Wanita, sering menjadi topik dalam perbahasan dan menjadi isu tidak berkesudahan. Kadangkala ianya kedengaran dan hebat diperbincangkan, kemudian tenggelam. Lama kemudian muncul kembali. Biasanya berkenaan hak dan kebebasan mereka, terutama hak untuk belajar dan bekerja, seperti dipaparkan media berkaitan isu di Afghanistan.
Dalam Islam, sepatutnya isu sebegitu tidak timbul, kerana Islam sudah menjamin hak sama ada lelaki mahupun wanita. Masing-masing ada hak dan batas tertentu.
Justeru, sangat mendukacitakan jika isu sebegitu berlaku dalam masyarakat Islam ataupun sebuah negara yang diperintah oleh orang Islam — menunjukkan masih ada orang-orang tidak faham ajaran agama, walaupun berpenampilan ataupun secara luaran seperti orang alim (orang berilmu agama).
Apa-apa pun, wanita khususnya wanita Islam atau disebut juga muslimah (istilah Arab umumnya merujuk kepada wanita Islam) mesti mempunyai tingkah laku berbeza daripada wanita bukan Islam atau wanita jahil.
Tingkah laku Muslimah atau wanita Islam ialah pandai menjaga diri, mempunyai harga diri, bersopan santun dan malu.
Adapun wanita jahil, tingkah laku mereka ialah suka mendedahkan diri dan memancing lelaki.
Wanita Islam, sebagaimana dijelaskan dalam Halal dan Haram dalam Islam oleh Yusuf al-Qardhawi, hendaklah memelihara tertib berikut:
1. Menahan pandangan, kerana semahal-mahal perhiasan bagi wanita ialah adanya perasaan malu, sedang tanda adanya sifat malu pada diri ialah dengan menahan pandangan.
Allah Taala berfirman, maksudnya:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)
Surah an-Nur, ayat 31
2. Tidak bercampur gaul dengan lelaki asing sampai bersentuh-sentuhan dan berhimpit-himpit, seperti yang biasa berlaku di panggung wayang, di ruang universiti, di tempat perjumpaan umum, kenderaan awam dan sebagainya.
Ma’qil bin Yasar pernah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW:
Kalau sampai ditusuk pada kepala seseorang kamu dengan jarum besi, itu adalah lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.
Diriwayatkan oleh Tabarani dan Baihaqi
3. Hendaklah pakaian wanita itu sesuai dengan kesopanan yang diajarkan Islam. Pakaian gaya Islam ialah semua pakaian yang terkumpul padanya sifat ini:
- Pakaian menutup semua badan wanita itu, kecuali apa yang dibolehkan oleh al-Quran dan anggotanya yang ternampak, biasanya menurut qaul (pandangan) yang diberatkan iaitu wajah dan kedua-dua telapak tangan saja.
- Pakaian itu tidak dari jenis yang jarang, sehingga menampakkan apa yang di sebaliknya, kerana Nabi SAW pernah mengatakan: “Sesungguhnya termasuk ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian setengah bogel (kerana memakai pakaian yang nipis atau menampakkan sosok badan), yang berjalan dengan berlenggang-lenggok, yang kepalanya terhunggak-hunggik laksana kelasa (bonggol) unta yang bergoyang-goyang, wanita-wanita itu tidak akan memasuki syurga, sedangkan bau syurga itu akan tercium dalam jarak sekian dan sekian.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Semua itu kerana pakaiannya tidak berfungsi menutup tubuh kerana terlalu nipis, sehingga nampak badannya, yang berkeadaan seperti dia tidak berpakaian sama sekali.
Satu peristiwa datang serombongan wanita dari suku Bani Tamim untuk menziarahi Aisyah RA dengan berpakaian nipis. Maka, Aisyah secara terang-terangan berkata kepada mereka: Jika kamu memang daripada wanita Mukminah yakni beriman dengan sebenar-benar iman, maka pakaian yang kamu pakai ini bukanlah daripada pakaian orang yang beriman.
Dalam peristiwa lain, datang beberapa orang wanita membawa seorang pengantin perempuan yang memakai tudung nipis, sehingga kelihatan perhiasan kepalanya, maka berkata Aisyah RA: Wanita yang memakai seperti ini ialah wanita yang tidak beriman.
