PAC akan siasat pelaburan Khazanah, perjanjian pajakan kereta api China bernilai RM10.7 bilion

KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding untuk lima isu baharu pada tahun depan termasuk isu perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion di bawah Kementerian Pengangkutan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata prosiding terbabit termaktub di bawah Peraturan Mesyuarat 77 (1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-15 yang akan diadakan bermula 3 Februari hingga 6 Mac 2025.

Beliau berkata, prosiding itu membabitkan pengurusan lapangan terbang di bawah Kementerian Kewangan, Malaysia Airports Berhad (MAHB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional).

“PAC juga akan memulakan prosiding terhadap pelaburan domestik Khazanah Nasional di bawah Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional serta pembangunan Tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Prosiding akan dijalankan meliputi isu ekosistem perkhidmatan kesihatan swasta, mekanisme pengawalan, rangka perundangan dan kaedah pembiayaan melalui insurans perubatan: implikasi kenaikan harga perkhidmatan swasta kepada hospital kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Ia (prosiding) turut meliputi isu perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion di bawah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Aset Keretapi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB),” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Mas Ermieyati membentangkan prestasi PAC sepanjang tahun ini, yang mana laporan mengenai hal itu diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam.

Merumuskan isu kelemahan yang sering ditemui oleh PAC, Mas Ermieyati berkata, terdapat enam penemuan utama terkandung dalam laporan jawatankuasa berkenaan sepanjang tahun ini.

“Isu utama itu membabitkan tadbir urus dan pematuhan undang-undang; pengurusan kewangan dan pelaburan; pengurusan projek, infrastruktur dan kontrak; penguatkuasaan undang-undang dan kelestarian operasi.

“Ia termasuk penemuan isu konflik kepentingan dan kawalan dalaman serta peningkatan dan pemerkasaan atau penggunaan teknologi.

“Berdasarkan isu-isu berkenaan, tadbir urus dan pematuhan undang-undang ialah perkara utama yang paling banyak dikesan di kebanyakan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Ia menunjukkan masih terdapat kelemahan struktur dan proses dalam institusi atau agensi kerajaan secara keseluruhan,” katanya.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page