Beberapa saksi pendakwaan pernah ke rumah Jho Low, jelas ini tahap konspirasi mereka, kata Najib

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa wujud konspirasi antara beberapa bekas pegawai pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk terbabit dalam salah laku skandal kewangan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Semua individu yang dimaksudkan bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo; bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin; dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir.

Najib berkata, semua individu berkenaan yang juga saksi pendakwaan, berkonspirasi dengan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low dan mereka berulang kali ke kediaman ahli perniagaan itu.

“Ini jelas menunjukkan tahap konspirasi individu ini dengan Jho Low. Untuk rekod, saya tidak pernah pergi ke kediaman Jho Low, malah saya juga tidak tahu rumahnya berada di Jalan Kia Peng,” katanya.

Semua individu itu sebelum ini memberi keterangan mengenai budaya kerja secara silo (kerja dalam komuniti sendiri) dan “pendekatan dari atas ke bawah” di mana mereka percaya arahan atau pelan tindakan daripada Jho Low mendapat restu dan persetujuan daripada Najib, dan mesti dilaksanakan.

Sementara itu, Najib berkata, adalah mudah untuk meletakkan kesalahan kepadanya atas apa yang berlaku kepada 1MDB kerana ia untuk melindungi individu lain yang terbabit dalam salah laku berkenaan.

Katanya, mudah bagi Shahrol Azral, Amhari, Hazem, Azmi, dan Jasmine menyalahkan beliau kerana naratifnya adalah untuk melindungi mereka daripada kebertanggungjawaban terhadap aktiviti jenayah yang mereka lakukan secara sedar bagi pihak Jho Low.

“Tiada bukti mengenai dakwaan itu (bekerja secara silo) …apa lagi yang boleh dilakukan oleh individu pembohong ini selain mempertahankan diri dengan masing-masing mendakwa mereka berfikir untuk JhoLow yang mewakili saya.

“Dakwaan ini tidak masuk akal, ia hanya muncul semasa perbicaraan dan kesimpulan yang tidak dapat ditolak ialah saksi pendakwaan sebelum perbicaraan sudah sepakat meletakkan semua kesalahan kepada saya,” katanya.

Najib juga menafikan wujud struktur budaya kerja secara silo dalam pentadbirannya di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau berkata, arahan khusus dikeluarkan kepada individu yang ditetapkan seperti yang dikehendaki oleh operasi peringkat tinggi.

“Apabila saya mengeluarkan arahan khusus, ia diarahkan kepada individu tertentu. Ini bukan pendekatan ‘silo’ tetapi protokol yang agak standard untuk melindungi kerahsiaan dan integriti kerja Perdana Menteri,” katanya.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page