kafir dan murtad. Sebab hukum-hukum tersebut telah diterangkan dengan jelas oleh al-Quran dan dikuatkan dengan hadis-hadis Nabi SAW yang sahih atau mutawatir, dan menjadi ijmak oleh umat Muhammad SAW dari generasi ke generasi. Maka, sesiapa yang mendustakan hal ini, bererti mendustakan al-Quran dan sunah.

Mendustakan (mengingkari) perkara tersebut dianggap kufur, kecuali bagi orang-orang yang baru masuk Islam (mualaf) dan jauh daripada sumber maklumat…misalnya tinggal di hutan atau jauh dari kota dan masyarakat Muslimin.

Setelah mengetahui ajaran Islam, maka berlaku hukum baginya.

Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi 

You cannot copy content of this page