Penolong kanan kokurikulum didakwa 2 pertuduhan amang seksual murid

IPOH — Seorang guru penolong kanan kokurikulum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid pada September lalu.

Tertuduh, Teh Chau Teik, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalah itu ke atas murid perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual dengan memeluk dari belakang dan mencium mulut mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan dalam sebuah kelas di sekolah rendah di Bandar Baru Sri Klebang, dekat Chemor, di sini pada jam 6.40 pagi, 11 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa sama dalam sebuah lagi kelas di sekolah sama pada jam 6.40 pagi, 26 September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dibaca bersama Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman tambahan penjara lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah menawarkan wang jaminan tidak kurang RM50,000 kepada tertuduh serta syarat tambahan difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, S Teeban Kummar yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan anak guamnya yang berpendapatan bulanan RM7,000 perlu menanggung ibu dan tiga adiknya termasuk seorang yang mengalami cacat mental.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 17 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page