Pakaian memancing puji, sombong

Batas penetapan umum bagi konsep bersenang-senang dengan segala yang baik seluruhnya yang berupa makan minum dan pakaian ialah: Hendaklah tidak mengambilnya dengan berlebih-lebihan dan mengangkat diri.

Pembatas berlebih-lebihan atau boros ialah melewati batas dalam bersenang-senang dengan yang halal.

Manakala mengangkat diri adalah suatu perkara yang berhubung rapat dengan niat di hati, lebih daripada hubungannya dengan perlakuan lahir (zahir) yang dapat dilihat. Ia bermaksud untuk menunjuk-nunjukkan diri, mengangkat diri serta bermegah-megah ke atas manusia.

“Allah tidak suka kepada setiap orang yang angkuh dan sombong.” (Maksud ayat 23, surah al-Hadid)

Sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Sesiapa yang menyeretkan kainnya kerana sombong, maka Allah tidak akan memberikan pandangan kepadanya di hari kiamat. (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

Agar setiap Muslim menjauhkan diri daripada tuduhan menyombong diri, maka Nabi SAW melarang memakai pakaian yang menagih kemasyhuran, yang memang kerana memakainya manusia akan berasa bangga diri, berlagak angkuh dan berfoya-foya dengan pandangan lahir yang kosong.

Tersebut dalam hadis: Sesiapa memakai pakaian menagih kemasyhuran, nescaya Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan di hari kiamat. (Diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah)

Sekali peristiwa, ada seorang lelaki bertanya kepada Ibnu Umar RA, katanya: Pakaian macam mana yang boleh aku memakainya?

Jawabnya: Pakaian yang tidak sampai dibangga-banggakan oleh orang-orang yang jahat, dan tidak dicelanya kamu oleh orang-orang ahli ilmu dan bijaksana. (Diriwayatkan ath-Thabrani)

Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi

You cannot copy content of this page