Erti najis pada bahasa ialah semua benda kotor. Menurut syarak ialah benda yang kotor menghalang daripada sah solat seperti darah dan air kencing.
Benda najis terlalu banyak. Di sini dinyatakan tujuh perkara:
1. Arak dan semua cecair yang memabukkan.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji).” (Surah al-Maidah, ayat 90)
Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Setiap yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram.”
2. Anjing dan babi.
Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apabila bekas seseorang kamu dijilat oleh anjing (seperti meminum air di dalamnya), maka sucikanlah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, basuhan pertama hendaklah dengan tanah (air yang dicampurkan dengan tanah).” (Riwayat Muslim)
Menurut riwayat ad-Darulqutni, salah satu daripada air itu ialah dengan air tanah.
3. Bangkai. Iaitu semua haiwan yang mati tanpa disembelih dengan cara yang telah ditetapkan oleh syarak.
Firman Allah bermaksud: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih).” (Surah al-Maidah, ayat 3)
Pengharamannya adalah disebabkan ia najis. Termasuk juga dalam hukum bangkai, semua yang disembelih untuk berhala dan yang disebut dengan nama selain daripada Allah.
Firman-Nya bermaksud: “Dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah.” (Surah al-Maidah, ayat 3)
(Namun) terdapat tiga jenis bangkai yang tidak dihukumkan sebagai najis:
i. Bangkai (mayat) manusia.
Firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.” (Surah al-Isra, ayat 70)
Maksud kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia ialah dia adalah suci sama ada ketika hidup ataupun mati.
Imam al-Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): “Maha Suci Allah, sesungguhnya orang Islam tidak najis.”
Ibnu Abbas RA menyatakan: Orang Islam tidak najis, sama ada ketika hidup atau mati. (Riwayat al-Bukhari ketika melakukan komentar dalam kitab jenazah, bab memandikan mayat mengambil wuduk untuknya).
ii. Ikan
iii. Belalang
Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Maka, adapun dua bangkai itu ialah ikan dan belalang. Adapun dua darah ialah hati dan limpa.” (Riwayat Ibnu Majah)
4. Darah yang mengalir dan nanah.
Firman-Nya bermaksud: “Atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.” (Surah al-An’am, ayat 145)
Hati dan limpa dikecualikan daripada darah yang dihukum najis berdasarkan hadis yang lalu.
5. Air kencing manusia dan binatang serta tahi kedua-duanya.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, bahawa seorang Badwi telah kencing di dalam masjid, lalu Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tuangkan ke atasnya satu timba yang penuh airnya.
Perintah supaya dituangkan air ke atasnya menunjukkan bahawa air kencing adalah najis.
6. Setiap bahagian yang tercerai (terpisah) daripada binatang ketika hidup adalah najis.
Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Apa yang dipotong daripada binatang (ketika ia masih hidup) adalah bangkai.” (Al-Hakim, dia mentashihkannya)
Rambut dan bulu haiwan yang dimakan dagingnya dikecualikan daripada hukum itu. Ia adalah suci.
Firman-Nya bermaksud: “Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu (yakni bulu kibas, unta dan kambing), berbagai-bagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.” (Surah an-Nahl, ayat 80)
7. Susu haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti keldai dan seumpamanya. Ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya dan dagingnya adalah najis.
(Pembahagian dari segi) najis ‘aini dan najis hukmi:
Najis ‘aini ialah semua najis yang mempunyai jirim (bentuk) yang dapat dilihat atau mempunyai sifat yang zahir seperti warna ataupun bau, seperti tahi, air kencing atau darah.
Najis hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau najis itu tidak ada lagi. Contoh, baju yang terkena air kencing, kemudian ia kering dan tidak zahir lagi kesannya.
Najis mughallazah, najis mutawassitah dan najis mukhaffafah:
i, Najis mughallazah (berat) ialah najis anjing dan babi.
