Apakah wanita jahat dalam segalanya?

Apakah wanita jahat dalam segalanya?
Foto hiasan – Unsplash

(Soalan berkaitan) — Dalam buku Nahjul Balaghah karangan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib terdapat suatu keterangan: “Wanita dalam dalam segalanya. Dan yang paling jahat daripada dirinya ialah kita tidak dapat terlepas daripadanya.” Apakah erti sebenarnya daripada kalimat itu? Apakah hal itu sesuai dengan pandangan Islam terhadap wanita?

Ada dua hal yang nyata kebenarannya tetapi harus dijelaskan lebih dahulu:

Pertama, yang menjadi pegangan atau dasar daripada masalah agama ialah firman Allah dan sabda Nabi SAW, selain daripada dua ini, setiap orang kata-katanya boleh diambil dan ditinggalkan. Maka, al-Quran dan sunah kedua-duanya adalah sumber yang kuat dan benar.

Kedua, sepertimana telah diketahui oleh para penganalisis dan cendekiawan Muslim, bahawa semua tulisan yang ada pada buku itu (Nahjul Balaghah), baik yang berupa dalil-dalil atau alasan-alasan yang dikemukakan, tidak semuanya tepat. Antara perkara yang ada pada buku itu ialah tidak menggambarkan masa mahupun fikiran serta cara di zaman Ali.

Oleh sebab itu tidak dapat dijadikan dalil dan tidak dapat dianggap benar, kerana semua kata-kata dalam buku itu tidak ditulis oleh Imam Ali.

Dalam penetapan ilmu agama, setiap ucapan atau kata-kata daripada seseorang tidak dapat dibenarkan kecuali disertai dalil yang sahih dan bersambung, yang bersih daripada kekurangan atau aib dan kelemahan kalimatnya.

Maka, kata-kata itu tidak dapat disebut sebagai ucapan Ali, kerana tidak bersambung dan tidak mempunyai sanad yang sahih.

Sekalipun kata-kata tersebut mempunyai sanad yang sahih, bersambung, riwayatnya adil dan benar, maka wajib ditolak, kerana hal itu bercanggah dengan dalil-dalil dan hukum Islam. Alasan ini terpakai dalam segala hal (kata-kata) atau fatwa walaupun sanadnya seterang matahari.

Mustahil bagi Imam Ali mengatakan hal itu, yang mana beliau sering membaca ayat-ayat al-Quran, antaranya adalah:

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang, yang kemudian daripadanya Allah lantas menciptakan isterinya, daripada kedua-duanya Allah mengembangkan lelaki dan wanita yang banyak…” (Maksud ayat 1, surah an-Nisa)

“Maka, Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan firman-Nya): Bahawa sesungguhnya Aku tiada mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal antara kamu, baik lelaki mahupun wanita, (kerana) sebahagian daripada kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain…” (Maksud ayat 195, surah Ali-Imran)

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia mencipatakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Allah menjadikannya antara kamu rasa kasih sayang…” (Maksud ayat 21, surah ar-Rum)

Masih banyak lagi antara ayat-ayat suci al-Quran yang mengangkat dan memuji darjat wanita, di samping lelaki, sepertimana sabda Nabi SAW: “Termasuk tiga sumber kebahagiaan bagi lelaki ialah wanita solehah, kediaman yang baik dan kenderaan yang baik pula.” (Diriwayatkan Ahmad, dengan sanad sahih)

“Di dunia ini mengandungi kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan itu adalah wanita yang solehah.” (Diriwayat Imam Muslim, Nasai dan Ibn Majah)

“Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah wanita yang solehah, maka dia telah dibantu dalam sebahagian agamanya, maka bertakwalah pula kepada Allah dalam sisanya yang sebahagian.”

Banyak lagi hadis daripada Nabi SAW yang memuji wanita, maka mustahil bahawa Ali berkata seumpama di atas.

Sifat wanita berbeza dengan sifat lelaki dari segi fitrah. Kedua-duanya dapat menerima kebaikan, kejahatan, hidayah, kesesatan dan sebagainya.

Firman Allah dalam al-Quran (maksudnya): “Jiwa dan penyempurnaannya (ciptaannya); maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” (Asy-Syams, 7-10)

Mengenai fitnah yang ada pada wanita di samping fitnah yang ada pada harta dan anak-anak, yang mana hal itu telah diterangkan dalam al-Quran dan dianjurkan supaya mereka waspada dan menjaga diri daripada fitnah tersebut.

Dalam sabda Rasulullah SAW diterangkan mengenai fitnah wanita iaitu sebagai berikut:

“Setelah aku tiada, tidak ada fitnah yang paling besar gangguannya bagi lelaki, daripada fitnah wanita.” (Diriwayatkan Bukhari)

Erti daripada hadis di atas menunjukkan, wanita bukan jahat, tetapi mempunyai pengaruh yang besar bagi manusia, yang dikhuatirkan lupa pada kewajipannya, lupa kepada Allah dan agama.

Selain masalah wanita, al-Quran mengingatkan manusia mengenai fitnah yang disebabkan daripada harta dan anak-anak.

Allah berfirman dalam al-Quran (maksudnya): “Sesungguhnya harta-harta dan anak-anakmu adalah fitnah (cubaan bagimu) dan pada sisi Allah pahala yang besar.” (At-Taghabun, 15)

“Hai orang-orang yang beriman! Janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu mengingati kepada Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka mereka termasuk orang-orang yang rugi.” (Al-Munafiqun, 9)

Selain itu (wanita, anak-anak dan harta yang dapat mendatangkan fitnah), harta juga sebagai suatu yang baik.

Firman Allah (maksudnya): “Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenismu sendiri dan menjadikan bagimu dan isteri-isterimu itu, anak-anak dan cucu, dan memberimu rezeki daripada harta yang baik-baik…” (An-Nahl, 72)

Oleh itu, dianjurkannya untuk waspada daripada fitnah wanita, fitnah harta dan anak-anak. Hal itu bukan bererti semuanya bersifat jahat, tetapi demi mencegah timbulnya fitnah yang dapat melalaikan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah.

Allah tidak mungkin menciptakan suatu kejahatan, kemudian dijadikannya sebagai suatu keperluan dan keharusan bagi setiap makhluknya.

Makna yang tersirat daripada suatu kejahatan itu adalah suatu bahagian yang amat sensitif, realitinya menjadi lazim bagi kebaikan secara mutlak. Segala bentuk kebaikan dan kejahatan itu berada di tangan (kekuasaan) Allah.

Oleh sebab itu, Allah memberikan bimbingan bagi lelaki untuk menjaga dirinya daripada bahaya dan fitnah yang dapat disebabkan da mudah dipengaruhi oleh perkara-perkara tersebut.

Diwajibkan juga bagi wanita agar waspada dan berhati-hati dalam menghadapi tipu daya yang diupayakan oleh musuh-musuh Islam untuk menjadikan wanita sebagai alat perosak budi pekerti, akhlak yang luhur dan bernilai suci.

Wajib bagi wanita Muslimat kembali pada kudratnya sebagai wanita yang solehah, wanita hakiki, isteri solehah dan sebagai ibu teladan bagi rumah tangga, agama dan negara.

Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page