Siapa banyak cakap, banyak salah

Foto Unsplash

Penulis British, Gyles Bandreth pada 1984 dilaporkan mengemukakan anggaran, kira-kira 860 juta perkataan diucapkan seseorang sepanjang hidup.

Bagaimanapun, menurut Nick Watts dan rakannya yang menghasilkan filem dokumentari menarik The Human Footprint di UK pada 2007, orang biasa akan bercakap kira-kira 123 juta perkataan dalam masa hidup.

Menurut pasukan penyelidikan itu juga rata-rata manusia bercakap 4,300 perkataan setiap hari (wanita umumnya bercakap lebih banyak berbanding lelaki dalam sehari).

Ada yang mendakwa wanita bercakap kira-kira 20,000 perkataan sehari, manakala lelaki 13,000 perkataan. Ada pula mengatakan wanita bercakap kira-kira 5,000 perkataan sehari dan lelaki 2,000 perkataan. Dan ada juga mengatakan lelaki dan wanita seimbang jumlah perkataannya.

Apa pun, bercakap banyak ataupun banyak cakap, tidak kira lelaki atau wanita, boleh menyebabkan banyak silap, pembohongan, mengumpat dan mengeji. Malah dalam sesetengah keadaan boleh mengakibatkan kekasaran dan pergaduhan.

Imam Hasan al-Basri dilaporkan berkata: “Sesiapa yang banyak bercakap, banyak salahnya. Sesiapa banyak hartanya, banyak dosanya. Sesiapa jahat akhlaknya, akan menyeksa dirinya sendiri.”

Dalam kitab Tanbihul Ghafilin menjelaskan, orang Mukmin sedikit bercakap dan banyak bekerja.

Allah berfirman maksudnya: “Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).” (Surah Qaf, maksud ayat 18)

“Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah an-Nur, maksud ayat 24)

Daripada Abu Hurairah RA, dia mendengar Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Bahawa seorang hamba mengucapkan suatu kata-kata yang dia tidak jelas mengenainya, dia tergelincir ke neraka lebih jauh dari (jarak) antara timur dan barat.” (Muttafaq alaih)

You cannot copy content of this page