Dalil menunjukkan bahawa najis anjing dan babi adalah najis berat ialah kerana tidak memadai membasuhnya satu kali air seperti najis lain. Bahkan mesti dibasuh dengan tujuh kali. Salah satu basuhannya ialah dengan air tanah. Sebagaimana dalam hadis yang lalu iaitu hadis berkenaan anjing menjilat bekas air.
Babi dilakukan qiyas dengan anjing (dari segi najisnya) kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing.
ii. Najis mukhaffafah (ringan) ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan tidak makan melainkan susu (manusia) sahaja.
Dalil menunjukkan bahawa air kencing itu adalah najis ringan ialah ia memadai untuk membersihkannya dengan hanya merenjiskan air ke atasnya. Renjisan air itu hendaklah meratai semua tempat najis walaupun tanpa mengalirkannya.
Al-Bukhari dan Muslim serta lainnya meriwayatkan daripada Ummu Qis binti Mihsan RA: Beliau menemui Rasulullah SAW dengan membawa anak lelaki kecil yang tidak makan apa-apa makanan. Lalu, anak itu kencing di atas baju baginda. Baginda menyuruh supaya didatangkan air, lalu merenjis-renjiskannya tanpa membasuhnya (mengalirkan airnya).
iii. Najis mutawassitah (pertengahan) iaitu najis selain anjing dan babi serta air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan melainkan susu manusia.
Contoh, air kencing manusia, tahi haiwan dan darah. Dinamakan najis pertengahan kerana ia tidak suci dengan hanya direnjiskan air ke atasnya dan tidak wajib dibasuh berulang-ulang kali sekiranya najis itu boleh dihilangkan hanya dengan sekali basuhan.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas RA, katanya: Apabila Nabi SAW keluar (ke kawasan lapang) untuk menunaikan hajatnya (membuang air), aku datangkan kepadanya air. Lalu Baginda membasuh dengannya.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ali RA, katanya: Aku adalah seorang yang selalu keluar air mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad (menanyakannya), lalu dia bertanya. Baginda SAW menjawab: Padanya (dikenakan) wuduk.
Menurut riwayat Muslim: Dia hendaklah membasuh kemaluannya dan berwuduk.
Air mazi ialah cecair berwarna kuning kejernihan. Biasanya ia keluar ketika syahwat sedang memuncak.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, katanya: Nabi SAW pergi ke tanah yang rendah untuk membuang air. Kemudian, Baginda menyuruh aku memberinya tiga biji batu. Aku mendapati dua biji batu saja dan aku mencari yang ketiga tetapi tidak mendapatinya. Lalu aku mengambil tahi binatang (yang kering) dan aku bawa kepada baginda. Baginda mengambil dua batu itu dan mencampakkan tahi binatang itu, lalu berkata: Ini adalah najis.
Hadis itu menunjukkan bahawa semua perkara yang disebutkan adalah najis dan begitulah juga benda-benda lain yang tidak disebutkan. Ia dilakukan qiyas (membandingkan) kepada perkara berkenaan.
Cara bersuci daripada najis
(A) Najis mughallazah (najis anjing dan babi) ialah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya (dicampur) dengan tanah, sama ada najis itu najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat.
Dalilnya ialah sebagaimana hadis yang lalu berkenaan anjing menjilat air dalam bekas.
(B) Cara menyucikan najis mukhaffafah (air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain daripada susu manusia) ialah dengan direnjiskan air secara rata ke tempat najis itu sama ada dalam keadaan najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada badan, pakaian atau tempat.
(C) Cara menyucikan najis mutawassitah ialah dengan dialirkan air ke atasnya dan dihilangkan kesannya sehingga hilang ‘ain najis itu dan sifatnya; warna, rasa atau bau, sama ada najis ‘aini atau hukmi dan sama ada ia terkena pada pakaian, badan atau tempat. Tetapi tidak mengapa jika warna masih kekal disebabkan susah untuk dihilangkan seperti darah.
Rujukan: Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab Imam Syafie