Bolehkah berdua-duaan dengan tunang?

(Soalan berkaitan) — Saya mengajukan lamaran (khitbah) terhadap seorang gadis melalui keluarganya, lalu mereka menerima dan bersetuju lamaran saya. Justeru, saya mengadakan kenduri dengan mengundang kerabat dan rakan-rakan. Kami umumkan lamaran itu, kami bacakan al-Fatihah dan kami mainkan muzik. Soalan saya, apakah persetujuan dan pengumuman ini dapat dipandang sebagai perkahwinan menurut syariat, yang bererti membolehkan saya berdua-duaan dengan wanita tunangan saya itu? Dalam keadaan sekarang, saya belum memungkinkan untuk melakukan akad nikah secara rasmi dan berdaftar pada pejabat urusan nikah.

Khitbah (meminang, melamar, bertunang) menurut bahasa, adat dan syarak, bukanlah perkahwinan. Ia hanya mukadimah (pendahuluan) bagi perkahwinan dan pengantar ke sana.

Seluruh kitab kamus membezakan antara khitbah (melamar) dan zawaj (kahwin), adat kebiasaan juga membezakan antara lelaki yang sudah meminang (bertunang) dan yang sudah kahwin dan syariat membezakan secara jelas antara kedua-dua istilah tersebut.

Justeru, khitbah tidak lebih daripada sekadar mengumumkan keinginan untuk kahwin dengan wanita tertentu, sedangkan zawaj (perkahwinan) merupakan akad yang mengikat dan perjanjian yang kuat yang mempunyai batas-batas, syarat-syarat, hak-hak dan akibat-akibat tertentu.

Al-Quran telah mengungkapkan dua perkara tersebut iaitu ketika membahaskan waita yang kematian suami.

“Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita (yang suaminya telah meninggal dan masih dalam idah) itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan berkahwin dengan mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang makruf (sindiran yang baik). Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk berakad nikah sebelum habis idahnya.” (Maksud ayat 235, surah al-Baqarah)

Khitbah, meski bagaimanapun dilakukan pelbagai upacara, hal itu tidak lebih hanya untuk menguatkan dan memantapkannya saja. Dan khitbah, bagaimanapun keadaannya tidak akan dapat memberikan apa-apa kepada peminang melainkan hanya dapat menghalangi lelaki lain untuk meminangnya, seperti disebutkan dalam hadis:

“Tidak boleh salah seorang antara kamu meminang pinangan saudaranya.” (Muttafaq alaih)

Justeru, yang penting dan harus diperhatikan di sini bahawa wanita yang telah dipinang atau dilamar, tetap merupakan orang asing (bukan mahram) bagi pelamar, sehingga disempurnakan perkahwinan (akad nikah) dengannya.

Tidak boleh wanita (tunang itu) diajak duduk serumah (rumah tangga), melainkan setelah dilakukan akad nikah yang benar menurut syarak, dan rukun asasi dalam akad ini ialah ijab dan kabul.

Ijab dan kabul adalah lafaz (ucapan) tertentu yang sudah dikenal dalam adat dan syarak.

Semasa akad nikah – dengan ijab dan kabul – ini belum terlaksana, maka perkahwinan itu belum wujud dan belum berlaku, sama ada menurut adat, syarak mahupun undang-undang. Wanita tunangannya tetap sebagai orang asing bagi peminang (pelamar) yang tidak halal bagi mereka untuk berdua-duaan dan berpergian (ke sana ke sini) berdua-duaan tanpa disertai oleh seorang muhramnya seperti ayahnya atau saudara lelakinya.

Menurut ketetapan syarak, yang sudah dikenal, bahawa lelaki yang telah berkahwin dengan seorang wanita lantas meninggalkan (menceraikan) isterinya sebelum dia mencampurinya, maka dia berkewajipan memberi mahar kepada isterinya separuh harga.

Allah berfirman (maksudnya): “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu mencampuri mereka, padahal sesungguhnya kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah satu perdua daripada mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah…” (al-Baqarah, 237)

Adapun jika peminang meninggalkan wanita pinangannya setelah dipinangnya, sama ada selang masanya itu panjang mahupun pendek, maka dia tidak ada kewajipan apa-apa kecuali hukuman moral dan adat yang berupa celaan dan cercaan. Kalau demikian keadaannya, mana mungkin peminang akan diperbolehkan berbuat terhadap wanita pinangannya seperti yang diperbolehkan bagi orang yang telah melakukan akad nikah.

Justeru nasihat saya, hendaklah segera melaksanakan akad nikah dengan wanita tunangannya. Jika itu sudah dilakukan, maka semua yang ditanyakan tadi diperbolehkan. Dan jika keadaan belum memungkinkan, maka sudah selayaknya dia menjaga hatinya dengan berpegang teguh pada agama dan ketegarannya sebagai lelaki mengekang nafsunya dan mengendalikannya dengan takwa. Sungguh tidak baik memulai sesuatu dengan melampaui batas yang halal dan melakukan yang haram.

Saya nasihatkan pula kepada para bapa dan wali (penjaga) agar waspada anak-anak perempuan, jangan terburu-buru membiarkan mereka yang sudah bertunang. Sebab zaman itu selalu berubah dan begitu juga hati manusia. Sikap terburu-buru pada awal suatu perkara dapat menimbulkan akibat yang pahit dan getir. Sebab itu, berhenti pada batas-batas Allah merupakan tindakan lebih tepat dan lebih utama.

“Sesiapa melanggar hukum-hukum Allah, mereka itu orang-orang zalim.” (Maksud daripada ayat 229, surah al-Baqarah)

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (Maksud daripada ayat 52, surah an-Nur)

Kumpulan Fatwa, Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page