- Pakaian tidak terlalu sempit sehingga melekap pada semua anggota badan dan ternampaklah sosok badan, meskipun pakaian itu tidak nipis, seperti pakaian moden zaman sekarang yang direka untuk menampakkan tubuh badan dan keinginan nafsu syahwat yang dipelopori kebudayaan Barat, berlumba-lumba dalam mencipta fesyen pakaian yang mendedahkan dada, menampakkan paha, menceritakan pinggang dan sebagainya dalam gambaran sungguh menarik perhatian dan membangkitkan nafsu syahwat.
Maka, memakai pakaian yang serupa ini tidak terlepas daripada maksud hadis berkenaan, sebagai wanita semi bogel, bahkan pakaian yang semacam ini justeru lebih menarik perhatian dan menimbulkan fitnah daripada pakaian nipis dan jarang itu.
- Pakaian itu bukan daripada yang dibuat khusus untuk lelaki. Ini kerana Rasulullah SAW melaknat wanita yang menyerupai lelaki, sebagaimana Baginda juga melaknat lelaki menyerupai wanita. Demikian pula Baginda melarang wanita memakai pakaian lelaki dan lelaki memakai pakaian wanita.
- Jangan sampai pakaian itu sudah terkenal sebagai pakaian orang kafir daripada kaum Yahudi, Nasrani dan Wasani penyembah api dan berhala, kerana keinginan hendak meniru atau menyerupai orang-orang ini adalah sangat dilarang oleh Islam, yang mahukan lelakinya dan wanitanya berlainan dari mereka dan bebas dalam bentuk dan rupa. Sebab itulah Islam memerintahkan kita supaya bersikap beza daripada orang kafir dalam banyak hal, yang mana disimpulkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka samalah dia seperti mereka.” (Riwayat Tabrani)
4. Hendaklah wanita Muslimah bersopan santun dalam berjalan dan bicaranya, menjauhi minat orang dalam gerak badannya dan penonjolan wajahnya, kerana sikap bergaya dan geletis itu adalah tabiat perempuan lacur dan bukan tingkah laku wanita Muslimah.
“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”
(Maksud firman Allah, daripada surah al-Ahzab, ayat 32)
5. Jangan sekali-kali wanita Muslimah itu sengaja menarik perhatian lelaki kepada apa yang disembunyikan daripada perhiasan dirinya, dengan memakai wangian yang macam mana sekalipun atau memakai benda yang berbunyi dalam rentak langkah kakinya atau seumpamanya.
Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.
(Maksud firman Allah, daripada surah an-Nur, ayat 31)
Memang dahulu di zaman Jahiliah apabila seseorang wanita berjalan suka menghentak-hentakkan kakinya supaya menarik perhatian orang dan agar mereka mendengar gelang kakinya, maka perbuatan seperti itu dicegah oleh al-Quran.
Sebab perbuatan seperti itu boleh menghidupkan khayalan lelaki yang menyimpan gelora nafsu syahwat jahat terhadap mereka.
Sama juga perbuatan seperti itu menunjukkan bahawa wanita terbabit menyimpan niat buruk untuk memancing perhatian dan minat lelaki kepadanya dan kepada kecantikan dirinya.
Dalam maksud ini juga, dari segi hukumnya, apabila seorang wanita memakai bermacam-macam wangian dan bauan yang sungguh mengharu sesiapa saja yang terhidunya untuk membangkitkan naluri diri dan menarik perhatian lelaki kepadanya.
Menurut karya itu, Islam tidak memaksa wanita bertapa di dalam rumah sahaja, tidak keluar dari rumah melainkan ke dalam kubur, sebagaimana didakwa oleh sesetengah orang bodoh. Bukanlah begitu.
“Bahkan Islam membenarkan wanita keluar untuk menunaikan solat, mencari ilmu serta memenuhi keperluan dirinya. Tegasnya semua kepentingan agamanya dan dunianya dibolehkan.
“Sebagaimana contohnya yang dilakukan isteri sahabat dan orang yang datang selepas mereka yang dikira daripada sebaik-baik zaman. Antara mereka ada yang keluar untuk menyertai lelaki dalam peperangan, dalam penaklukan dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri, kemudian begitu juga pada zaman khalifah yang empat dan pemimpin Islam yang lain.”
Disebutkan dalam tulisan itu hadis yang mafhumnya (difahami): Pernah Rasulullah SAW berkata kepada isterinya Saudah RA:
Sebenarnya Allah telah membenarkan kamu (wanita) keluar untuk memenuhi urusan-urusan kamu.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari
Penjelasan itu disokong lagi dengan sabdanya yang lain:
Apabila isteri kamu meminta izin untuk ke masjid, maka janganlah dilarangnya.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari