Wanita sebagai isteri mempunyai beberapa hak ke atas suaminya dan kerana itu seorang suami hendaklah memberikan hak berkenaan dengan melaksanakan tanggungjawab dan bersikap sewajarnya iaitu:
1. Memberi nafkah kepada isteri termasuk anak.
Firman-Nya bermaksud: “Dan kepada ibu-ibu itu wajib diberikan rezekinya (makan minumnya) dan pakaiannya secara berpatutan.” (Al-Baqarah, 233)
2. Bermesyuarat (berbincang) dengan isteri dalam urusan rumah tangga.
Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW sebagaimana dapat difahami: “Berundinglah dengan isteri kamu dalam perkara anak perempuannya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
3. Menutup mata terhadap sesetengah keburukan dan kekurangan isteri, terutama apabila kebaikan dan kelebihannya masih banyak yang dapat menutup keburukan itu.
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAw bersabda (mafhumnya): “Janganlah seorang Mukmin (lelaki beriman) membenci seorang Mukminah (wanita beriman) kerana apabila ada suatu budi pekerti perempuan itu yang dia tidak sukai, tentu ada budi pekertinya yang lain yang dia sukai atau daripada budi pekerti selain dibencinya itu.” (Riwayat Muslim)
4. Bergaul dengan isterinya secara baik, selalu lemah-lembut dan bergurau dengannya.
Firman-Nya bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) itu dengan baik dan jika kamu benci mereka, mungkin apa yang kamu benci itu nanti Allah akan menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (An-Nisa, 19)
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, bahawa Nabi SAW pernah menurutkan Aisyah RA bermain-main di halaman masjid. Baginda meletakkan tapak tangannya di pintu, lalu membukakan sebelah tangannya, maka Aisyah segera meletakkan wajahnya di bahu baginda. Maka di sinilah bersabda Nabi seperti diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim: “Mukminin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik kelakuannya dan paling lembut terhadap isterinya.”
Antara yang diucapkan oleh Sayidina Umar RA, sedang beliau adalah bersikap teguh, keras dan tidak berganjak daripada hukumnya dan keadilannya: Hendaklah seorang lelaki itu di hadapan isterinya jadi seperti anak-anak, iaitu bersifat jinak dan serba mudah. Tetapi apabila berhadapan dengan kaumnya, hendaklah bersikap seperti lelaki.
5. Membantu isteri dalam kerja rumah tangga.
Dalam Ensiklopedia Sirah menyebut: “Aisyah mengatakan bahawa baginda adalah orang yang paling senang melakukan kerja rumah seperti orang biasa. Baginda menjahit pakaian baginda, menampal kasut dan baju baginda, memerah susu kambing dan menyapu rumah.