Bertudung, berhijab: Cantik di mata, cantiklah di jiwa

Bertudung, berhijab: Cantik di mata, cantiklah di jiwa
Foto hiasan – Unsplash

Hari X, saya memulakan misi. Saya memakai hijab, cermin mata dan pakaian pekerja pembinaan untuk tidak dikenali langsung. Mulanya saya berlari sehingga ke tingkat 32 sebelum keadaan jadi terlampau panas.

Saya terpaksa baring di atas lantai konkrit dalam keadaan separuh bogel untuk menyejukkan badan sedikit dan minum semua air yang ada — twit seorang wanita dikenali sebagai Angel sebagaimana dipetik, yang turut berkongsi dua keping gambar, termasuk ketika menyamar dengan memakai tudung.

Mengakui kehadirannya dikesan sewaktu sedang berehat yang membuatkannya berasa cemas, wanita terbabit turut berkongsi gambarnya yang tidak tidur serta tiada makanan mahupun minuman.

“Mimpi ngeri bermula dan saya menemui satu tempat bersembunyi di dalam kotak konkrit kecil yang tidak dapat meregangkan kaki. Saya perlu menghabiskan lebih 20 jam di sana. 25 jam kemudian, saya tidak mempunyai makanan, tidak ada air dan tidak tidur.

“Saya tidak dapat meregangkan kaki saya dan seluruh badan saya kaku dan sakit. Saya tidak boleh menangis pun kerana pekerja berada di sebelah saya akan mendengar esakan dan akan menyerahkan saya kepada pihak keselamatan. Masa paling teruk dalam hidup saya.”

Ketika pekerja di tapak projek berhenti untuk berehat, Angle mengambil kesempatan terus memanjat ke atas bumbung.

“Tinggi menara itu 53 tingkat dan saya memakai beg galas seberat 15 kilogram. Jika anda melihat foto sebelumnya, anda tidak akan melihat bahagian bawahnya. Saya tidak pasti akan memanjat jika tahu betapa tinggi (menara).

“Selepas selesai memanjat, saya tidak dapat rasa tangan saya, malah tidak dapat mengangkatnya.”

Demikian antara yang dilaporkan media tempatan.

Siapa Angel? Kenalkah kita kepadanya? Menurut apa yang dilaporkan, dia adalah Angela Nikolau, wanita Russia yang dikatakan memanjat Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur.

Dia memakai tudung dan menyamar sebagai pekerja pembinaan untuk memudahkan akses ke dalam bangunan tertinggi di Malaysia dan antara tertinggi dunia itu.

Pendedahannya dikatakan dibuat melalui Twitternya, yang memperincikan bagaimana dia menghabiskan beberapa minggu untuk mencari butiran penting berkaitan sebelum misi berkenaan.

Sebelum menceroboh, dia menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan Menara Merdeka 118, hanya untuk menjalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan itu.

Apa yang dapat kita perhatikan? Satu daripadanya ialah kesungguhan, betulkan? Di mana ada kemahuan, di situ ada….ada apa? Ada kejayaan. Umumnya begitulah. Buat apa pun, jika bersungguh, ditambah dengan perencanaan rapi, ia menjadi. Melainkan jika ditakdirkan tak jadi.

Bertudung tu dah cantik. Sanggup dia, siap bertudung lagi. Kita, sanggupkah? Panjat tinggi-tinggi, mungkinkah nak cari hidayah!

Sentuh soal bertudung, berhijab ni, sejauh mana kita mengenakan dengan niat tulus murni. Dia bertudung untuk memudahkan akses ke menara itu. Itu, dia punya hal, bertudung untuk mengaburi mata orang, menutup perencanaannya atau orang kata, untuk mengelak dikesan.

Biasa bagi orang bukan Islam yang bertudung sekali-sekala. Tu, di masjid-masjid utama, tetamu daripada pelancong asing bertudung juga, sebab hendak masuk masjid – Masjid Negara sebagai contoh, pelancong asing bertudung. Tapi tak masuk liputan media, sebab dah biasa. Yang panjat bangunan tinggi ni “rare” (janggal) atau “unik” – sebab orang lain tak buat. Soal dakwaan ceroboh atau bagaimana ceritanya, itu soal lain. Sebagaimana disebut tadi, di mana ada kemahuan, di situ ada…ada kejayaan.

