Kategori: ALFAZ

  • Al-Abrar

    Kata al-abrar mempunyai erti “benar-benar berbakti”.

    Firman-Nya diberikan maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh nikmat.” Dan lawannya ialah “al-fujjar” iaitu “orang-orang derhaka” yang tempatnya di neraka jahim. (Lihat surah al-Infithar [82]: 13-14)

    Antara wujud al-abrar adalah mereka yang tidak meminta ucapan terima kasih, lantaran pemberiannya hendak mendapatkan reda Allah. “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanya untuk mengharapkan reda Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Lihat surah al-Insan [76]: 8-9)

    Rujukan: Ensiklopedia Makna Al-Quran

  • As-samaa’ ( السماء )

    As-samaa’ ialah sesuatu yang ada di atas kita.

    Perkataan as-samaa’ mempunyai beberapa makna, antara lain:

    1. Angkasa luas yang dihiasi matahari, bulan dan bintang.
    2. As-samaa’ bererti awan; dan setiap yang berada di atas manusia serta memberikan naungan kepadanya, disebut samaa’.

    As-samaa’ pada ayat 11, surah Nuh dimaksudkan dengan makna hujan. (Ensiklopedia Makna Al-Quran, 327)

    Dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman memberikan maksud pada ayat 11, surah Nuh: (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.

  • Surah ( سورة )

    Surah ataupun surat atau dalam ejaan penuh “suuratun”

    Menurut bahasa ialah tempat yang tinggi (al-manzilatus saamiyah).

    An-Nabighah mengatakan:

    الم تر أن الله أعطاك سورةٌ

    ترى كل مَلَكٍ دُونِها يَتَذَبْذَبُ

    Ertinya: Tidakkah anda lihat bahawa Allah telah memberikan kepada anda tempat yang tinggi, anda lihat setiap penguasa tanpanya menjadi ragu.

    Adapun menurut istilah syarak ialah kumpulan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai permulaan dan akhir. Seperti surah al-Kautsar. Dikatakan surat (atau surah) kerana mulia, agung dan tingginya ayat-ayat al-Quran, sebagaimana as-suuru yakni untuk sesuatu yang tinggi dari suatu bangunan (tembok). (As-Sobuni, Tafsir Ahkam, Jilid 2, Halaman 7)

    Rujukan: Ensiklopedia Makna Al-Quran, 331.

  • Abtar ( الأبتر )

    Firman Allah yang diberikan maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.” (108: 3)

    Perkataan ini hanya dimuatkan satu kali (dalam al-Quran).

    Imam As-Sobuni menjelaskan bahawa al-abtar ialah terputus daripada setiap kebaikan (al-munqathi’u ‘an kulli khairi). Terambil daripada al-bitr yakni putus (al-qath’u). Dikatakan “batartu asy-syaia bitran” ( بترت الشيء بترا ): Aku telah memutuskannya. Dan as-saifu ( السيف ) disebut al-baatiru kerana ia sebagai alat pemotong. Dan begitu pula dikatakan terhadap seseorang yang tidak memiliki keturunan sebagai abtar, kerana ia memutus nasabnya (keturunannya). Begitu pula untuk khutbah yang melebihi batas disebutkan dengan خُطبَةُ البِتْرَى
    kerana di waktu berkhutbah ia tidak memuji nama Allah dan tidak berselawat kepada Nabinya yang mulia.

    Al-Abtar, “terputus”. Kemudian kata ini dipergunakan untuk seseorang yang tidak ada kenangan yang berlanjutan atau sebutan baik peribadinya. Ertinya bagi sesiapa saja yang memusuhi kebenaran yang dibawa oleh para rasul-Nya serta orang-orang yang mengikutinya, maka para penentang selalu dalam celaan orang-orang beriman. Firaun yang menentang Musa, beserta Samiriy yang membuat syariat palsu. Begitu juga Abu Lahab dan teman-temannya yang menentang Muhammad SAW, sebagai contoh.

    Rujukan: Eksiklopedia Makna Al-Quran, 3.

You cannot copy content of this page