Islam tidak pernah rampas kehidupan wanita, tidak digambarkan sebagai beku dan lumpuh

Foto hiasan – pemandangan di sebuah pasar di Afghanistan. Foto Pajhwok

Soalan berkaitan — Bagaimana hukum wanita bekerja menurut syarak? Apakah dia boleh bekerja dan turut serta dalam perusahaan, pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan atau dia harus terus-menerus menjadi tawanan di dalam rumah, tidak boleh melakukan aktiviti apa pun?

Wanita adalah manusia juga seperti lelaki. Wanita merupakan bahagian daripada lelaki dan lelaki merupakan bahagian daripada wanita, seperti dikatakan al-Quran (maksudnya): “…sebahagian kamu adalah turunan daripada sebahagian yang lain…” (Ali-Imran, 195)

Manusia merupakan makhluk hidup yang antara tabiatnya ialah berfikir dan bekerja (melakukan aktiviti). Jika tidak demikian, maka dia bukanlah manusia.

Sesungguhnya Allah menjadikan manusia agar mereka beramal (ibadat), bahkan Dia tidak menciptakan mereka melainkan untuk menguji siapa antara mereka yang paling baik amalannya.

Oleh itu wanita diberi tugas untuk beramal seperti lelaki – dan dengan amalan yang lebih baik secara khusus – untuk memperoleh pahala daripada Allah seperti lelaki.

Allah berfirman (maksudnya): Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal antara kamu, baik lelaki mahupun perempuan…” (Ali-Imran, 195)

Siapa pun yang beramal baik, mereka akan mendapatkan pahala di akhirat dan balasan yang baik di dunia.

“Sesiapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Maksud ayat 97, surah an-Nahl)

Selain itu, wanita – seperti biasa dikatakan – juga merupakan separuh daripada masyarakat manusia dan Islam tidak pernah menggambarkan akan mengabaikan separuh anggota masyarakatnya serta menetapkannya beku dan lumpuh, lantas dirampas kehidupannya, dirosak kebaikannya dan tidak diberi sesuatu pun.

Hanya saja tugas wanita yang pertama dan utama yang tidak diperselisihkan ialah mendidik generasi baru.

Mereka memang disiapkan oleh Allah untuk tugas itu, baik secara fizikal mahupun mental, dan tugas yang agung ini tidak boleh dilupakan atau diabaikan oleh faktor material atau kultural apa pun.

Sebab tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan peranan wanita dalam tugas besarnya ini, yang padanyalah bergantung masa depan umat dan dengannya pula wujud kekayaan paling besar iaitu kekayaan yang berupa manusia (sumber daya manusia).

Semoga Allah memberi rahmat kepada penyair Sungai Nil iaitu Hafiz Ibrahim, ketika dia berkata:

Ibu adalah madrasah, lembaga pendidikan. Jika anda mempersiapkannya dengan baik, maka anda telah mempersiapkan bangsa yang baik pokok pangkalnya.

Antara aktiviti wanita ialah memelihara rumah tangganya, membahagiakan suaminya, dan membentuk keluarga bahagia yang tenteram, penuh cinta dan kasih sayang.

Hingga terkenal dalam peribahasa “bagusnya pelayanan seorang wanita terhadap suaminya dinilai sebagai jihad pada jalan Allah (fisabilillah).”

Namun demikian, tidak bererti bahawa wanita bekerja di luar rumah itu diharamkan syarak. Kerana tidak ada seorang pun yang dapat mengharamkan sesuatu tanpa adanya nas (dalil) syarak yang sahih periwayatannya dan sarih (jelas) petunjuknya.

Selain itu, pada dasarnya segala sesuatu dan semua tindakan itu boleh seperti yang sudah dimaklumi.

Berasaskan prinsip ini, maka saya katakan bahawa wanita bekerja atau melakukan aktiviti dibolehkan. Bahkan kadang-kadang dia dituntut dengan tuntutan sunah atau wajib apabila dia memerlukannya.

Misalnya, kerana dia seorang janda atau diceraikan suaminya, sedangkan tidak ada orang atau keluarga yang menanggung keperluan ekonominya, dan dia sendiri dapat melakukan suatu usaha untuk mencukupi dirinya daripada meminta-minta atau menunggu huluran tangan orang lain.

Selain itu, kadang-kadang pihak keluarga memerlukan wanita untuk bekerja, seperti membantu suaminya, mengasuh anak-anaknya, atau saudara-saudaranya yang masih kecil atau membantu ayahnya yang sudah tua – seperti kisah dua orang puteri seorang syeikh yang sudah lanjut usia yang mengembalakan kambing ayahnya, seperti (dinyatakan) dalam al-Quran, surah al-Qasas (maksudnya):

“Kedua-dua wanita itu menjawab: Kami tidak dapat meminumkan (ternakan kami) sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedangkan bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya.” (Al-Qasas, 23)

Diriwayatkan pula bahawa Asma binti Abu Bakar – yang mempunyai dua ikat pinggang – biasa membantu suaminya Zubair bin Awwam dalam mengurus kudanya, menumbuk bijian untuk dimasak, sehingga dia juga sering membawanya di atas kepalanya dari kebun yang jauh dari Madinah.

Masyarakat sendiri kadang-kadang memerlukan pekerjaan wanita, seperti dalam mengubati dan merawat wanita, mengajar anak-anak perempuan, dan kegiatan lain yang memerlukan tenaga khusus wanita. Maka, yang utama adalah wanita bermuamalah (berurusan) dengan sesama wanita, bukan dengan lelaki.

Sedangkan diterimanya, lelaki bekerja pada sektor wanita dalam beberapa hal adalah kerana dalam keadaan darurat yang sepatutnya dibatasi, sesuai dengan keperluan, jangan dijadikan kaedah umum.

Apabila kita memperbolehkan wanita bekerja, maka wajib diikat dengan beberapa syarat, iaitu:

1. Hendaklah pekerjaannya itu sendiri disyariatkan. Ertinya pekerjaan itu tidak haram atau boleh mendatangkan sesuatu yang haram, seperti wanita yang bekerja untuk melayan lelaki bujang, atau wanita menjadi jurutulis khusus bagi seorang pengerusi yang kerana alasan kegiatan mereka sering berkhalwat (berdua-duaan) atau menjadi penari yang merangsang nafsu hanya demi mengeruk keuntungan duniawi atau bekerja di bar untuk menghidangkan minuman keras – padahal Rasulullah SAW telah melaknat orang yang menuangkannya, membawanya dan menjualnya. Atau menjadi pramugari di kapal terbang dengan menghidangkan minuman yang memabukkan, berpergian jauh tanpa disertai mahram, bermalam di negeri asing sendirian, atau melakukan aktiviti lain yang diharamkan oleh Islam, baik yang khusus untuk wanita mahupun khusus untuk lelaki, ataupun untuk kedua-duanya.

2. Memenuhi adab wanita Muslimah ketika keluar rumah, dalam berpakaian, berjalan, berbicara dan gerak-geri.

“Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) tampak daripadanya.” (Maksud daripada ayat 31, surah an-Nur)

“Dan janganlah mereka menghentak kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Surah an-Nur, 31)

“Maka, janganlah kamu tunduk dalam berbicara, sehingga berkeinginanlah orang yang berpenyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (Al-Ahzab, 32)

3. Janganlah pekerjaan atau tugasnya itu mengabaikan kewajipan lain yang tidak boleh diabaikan seperti kewajipan terhadap suaminya atau anak-anaknya yang merupakan kewajipan pertama dan tugas utamanya.

Kumpulan Fatwa Prof Dr Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page