Ini jika diletakkan pada perkara baik, maksudnya menggunakan kemahuan kita kepada perkara yang baik, sungguh cantik. Tapi perkara baik, buat dengan cara baik, masyarakat tak pandang pula. Contoh, kita cakap benar, kita cakap soal ketuhanan yang satu, tak ada orang minat. Kuliah agama di masjid, tu cerita kebenaran, disampaikan dengan cara yang baik, tak ramai pun datang. Di depan sedikit, satu dua orang bersandar di dinding sana, di tiang sana. Itulah kita, yang baik, cara baik, tak nak, tak minat, tak layan. Kemudian, orang buat yang tak baik, cepat saja mengata. Ni tak tuju kepada mana-mana orang. Ini adalah kenyataan umum, terhadap sikap masyarakat.

Toyyib (istilah Arab yang selalu digunakan guru bermaksud baik)! Bagi orang Islam bertudung atau disebut juga berhijab bagi menutup aurat itu adalah satu kemestian. Bertudung, kalau masih menampakkan aurat tak sampailah kehendaknya. Cantik macam mana sekalipun tudung dipakai, mahal macam mana pun misalnya berharga berpuluh-puluh ribu ringgit, jenama tersohor pun, jika menampakkan aurat, tak sempurna juga. Betulkan!

Bertudung ni untuk orang perempuan. Lelaki buat apa nak bertudung pula. Jangan lepas ni, ada pula kes lelaki menyamar perempuan, dengan lagak bertudung. Haru jadinya. Hmmm…kita kalau nak tenteram, ikutlah norma masyarakat, yang betul. Yang buruk dibuang ke tepi.

Nak sentuh juga, tudung ni bukan sekadar dipakai. Amalkan juga nilai-nilai terpuji seperti ikhlas, tidak khianat, tak mendengki. Ini tidak, bertudung selalu, tapi buat kerja tak ikhlas, mencuri, mendengki orang itu, orang ini, buat cerita yang tak betul, supaya orang didengkinya itu jatuh. Selagi tak jatuh, selagi itulah didengkinya, dibuat-buat cerita tak betul. Nak supaya orang itu jatuh tersungkur. Contoh, nak rakan sepejabatnya dilucutkan jawatan, sebab dia nak jawatan tu. Ini contoh, tak kata pada individu tertentu.

Sebab apa dengki?

Ada tujuh sebab:

1. Perseteruan (permusuhan) dan kebencian.

2. Bangga dengan kedudukan dan kemuliaan.

3. Angkuh

4. Rasa takjub atau hairan bercampur sinis.

5. Takut hilang cita-citanya.

6. Gila nama dan kemasyhuran

7. Busuk hati

Kata Wahab bin Munabbih, hasad dengki ada tiga ciri:

1. Jika berhadapan, menjilat.

2. Jika di belakang, mengumpat.

3. Senang (senang hati) jika orang lain mendapat celaka.(Lihat buku saku Kunci Bahagia: 365 Mutiara Kata, Nasihat & Peringatan)

Seorang ahli ilmu ditanya, apakah sebaik-baik usaha?

Jawabnya, sebaik-baik usaha keuntungan dunia, maka usaha halal yang menutupi keperluan dan untuk persiapan beribadat serta menabung yang lebih untuk hari kiamat. Adapun keuntungan akhirat iaitu ilmu yang diamalkan, disebarkan dan amalan soleh yang telah kamu lakukan dan sunah rasul yang kamu hidupkan.

Ditanya, apakah sejahat-jahat usaha pendapatan?

Jawabnya, adapun di dunia, maka pendapatan yang haram, dibelanjakan untuk maksiat dan untuk orang tidak taat kepada Tuhan, kamu tinggalkan. Hasil akhirat yang buruk iaitu hak yang kamu ingkari kerana hasad dengki, maksiat (perkara dosa) yang kamu lakukan secara berterusan dan bidaah buruk yang kamu hidupkan (mengada-adakan dalam perkara agama), berbuat zalim melanggar perintah Allah. (Kunci Bahagia: 365 Mutiara Kata, Nasihat & Peringatan)

Bertudung, berhijab haruslah ikhlas. Sematkan pada diri, dari usia remaja atau kanak-kanak dengan akhlak ini. Bukan kerana tujuan lain, seperti sebab ibu bapa suruh, sebab nak mengaji, nak masuk masjid atau nak naik menara – sebab kalau tak ikhlas, susah nak kejap (teguh, tak mudah tercabut). Ini waktu kanak-kanak, remaja, bukan main bertudung litup tapi apabila dah besar, dewasa, bekerjaya, berjawatan besar, jadi ‘boss’ – tudung entah ke mana. Patutnya, makin meningkat usia, makin sempurna, makin patuh, taat kepada-Nya.

You cannot copy content of this page