Islam mengharamkan wanita memakai pakaian ketat yang boleh merupakan bentuk badan, atau yang nipis yang boleh menampakkan apa di sebalik pakaian itu ataupun pakaian yang menelanjangkan setengah badan khususnya tempat sulit yang boleh menimbulkan fitnah diri kepada lelaki asing, seperti tetek, peha, punggung dan seumpamanya.
Hadis sahih daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ada dua golongan daripada ahli neraka yang aku belum pernah lihat mereka, iaitu suatu kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu, mereka memukul orang dengannya (yakni penguasa yang kejam), dan wanita-wanita yang berpakaian separuh bogel, yang menarik orang melakukan maksiat, di samping dia sendiri melakukan maksiat, kepalanya meninggi lonjong seperti bonggol unta, mereka tidak dapat memasuki syurga, tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jauh perjalanan sekian dan sekian. (Diriwayatkan oleh Muslim)
Dikatakan kepadanya (wanita terbabit), berpakaian bogel kerana pakaian yang dipakainya tidak berfungsi menutup tubuhnya kerana terlalu nipis dan jarang sehingga pakaian itu menampakkan bentuk tubuh yang di sebalik pakaian, sebagaimana kebanyakan pakaian-pakaian wanita pada zaman ini.
Bonjol unta itu adalah tulang tinggi di tengkuknya, yang diserupakan kepala wanita itu dengan bonjol itu, kerana ditinggikan rambutnya ke atas kepala. Seolah-olah Nabi telah lihat di belakang ghaib apa yang akan berlaku pada zaman ini, di mana dikhususkan tempat-tempat istimewa yang dikenal dengan nama salon-salon rambut, di mana wanita datang padanya, untuk mendandan rambut dan mencantikkannya dengan bermacam-macam cara dan fesyen, yang membentukkan rambut mereka itu pula lelaki yang meminta upahnya yang mahal atas kerja dilakukannya.
Bukan itu saja, malah sesetengah wanita tidak mencukupi dengan apa yang diberikan Allah dengan rambut cantik yang tabii (semulajadi) tetapi mereka pergi membeli pula rambut-rambut sintetik yang palsu untuk disambungkan dengan rambut di kepalanya, supaya kelihatan rambut itu lembut, berkilat-kilat cantik agar dilihat orang asing menarik dan terpikat hati.
Sumber — Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi