Hakikat tasawuf

Hakikat tasawuf
Foto hiasan – Unsplash

(Soalan berkaitan) — Apa sebenarnaya erti kata tasawuf hakikat dan hukumnya menurut Islam? Apakah benar, antara orang-orang ahli tasawuf ada yang tersesat dan menyimpang?

Erti tasawuf dalam agama ialah memperdalam ke arah bahagian rohaniah (spiritual), ubudiah, dan perhatiannya tercurah sekitar hal itu.

Agama-agama di dunia ini banyak sekali yang menganut pelbagai macam tasawuf, antaranya ada sesetengah orang India yang amat fakir. Mereka cenderung menyeksa diri sendiri demi membersihkan jiwa dan meningkatkan amalan ibadatnya.

Dalam agama Kristian, terdapat aliran tasawuf khususnya bagi para pendeta. Di Yunani, muncul aliran Ruwagiyin. Di Parsi, ada aliran yang bernama Mani’ dan di negeri-negeri lainnya banyak aliran ekstrem di bidang rohaniah.

Kemudian, Islam datang dengan membawa pertimbangan paling baik, antara kehidupan rohaniah dan jasmaniah serta penggunaan akal.

Maka, insan itu sepertimana digambarkan oleh agama, iaitu terdiri daripada tiga unsur; roh, akal dan jasad. Masing-masing daripada tiga unsur itu diberikan hak sesuai dengan keperluannya.

Ketika Nabi SAW melihat salah satu sahabatnya yang berlebih-lebihan dalam salah satu sisi, sahabat itu segera ditegur. Sepertimana yang berlaku pada Abdullah bin Amr bin As. Dia berpuasa terus-menerus tidak pernah berbuka, sepanjang malam beribadat, tidak pernah tidur serta meninggalkan isteri dan kewajipannya. Lalu Nabi SAW menegurnya dengan sabdanya: “Wahai Abdullah, sesungguhnya bagi dirimu ada hak (untuk tidur), bagi isteri dan keluargamu ada hak (untuk bergaul), dan bagi jasadmu ada hak. Maka, masing-masing ada haknya.”

Ketika sesetengah daripada para sahabat Nabi SAW bertanya kepada isteri-isteri Rasul SAW, mengenai ibadat baginda yang luar biasa, mereka (para isteri Rasulullah) menjawab: “Kami amat jauh daripada Nabi SAW, yang dosanya telah diampuni oleh Allah SWT, baik dosa yang telah lampau mahupun dosa yang belum dilakukannya.”

Kemudian, salah seorang antara mereka berkata: “Aku akan beribadat sepanjang malam.” Sedang yang lainnya mengatakan: “Aku tidak akan berkahwin.” Kemudian hal itu sampai terdengar oleh Rasulullah, lalu mereka dipanggil dan Rasulullah berbicara di hadapan mereka.

Sabda baginda: “Sesungguhnya aku ini lebih mengetahui daripada kamu mengenai makrifat Allah dan aku lebih takut kepada-Nya daripada kamu, tetapi aku bangun, tidur, berpuasa, berbuka, menikah, dan sebagainya, semua itu adalah sunah. Sesiapa yang tidak senang dengan sunahku ini, maka dia tidak termasuk golonganku.”

Justeru, Islam melarang melakukan perkara-perkara yang berlebih-lebihan dan mengharuskan mengisi setiap waktu luang dengan perkara yang membawa manfaat serta menghayati setiap bahagian dalam hidup ini,

Munculnya sufi-sufi pada masa Muslimin umumnya terpengaruh pada dunia yang datang kepada mereka, dan terbawa-bawa pada pola fikir yang mendasarkan semua masalah dengan pertimbangan logik. Hal itu berlaku setelah masuknya negara-negara lain di bawah kekuasaan mereka.

Berkembangnya ekonomi dan bertambahnya pendapatan masyarakat, mengakibatkan mereka terseret jauh daripada apa yang dikehendaki oleh Islam yang sebenarnya.

Iman dan ilmu agama menjadi falsafah dan ilmu kalam, dan banyak daripada ulama-ulama fiqih yang tidak lagi memperhatikan hakikat dari segi ibadat rohani. Mereka hanya memperhatikan dari segi zahirnya saja.

Sekarang ini, muncul golongan sufi yang dapat mengisi kekosongan pada jiwa masyarakat dengan akhlak dan sifat-sifat yang luhur serta ikhlas. Hakikat daripada Islam dan iman, semuanya hampir menjadi perhatian dan kegiatan daripada golongan sufi.

Mereka para tokoh sufi sangat berhati-hati dalam meniti jalan di atas garis yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan sunah. Bersih daripada pelbagai fikiran dan praktik yang menyimpang, baik dalam ibadat atau fikirannya.

Ramai orang masuk Islam kerana pengaruh mereka. Ramai orang yang derhaka dan zalim kembali bertaubat kerana jasa mereka. Dan tidak sedikit yang mewariskan pada dunia Islam, yang berupa kekayaan besar daripada peradaban dan ilmu, terutama di bidang makrifat, akhlak dan pengalaman di alam rohani, semua itu tidak dapat diingkari.

Tetapi ramai pula antara orang-orang sufi terlampau mendalami tasawuf hingga ada yang menyimpang dari jalan lurus dan mempraktikkan teori di luar Islam, ini yang dinamakan Sathahat orang-orang sufi, atau perasaan yang halus dijadikan sumber hukum mereka.

Pandangan mereka dalam masalah pendidikan, antaranya ialah seorang murid di hadapan gurunya harus tunduk patuh ibarat mayat di tengah-tengah orang yang memandikannya.

Ramai daripada golongan Ahli Sunah dan ulama salaf yang menjalankan tasawuf, sepertimana diajarkan oleh al-Quran, dan ramai pula yang berusaha meluruskan dan mempertimbangkannya dengan timbangan al-Quran dan sunah. Antaranya ialah Imam Ibnul Qayyim yang menulis sebuah buku berjudul Madaarijus Saalikin ila Manaazilus Saairin yang ertinya Tangga bagi Perjalanan Menuju ke Tempat Tujuan. Dalam buku itu diterangkan mengenai ilmu tasawuf terutama di bidang akhlak, sepertimana buku kecil karangan Syeikhul Islam Ismail al-Harawi al-Hanbali yang menafsirkan daripada surah al-Fatihah (bermaksud): Kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami minta pertolongan.”

Kitab itu adalah kitab yang paling baik bagi pembaca yang ingin mengetahui masalah tasawuf secara mendalam.

Sesungguhnya setiap manusia boleh memakai pandangannya dan boleh tidak memakainya, kecuali ketetapan dan hukum-hukum daripada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Kita dapat mengambil daripada ilmu para sufi pada bahagian yang murni dan jelas, misalnya ketaatan kepada Allah, cinta kepada sesama makhluk, makrifat akan kekurangan yang ada pada diri sendiri, mengetahui tipu daya daripada syaitan dan pencegahannya, serta perhatian mereka dalam meningkatkan jiwa ke tingkat yang murni.

Di samping itu, menjauhi perkara-perkara yang menyimpang dan terlampau berlebih-lebihan, sepertimana diterangkan oleh tokoh sufi terkenal, Imam al-Ghazali. Melalui ulama ini, dapat kami ketahui tentang banyak hal, terutama ilmu akhlak, penyakit jiwa dan pengubatannya.

Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page