Syarat utama menjadi Muslim

Syarat utama bagi orang yang baru masuk Islam ialah mengucapkan dua kalimat syahadah (ucapan kesaksian) iaitu “Asyhadu alla ilaaha illallaah wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah”.

Sesiapa yang mengucapkan dan mengikrarkan dengan lisannya, maka dia menjadi orang Islam. Dan berlaku baginya hukum-hukum Islam, walaupun dalam hatinya dia mengingkari. Ini kerana kita diperintahkan untuk melakukan secara lahirnya. Adapun batinnya, kita serahkan kepada Allah.

Dalil daripada hal ini adalah ketika Nabi SAW menerima orang-orang yang hendak masuk Islam, baginda hanya mewajibkan mereka mengucapkan dua kalimat syahadah. Nabi tidak menunggu hingga datangnya waktu solat atau bulan puasa.

Pada masa Usamah sahabat Rasulullah SAW, membunuh orang yang sedang mengucapkan “La ilaaha illallah” Nabi menyalahkannya dengan sabdanya: “Engkau bunuh dia, setelah dia mengucapkan La ilaaha illallaah!”

Lalu, Usamah berkata: Dia mengucapkan “La ilaaha illallah” kerana takut mati.

Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: Apakah kamu mengetahui isi hatinya?

Dalam Musnad Imam Ahmad diterangkan, ketika kaum Tsaqif masuk Islam, mereka mengemukakan satu syarat kepada Rasulullah SAW, iaitu supaya dibebaskan daripada kewajipan bersedekah dan jihad.

Lalu, Nabi SAW bersabda: Mereka akan melakukan sedekah dan jihad.

Sumber — Kumpulan Fatwa Prof Dr Yusuf Qardawi 

You cannot copy content of this page