(Soalan berkaitan) — Ada sesetengah orang mengatakan rambut wanita tidak termasuk aurat dan boleh dibuka. Apakah hal ini benar dan bagaimana dalilnya?
Telah menjadi suatu ijmak bagi Muslimin di semua negara dan setiap masa pada semua golongan fuqaha, ulama, ahli hadis, dan ahli tasawuf, bahawa rambut wanita termasuk perhiasan yang wajib ditutup, tidak boleh dibuka di hadapan orang yang bukan muhrimnya.
Adapun sanad dan dalil daripada ijmak itu ialah ayat al-Quran:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) tampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Maksud ayat 31, surah an-Nur)
Maka, berasaskan ayat di atas, Allah telah melarang bagi wanita Mukminat untuk memperlihatkan perhiasannya, kecuali yang lahir (biasa tampak). Antara para ulama, baik dahulu mahupun sekarang, tidak ada yang mengatakan bahawa rambut wanita termasuk perkara-perkara yang lahir, bahkan ulama yang berpandangan luas, hal itu digolongkan perhiasan yang tidak tampak.
Dalam tafsirnya, Al-Qurtubi mengatakan: “Allah SWT telah melarang kepada wanita, agar dia tidak menampakkan perhiasannya (keindahannya) kecuali kepada orang-orang tertentu atau perhiasan yang biasa tampak.”
Ibnu Mas’ud berkata: “Perhiasan yang lahir (biasa tampak) ialah pakaian.” Ditambahkan oleh Ibnu Jubair: “Wajah”. Ditambah pula oleh Said ibnu Jubair dan Al-Auzai: “Wajah, kedua-dua tangan dan pakaian.”
Ibnu Abbas, Qatadah dan Al-Masuri ibnu Makhramah berkata: Perhiasan (keindahan) yang lahir itu ialah celak, perhiasan dan cincin termasuk dibolehkan (mubah).
Ibnu Atiyah berkata: Yang jelas bagi saya ialah yang sesuai dengan erti ayat tersebut, bahawa wanita diperintahkan untuk tidak menampakkan dirinya dalam keadaan berhias yang indah dan supaya menutupi hal itu. Pengecualian pada bahagian yang kiranya berat untuk menutupinya, kerana darurat dan sukar, misalnya wajah dan tangan.
Berkata al-Qurtubi: Pandangan Ibnu Atiyah itu baik sekali, kerana biasanya wajah dan kedua-dua tangan itu tampak di waktu biasa dan ketika melakukan amalan ibadat, misalnya solat, ibadat haji dan sebagainya.
Halyang demikian ini sesuai dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud: Daripada Aisyah RA bahawa ketika Asma binti Abu Bakar RA bertemu dengan Rasulullah, ketika itu Asma sedang mengenakan pakaian nipis, lalu Rasulullah memalingkan muka, lalu bersabda: Wahai Asma, sesungguhnya jika seorang wanita sudah sampai masa haid, maka tidak layak lagi bagi dirinya menampakkannya, kecuali ini…” (beliau mengisyaratkan pada muka dan tangannya).
Dengan demikian, sabda Rasulullah itu menunjukkan rambut wanita tidak termasuk perhiasan yang boleh ditampakkan, kecuali wajah dan tangan.
Allah memerintahkan wanita Mukminah dalam ayat di atas untuk menutup tempat-tempat yang biasanya terbuka di bahagian dada. Erti al-khimar itu ialah kain untuk menutup kepala, sepertimana serban bagi lelaki, seperti keterangan ulama dan ahli tafsir. Hal yang demikian ini (hadis yang menggalakkan menutup kepala) tidak terdapat pada hadis mana pun.
Al-Qurtubi berkata: Sebab turunnya ayat tersebut ialah bahawa pada masa itu wanita jika menutup kepala dengan akhmirah (kerudung), maka kerudung itu ditarik ke belakang, sehingga dada, leher dan telinganya tidak tertutup. Maka, Allah memerintahkan untuk menutup bahagian mukanya, iaitu dada dan lainnya.
Dalam riwayat al-Bukhari, Aisyah berkata: Mudah-mudahan wanita yang berhijrah itu dirahmati Allah.
Ketika turun ayat tersebut, mereka segera merobek pakaiannya untuk menutupi apa yang terbuka.
Ketika Aisyah didatangi oleh Hafsah, kemenakannya, anak daripada saudaranya yang bernama Abdurrahman dengan memakai kerudung (khamirah) yang nipis di bahagian lehernya, Aisyah lalu berkata: Ini amat nipis, tidak dapat menutupinya.
Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi