Haiwan disembelih bukan kerana Allah

Benda keempat daripada yang diharamkan (daripada memakannya), iaitu apa yang disembelih bukan kerana Allah.

Yakni yang disembelih dan yang ditujukan bukan atas nama Allah, seperti yang dimaksudkan untuk patung-patung berhala.

Sebab selalunya para penyembah berhala, apabila mereka mahu menyembelih, mereka sering menyebut nama-nama berhala itu atas penyembelihan mereka, seperti nama Lata dan Uzza. Semua ini adalah pendekatan diri kepada selain Allah dan membuat peribadatan dengan menyebut selain nama Allah Yang Maha Besar.

Jadi, illah (sebab) pengharaman di sini ialah illah agama semata-mata, dengan tujuan memelihara tauhid (pengesaan Allah), membersihkan kepercayaan (akidah) dan memerangi syirik dan upacara keberhalaan pada semua upacara daripada upacara-upacaranya.

Sesungguhnya Allah sajalah yang mencipta manusia dan ditundukkan segala yang ada di muka bumi ini kepada manusia serta dijinakkan sesetengah binatang untuk kepentingannya dengan membolehkan mencabut nyawanya untuk maslahat dirinya dengan syarat disebutkan nama Allah ketika penyembelihannya.

Menyebut nama Allah ketika penyembelihan itu bererti bahawa dia melakukan seperti itu terhadap binatang yang hidup ialah dengan keizinan daripada Allah dan kerelaan-Nya.

Tetapi jika dia menyebut selain nama Allah ketika menyembelih binatang itu, maka samalah seperti dia membatalkan keizinan itu, dan wajarlah kalau begitu untuk diharamkan memakan binatang yang disembelihnya secara yang demikian itu.

Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page