Imaginasi mengenai Al-Khidir

(Soalan berkaitan) — Siapakah al-Khidir, adakah dia nabi atau wali, apakah dia hidup sampai kini? Mengapa dia tidak muncul dan tidak mengajarkan ilmunya kepada orang-orang, khususnya di zaman kini?

Al-Khidir adalah hamba soleh, dan disebutkan oleh Allah dalam surah al-Kahfi iaitu sebagai rakan Musa alaihissalam, di mana Nabi Musa belajar daripadanya.

Al-Khidir mensyaratkan kepadanya agar bersabar. Maka, Musa menyanggupinya.

Al-Khidir berkata: Bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?

Al-Khidir tetap menyertai Musa. Dia adalah seorang hamba yang diberikan rahmat oleh Allah dan ilmu dari sisi-Nya.

Musa terus berjalan bersamanya dan melihat al-Khidir melubangi perahu. Maka, Musa berkata: Apakah kamu melubanginya supaya penumpangnya tenggelam?

Cerita selanjutnya telah disebutkan dalam surah al-Kahfi.

Musa berasa hairan atas perbuatannya (Khidir), hingga al-Khidir menerangkan kepadanya sebab-musabab daripada perbuatan yang dilakukan itu.

Pada akhir perbiancangannya al-Khidir berkata: “Bukanlah aku melakukan itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah penjelasan daripada perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat bersabar atasnya.” Maksudnya semua perbuatan itu hanya kerana kemahuan Allah.

Sesetengah orang berkata mengenai al-Khidir:

Dia hidup selepas Musa hingga zaman Isa, kemudian zaman Nabi Muhammad SAW, dia sekarang masih hidup, dan akan hidup hingga kiamat. Ditulis orang kisah-kisah, riwayat-riwayat dan dongeng-dongeng bahawa al-Khidir menjumpai polan (seseorang) dan memakaikan kirqah (pakaian) kepada polan dan memberi pesan kepada polan.

Sama sekali tidak adil pendapat yang mengatakan bahawa al-Khidir masih hidup – sepertimana anggapan sementara orang – tetapi sebaliknya ada dalil-dalil daripada al-Quran, sunah, akal dan ijmak antara para ulama daripada umat ini bahawa al-Khidir sudah tiada.

Saya anggap cukup dengan mengutip keterangan daripada kitab al-Manaarul Muniif fil Hadits as-Sahih wa ad-Daif karangan Ibnu al-Qayyim.

Ibnu Qayyim menyebutkan dalam kitab itu ciri-ciri daripada hadis mauduk yang tidak diterima dalam agama. Antara cirinya ialah “hadis-hadis yang menceritakan tentang al-Khidir dan kehidupannya”. Semuanya adalah dusta. Tidak satu pun hadis yang sahih.

Antara hadis mauduk itu ialah hadis yang berbunyi (mafhumnya):

Bahawa Rasulullah SAW sedang berada di masjid, ketika itu baginda mendengar perbincangan dari arah belakangnya. Kemudian baginda melihat, ternyata dia adalah al-Khidir.

Juga hadis: “Al-Khidir dan Ilyas berjumpa setiap tahun.” Dan hadis: “Jibril, Mikail dan al-Khidir bertemu di Arafah.”

Ibrahim al-Harbi ditanya tentang umur al-Khidir yang panjang dan bahawa dia masih hidup? Maka, beliau menjawab: Tidaklah ada yang memasukkan faham ini kepada orang-orang kecuali syaitan.

Imam Bukhari ditanya tentang al-Khidir dan Ilyas, apakah kedua-duanya masih hidup? Maka, beliau menjawab: Bagaimana hal itu berlaku? Nabi telah bersabda: Tidaklah akan hidup sampai seratus tahun lagi bagi orang-orang yang berada di muka bumi ini. (Riwayat Bukhari – Muslim)

Ramai imam lainnya yang ketika ditanya tentang hal itu, maka mereka menjawab dengan menggunakan al-Quran sebagai dalil.

“Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad), maka jika kamu mati apakah mereka akan kekal?” (Maksud ayat 34, surah al-Anbiya)

Ibnu Taimiyah ditanya tentang hal itu, maka dia menjawab: Sekiranya al-Khidir masih hidup, tentulah dia wajib mendatangi Nabi SAW dan berjihad bersamanya serta belajar daripadanya. Nabi SAW telah bersabda ketika perang Badar: Wahai Allah, jika pasukan ini binasa, nescaya Engkau tidak disembah di bumi.

Pada waktu itu, merek berjumlah 313 orang lelaki yang dikenal dengan nama-nama mereka, nama-nama daripada bapa-bapa mereka dan suku-suku mereka. Maka, di manakah al-Khidir pada waktu itu?

Quran dan sunah serta perbincangan para peneliti umat menyangkal masih adanya kehidupan al-Khidir seperti anggapan mereka. Sepertimana firman Allah di atas.

Jika al-Khidir itu manusia, maka dia tidak akan kekal, kerana hal itu ditolak al-Quran dan sunah yang suci. Andainya dia masih hidup, tentu dia datang kepada Nabi SAW. Nabi SAW telah bersabda: Demi Allah, sekiranya Musa masih hidup, tentu dia akan mengikuti aku. (Riwayat Ahmad: Daripada Jabir bin Abdullah)

Jika al-Khidir seorang nabi, maka dia tidak lebih utama daripada Musa, dan jika seorang wali, tidaklah dia lebih utama daripada Abu Bakar RA.

Apakah hikmahnya sehingga dia hidup hingga kini – seperti anggapan orang-orang – di padang luas, gurun dan gunung-ganang? Apakah faedahnya syar’iyyah mahupun aqliah di sebalik ini?

Sesungguhnya orang-orang selalu menyukai cerita-cerita ajaib dan dongeng-dongeng. Mereka menggambarkannya menurut keinginan merek, sedangkan hasil daripada imaginasinya mereka gunakan sebagai baju keagamaan. Cerita ini disebarkan antara sesetengah orang awam dan mereka menganggapnya berasal daripada agama mereka, padahal sama sekali bukan daripada agama. Hikayat-hikayat yang diceritakan tentang al-Khidir hanya rekayasa manusia dan tidak diturunkan oleh Allah hujah untuk itu.

Adapun mengenai soalan, apakah dia seorang nabi atau wali – para ulama berbeza pendapat mengenai hal itu. Tampaknya yang lebih tepat al-Khidir adalah seorang nabi, sepertimana tercantum pada ayat yang mulia daripada surah al-Kahfi (maksudnya): “…dan bukanlah aku melakukannya menurut kemahuanku sendiri…” (Al-Kahfi, 82)

Perkataan itu adalah dalil bahawa dia melakukan itu berasaskan perintah Allah dan wahyu-Nya, bukan daripada dirinya. Lebih tepatnya, dia adalah seorang nabi, bukan wali.

Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page