Nasib orang selalu bermaksiat tetapi akhir hayat mengucapkan kalimat syahadah

Sesiapa meninggal dunia dalam keadaan bertauhid (mengesakan Allah), iaitu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dia berikrar dan mengucapkan dua kalimat syahadah, maka dia berhak berada di sisi Allah dan masuk syurga-Nya.

Orang terbabit sudah dapat dipastikan oleh Allah akan masuk syurga, walaupun masuknya terakhir (tidak bersama orang yang masuk pertama), kerana dia diazab terlebih dulu di neraka disebabkan maksiat yang dilakukan, yang belum bertaubat dan tidak diampuni. Tetapi dia juga tidak kekal di neraka, kerana di dalam hatinya masih ada sebutir iman. Adapun dalil-dalilnya seperti mana diterangkan dalam hadis Sahih Bukhari dan Muslim:

Daripada Abu Dzar RA, yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mengucapkan “La ilaaha illallaah”, kemudian meninggal dunia, maka pasti masuk syurga.

Daripada Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda: Akan keluar dari neraka bagi orang yang mengucapkan “La ilaaha illallaah” walaupun hanya sebesar satu butir iman di hatinya.

Daripada Abu Dzar juga, dia telah berkata bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Telah datang kepadaku malaikat Jibril dan memberi khabar gembira kepadaku, bahawa sesiapa yang meninggal di antara umatmudalam keadaan tanpa mempersekutukan Allah, maka pasti akan masuk syurga, walaupun dia berbuat zina dan mencuri. Nabi mengulangi sampai dua kali.

Banyak hadis yang menunjukkan bahawa kalimat syahadah memberi hak untuk masuk syurga dan terlindung dari neraka bagi yang mengucapkannya. Maksudnya ialah, meskipun dia banyak berbuat dosa, dia tetap masuk syurga walaupun terakhir.

Sedangkan yang dimaksudkan terlindung dari neraka ialah tidak selama-lamanya di dalam neraka, tetapi diazab terlebih dulu kerana perbuatan maksiatnya.

Kumpulan Fatwa Prof Dr Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page