Lelaki kelar leher rakan hingga mati serah diri kepada penduduk

KINABATANGAN — Selepas dua hari diburu polis, lelaki yang membunuh dan mencederakan rakan sekerja di Ladang Santos NPC, di sini Sabtu lalu, berjaya ditahan malam tadi.

Suspek berusia 40-an yang melarikan diri sejurus kejadian di rumah pekerja ladang berkenaan, menyerah diri kepada orang awam jam 5.30 petang sebelum polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan membuat tangkapan, kira-kira jam 8 malam tadi.

Operasi turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan anggota dari Balai Polis Tongod.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Mohd Zulfikar Abd Salam, berkata warga asing itu menyerah diri kepada orang awam di kawasan Ladang Lokan Baru, Telupid, terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Telupid untuk tindakan lanjut. Polis turut merampas sebilah parang berukuran 37 sentimeter, dipercayai senjata digunakan bagi mengelar leher mangsa hingga mati dan menikam seorang lagi mangsa hingga parah di bahagian dada.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini sambil berterima kasih kepada masyarakat setempat yang membantu sehingga kes berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Sabtu lalu, suspek mengelar leher mangsa, Christian Andi, 30-an, manakala seorang lagi mangsa, Bernadus Bagalewok, 24, yang cuba meleraikan pergaduhan parah ditikam pada bahagian dada.

Selepas mangsa kedua menjerit meminta tolong, suspek terus melarikan diri sambil membawa senjata yang digunakan. Difahamkan sebelum kejadian, ketiga-tiga mereka menghadiri majlis sambutan hari lahir anak rakan sekerja di ladang berkenaan.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page